Bola mata tak selari

Kejulingan berlaku apabila posisi atau kedudukan bola mata tidak selari atau sejajar. Anak mata individu yang juling terletak pada kedudukan tidak sama apabila melihat sesuatu objek.

Ada yang mengalami juling ke arah luar dan ada ke dalam. Walaupun biasanya kejulingan membabitkan kedua-dua belah mata, ia juga boleh berlaku pada sebelah mata saja pada satu masa dan secara berganti-ganti iaitu sekejap pada mata kiri dan ada kalanya beralih ke mata kanan.

Walaupun ia dianggap satu daripada masalah mata, ramai ibu bapa kurang memberikan perhatian kepada perkara ini, terutama jika kejulingan dialami anak mereka adalah ‘sedikit’ atau dipanggil juling air bagi sesetengah orang.

Jika anda turut beranggapan sedemikian, timbangkan semula pendapat ini kerana kejulingan boleh menimbulkan banyak masalah di kemudian hari terhadap anak, sama ada lelaki atau perempuan.

Menurut Perunding Kanan Oftalmologi, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Muhaya Mohamad, masalah kejulingan bukan saja boleh mengganggu keupayaan untuk melihat, tetapi turut menjejaskan rupa paras yang secara tidak langsung mempengaruhi keyakinan diri seseorang.

Katanya, individu yang memiliki mata juling biasanya berasa rendah diri, kurang yakin dan malu untuk berdepan masyarakat. Semua faktor ini menjejaskan peluang mereka untuk bersaing dengan orang lain bagi memajukan diri.

Inilah keadaan yang dilalui seorang pesakitnya yang berumur 20-an. Masalah juling menyebabkan dia berasa rendah diri dan tidak yakin apabila berdepan kawan.

Setiap kali bertemu atau berbincang, pesakitnya cuba mengelak bertentang mata dengan kawannya. Dia malu dengan keadaan matanya yang kurang sempurna.

Menurut Dr Muhaya, masalah itu berpunca daripada sikap ibu bapa pelajar berkenaan yang tidak membenarkannya menjalani pembedahan kerana menganggap juling adalah anugerah Tuhan dan ia tidak boleh diubah.

Namun selepas menjalani pembedahan, kehidupan pelajar itu banyak berubah. Dia lebih yakin untuk berdepan kawannya dan mula bergaul dengan orang ramai.



Punca

Dr Muhaya berkata, ada dua punca utama menyebabkan juling, iaitu:


Faktor semula jadi — yang dialami sejak lahir.


Berlaku kerosakan pada saraf yang mengawal pergerakan mata atau diakibatkan penyakit otot yang juga bertugas mengawal pergerakan mata.

Masalah kerosakan saraf yang menyebabkan kejulingan biasanya berlaku pada orang dewasa yang menghidap kencing manis dan tekanan darah tinggi. Pesakit akan mengalami diplopia, iaitu mata mereka nampak dua imej, sedangkan hanya ada satu objek di depan mereka.



Jenis

Kejulingan boleh dibahagikan kepada beberapa jenis, sama ada mata mengarah ke dalam (esotropia) atau ke luar (ekstropia).

Dalam kebanyakan kes, satu mata bayi mengalami kejulingan sedikit, terutama ketika tempoh neonatal (bulan pertama selepas dilahirkan) dan bola mata menjadi selari dalam tempoh tiga bulan.

Sebenarnya ini masalah biasa di kalangan bayi kerana tulang hidung mereka belum terbentuk sepenuhnya. Perkara ini beransur hilang apabila bayi membesar dan mata mereka akan kelihatan normal. Jika bayi benar-benar mengalami juling esotropia kongenital (sejak dilahirkan) masalah ini dapat dilihat apabila mereka berumur antara dua hingga empat bulan.

Juling ekstropia pula boleh berlaku apabila merenung objek yang dekat mahupun jauh. Kebanyakan kes juling ekstropia berlaku sekali sekala.

Bagi individu yang mengalami juling kedua-dua belah mata, tiga perkara boleh berlaku iaitu:


Objek yang dilihat mempunyai imej berganda (kelihatan dua imej atau diplopia).


Pada kanak-kanak, mata yang juling akan mengalami ambliopia atau mata malas kerana perkembangan saraf mata terencat.


Otak akan membuat penyesuaian dengan setiap mata supaya individu berkenaan boleh melihat dengan terang, walaupun bola mata tidak selari.



Adakah juling mengganggu penglihatan?

Ya. Juling boleh menyebabkan tahap penglihatan menurun. Jika juling itu hanya berlaku pada sebelah mata, masalah ambliopia atau ‘mata malas’ boleh berlaku.

Ambliopia boleh terjadi apabila kanak-kanak mengalami kerosakan penglihatan dalam beberapa tahun pertama umur mereka seperti mata juling, berselaput, rabun jauh atau rabun dekat yang teruk dan kabur. Pandangan kurang jelas akibat ambliopia tidak boleh dibetulkan dengan pemakaian kaca mata atau kanta sentuh.

