Pengambilan estrogen saja boleh sebabkan barah payudara, rahim

Bolehkah saya mengambil pil hormon estrogen untuk membentuk buah dada dan punggung lebih menarik? Ini disebabkan bentuk badan saya yang terlalu kurus? Adakah ada sebarang kesan sampingan penggunaannya?

Gadis Risau, Johor


SAUDARI, ia sememangnya satu hakikat apabila semua wanita menghendaki badan yang cantik terutama payudara dan punggung yang montok. Tetapi, bukan semua berupaya mempunyai badan yang mengiurkan seperti yang diidamkan ramai, termasuklah saudari.

Faktor genetik atau keturunan memainkan peranan yang penting. Jika keturunan puan berjenis kecil dan kurus seperti mana emak atau adik beradik yang lain, maka sukar untuk memiliki badan yang diimpikan. Bagi mendapatkan badan yang cantik jika kita seorang yang kurus seperti saudari, saya saudari cuba tambahkan berat badan dengan melebihkan makanan hingga ke tahap indeks atau berat jisim tubuh (BMI) yang ideal. BMI yang kurang dari 18 adalah terlalu kurus dan melebihi 30 adalah obesiti atau terlalu gemuk.

Pengambilan hormon estrogen menyebabkan payudara membengkak dan tegang selain boleh meningkatkan selera makan. Tetapi ia mungkin tidak berkekalan yang mana kesannya hilang selepas saudari berhenti mengambil hormon.

Dari segi perubatan, adalah dilarang sama sekali mengambil hormon estrogen saja tanpa ditambah dengan hormon progesterone. Hormon estrogen saja jika diambil dalam masa panjang boleh menyebabkan barah rahim, ovari, payudara dan pintu rahim. Oleh itu kami (doktor pakar perbidanan) selalunya memberi hormon estrogen dalam bentuk kombinasi bersama hormon progesterone seperti pil perancang keluarga dan hormon gentian untuk pesakit menopaus. Sebarang pengambilan hormon memerlukan pemantauan yang rapi setiap tahun seperti ujian darah, mamogram dan pap smear serta dengan imbasan pelvis.

Kesan sampingan lain ialah peningkatan risiko batu karang dalam hempedu sebanyak dua hingga tiga kali ganda, perdarahan tidak menentu daripada rahim, pembekuan darah pada betis kaki dan pelvis yang menyebabkan embolisma ke paru-paru, barah hati, darah tinggi, kencing manis dan menggalakkan pertumbuhan fibroid dan endometriosis.

Selain itu, kesan sampingan yang kecil seperti 'water retention' atau pengumpulan air dalam tubuh, payudara bengkak dan sakit, loya, muntah, perubahan mood dan perut 'bengkak'. Banyak lagi kesan-kesan sampingan yang lain.

Kesimpulannya, saudari tidak perlu mengambil hormon estrogen untuk mendapatkan badan yang cantik. Jika perlu mengambilnya. Gunakan pil perancang keluarga sebagai alternatif terutama sekali jika puan gunakan pil ini sebagai satu cara cegah kehamilan.