Kajian buktikan kandungan E211 sebabkan Parkinson, sakit limpa


LONDON: Satu kajian dilakukan sebuah universiti di Britain terhadap minuman ringan, menemui bukti bahawa ia boleh menyebabkan kerosakan sel yang teruk, selain berupaya mematikan bahagian penting DNA manusia.

Masalah itu yang lebih kerap dikaitkan dengan mereka yang berusia lanjut dan penagih arak, juga boleh menyebabkan kerosakan limpa serta penyakit Parkinson.

Penemuan terbaru itu dijangka memberi kesan serius kepada beratus juta orang di seluruh dunia yang gemar meminum minuman ringan bergas atau berkarbonat.

Pada masa sama penemuan itu meningkatkan kontroversi mengenai bahan pengawet yang dikaitkan dengan masalah hiperaktif di kalangan kanak-kanak.

Profesor biologi molekul dari Universiti Sheffield, Peter Piper, berkata perhatian kini tertumpu kepada keselamatan bahan E211 yang juga dikenali sebagai sodium benzoate, bahan pengawet yang sejak berdekad lalu digunakan dalam industri minuman berkarbonat bernilai £74 bilion (RM481 bilion) di seluruh dunia.

Beliau berkata ia wujud secara semula jadi di dalam buah beri, tetapi digunakan dalam kuantiti besar untuk mengelak minuman ringan berkulat. Ia juga digunakan di dalam sos dan jeruk.

Beliau yang menjalankan kajian kesan terhadap sodium benzoate ke atas kulat hidup di makmalnya mendapati bahan itu memusnahkan bahan penting DNA di dalam sel yang dikenali mitochondria.

“Bahan kimia ini mempunyai keupayaan untuk menyebabkan kerosakan teruk DNA dalam mitochondria hingga ke peringkat ia tidak aktif sama sekali malah membunuhnya terus. Hasil penemuan ini amat membimbangkan,” katanya.

Prof Piper berkata, mitochondria menyerap oksigen untuk memberi tenaga kepada manusia dan jika ia musnah, sel tubuh akan mengalami masalah fungsi yang serius.

“Pelbagai penyakit kini dikaitkan dengan kerosakan DNA, antaranya termasuk penyakit Parkinson dan mempercepatkan proses penuaan manusia,” katanya.

Beliau menasihati ibu bapa lebih berwaspada ketika membeli minuman yang mengandungi bahan pengawet dan memastikan kuantiti di dalamnya disahkan selamat. Beliau turut melahirkan kebimbangan kesan buruk yang bakal dihadapi dikalangan kanak-kanak yang minum banyak minuman berkarbonat.

Agensi Piawaian Makanan (FSA) menyokong penggunaan sodium benzoate di Britain dan menyatakan penggunaannya diluluskan Kesatuan Eropah (EU). Bagaimanapun semalam, anggota parlimen menggesa siasatan dilakukan segera terhadap bahan itu.

Ahli parlimen Liberal Demokrat, Norman Baker, berkata banyak bahan pengawet adalah baru dan kesan jangka panjangnya tidak dapat dipastikan. Kajian lanjut perlu dilakukan FSA. – Agensi