SAYA melahirkan dua cahaya mata melalui pembedahan pada 2003 dan 2005 dengan menggunakan kaedah epidural. Adakah penggunaan epidural ini boleh mendatangkan kesan sampingan kepada tubuh saya dalam jangkamasa panjang?


EMMa
Melalui e-mel


Jawapan

Jika epidural itu dilakukan dengan mudah dan selepas pembedahan juga tiada komplikasi, kesan sampingan jangka masa panjang adalah sangat minimum. Apa yang sering diperkatakan ialah sakit belakang yang terjadi selepas epidural sehingga dapat dirasai beberapa tahun selepasnya. Kajian terbaru menunjukkan risiko mendapat sakit belakang selepas epidural sama seperti risiko bagi wanita yang bersalin tanpa epidural. Oleh itu, masalah sakit belakang ini berpunca ketika mengandung lagi, dan tidak berkait dengan kesan berpanjangan dari teknik epidural. Walaupun sakit belakang dirasai selepas epidural, ia adalah sementara saja dan akan pulih seperti biasa.

Ada dua cara pembiusan yang digunakan sebelum melakukan pembedahan caesarean, iaitu pembiusan secara tidak sedar yang memerlukan intubasi di mana gas anestetik diberikan atau biusan separuh badan. Kaedah epidural dan spinal ialah dua cara pembiusan separuh badan. Dalam kaedah ini, pesakit itu sedar dan teknik untuk membius ialah dengan memasukkan ubat ke kawasan epidural atau spinal pada bahagian tulang belakang. Ubat ini akan melalikan urat saraf yang merangsang bahagian badan yang terbabit termasuk bahagian kulit, rahim dan kedua-dua belah kaki. Prosedur ini hanya dilakukan pakar bius.

Kawasan epidural dan spinal adalah berbeza, epidural ialah lapisan sebelum ruang spinal. Akar saraf yang keluar dari saraf tunjang berada di lapisan ini. Bila ubat pelali dimasukkan di kawasan ini melalui kateter yang halus, ia akan membasahi akar saraf ini menyebabkan pembiusan yang efektif. Kelebihannya ialah ia boleh diberi secara berterusan selagi kateter itu tidak dikeluarkan atau tidak beralih. Ia menjadi cara pembiusan yang sangat sesuai untuk digunakan dalam kes pembedahan yang mengambil masa lama dan juga untuk menahan sakit bersalin. Selepas pembedahan, kateter ini masih boleh ditinggalkan selama mana yang perlu.

Kaedah spinal pula ialah memasukkan ubat terus ke dalam ruang spinal. Kesan pembiusan bermula sejurus selepas ubat dimasukkan, tetapi ia akan tahan selama mana jangkamasa ubat pelali itu saja, biasanya lebih kurang dua jam. Ini sudah mencukupi kerana pembedahan caesarean tidaklah mengambil masa lama.

Kesan sampingan yang biasa terjadi ketika epidural ialah penurunan tekanan darah (ini dielakkan dengan pemberian cecair melalui infusi sebelum prosedur dimulakan dan diteruskan ketika penggunaan epidural) dan susah untuk membuang air kecil kerana hilang sensasi. Bila ini berlaku, air kencing akan dikeluarkan melalui tiub.

Komplikasi lain ialah luka dan pendarahan di tempat suntikan dan luka kepada saraf akibat terkena jarum atau kateter epidural. Satu masalah yang khusus untuk epidural dan spinal ialah bila cecair spinal terkeluar selepas jarum atau kateter dikeluarkan. Ini menyebabkan sakit kepala yang teruk, lebih-lebih lagi bila ada pertukaran posisi disebabkan tekanan cecair dalam otak yang berkurangan. Ia biasanya pulih dengan sendiri dan dengan mengambil minuman berkafein, tetapi dalam kes lebih serius, cara dilakukan ialah memasukkan sedikit darah ke kawasan ini seolah-olah untuk menampal tempat yang luka itu.