Dr Muhaya berkata, ketika perkembangan saraf mata, imej jelas perlu terbentuk di bahagian retina. Ini penting untuk membolehkan perkembangan saraf yang baik dan memberi potensi kepada kedua-dua mata dan otak memproses imej dengan betul.



Apa perlu dilakukan jika anak mengalami kejulingan?

Ibu bapa yang mendapati mata anak mereka juling sejak lahir perlu memerhatikan keadaan juling itu sehingga anak berumur enam bulan. Biasanya masalah juling pada bayi hilang apabila mereka membesar.

“Jika masalah juling berlarutan, kanak-kanak itu perlu dibawa berjumpa doktor untuk dibuat pemeriksaan sebelum diberi rawatan. Selalunya masalah juling sejak kecil yang tidak dirawat boleh membahayakan kanak-kanak kerana mata juling menghalang kanak-kanak melihat objek dengan jelas.

“Pada keadaan biasa, apabila mata melihat sesuatu objek, bola mata akan bergerak ke satu arah sama. Namun bagi seseorang yang juling, jika dia melihat sebelah kiri, hanya sebelah mata bergerak ke arah itu, sedangkan sebelah lagi melihat ke arah lain.

“Fenomena ini menyebabkan cahaya yang masuk ke dalam mata akan difokus ke bahagian yang tidak sama pada retina. Lama kelamaan mata yang tidak mendapat imej tepat akan menjadi malas (ambliopia) yang mengurangkan keupayaan mata untuk melihat dengan jelas,” katanya.



Adakah juling berbahaya?


Dr Muhaya berkata, kanak-kanak yang mengalami masalah juling perlu mendapat pemeriksaan kerana masalah ini mungkin disebabkan penyakit mata seperti barah retina.

Pernah terjadi seorang kanak-kanak mengalami masalah kejulingan tetapi ibu bapanya tidak membawanya menjalani pemeriksaan. Selepas setahun, barah pada retina kanak-kanak itu menjadi bertambah besar hingga menyebabkan matanya menjadi buta dan mengancam nyawanya.



Apa harus dilakukan?

Jika perkara ini berlaku, pesakit perlu segera berjumpa doktor kerana mungkin berlaku kerosakan pada saraf pada otak yang mengawal pergerakan bola mata.

Bahkan seseorang individu itu juga boleh mengalami kejulingan jika mengalami penyakit seperti jangkitan kuman atau barah di otak. Ia juga boleh disebabkan kencing manis dan darah tinggi yang tidak terkawal, iaitu apabila timbulnya gangguan kepada salur darah yang memberi oksigen kepada saraf yang mengawal otot mata.



Bolehkah barah otak menyebabkan juling?

Berdasarkan pengalamannya dua tahun lalu, Dr Muhaya berkata ia boleh berlaku. Seorang mahasiswa institut pengajian tinggi mengalami kejulingan secara tiba-tiba dan masalah ini disertai dengan diplopia (satu objek kelihatan dua).

Apabila pemeriksaan dibuat, mahasiswa itu didapati menghidap barah otak yang serius. Dua bulan sebelum itu beliau sering menghidap sakit kepala, tetapi membeli ubat sendiri di kedai dan tidak menjalani pemeriksaan secara menyeluruh.



Adakah juling sejak lahir boleh dirawat?

Boleh, tetapi bergantung kepada punca kejulingan. Ada yang dapat dirawat dengan cermin mata dan ada yang memerlukan pembedahan. Pembedahan untuk membetulkan kedudukan mata boleh dilakukan dan ia membabitkan otot yang mengawal pergerakan mata.



Adakah pembedahan untuk membetulkan kejulingan mata dibenarkan dalam Islam?

Ya, kerana juling adalah penyakit yang harus dirawat. Dalam hal ini, jika kecacatan (juling) seseorang menimbulkan rasa rendah diri, ada keharusan untuk melakukan pembedahan dengan tujuan membetulkan kedudukan matanya.

Malah, Dr Muhaya menasihatkan individu yang mempunyai mata juling segera menjalani rawatan atau pembedahan demi masa depan mereka. Apatah lagi ia pembedahan mudah dan selamat.



Apa yang akan doktor lakukan ketika pemeriksaan?

Ketika pemeriksaan, doktor akan mencari punca kejulingan dengan mengambil riwayat penyakit dan pemeriksaan tubuh secara keseluruhan. Jika ada tanda penyakit di dalam otak (seperti muntah dan pening kepala yang kuat) ujian imbasan CT dilakukan. Ini akan dapat mengesan barah otak.



Rawatan


Bagi juling yang tidak disebabkan masalah lain yang serius, ada beberapa kaedah rawatan. Ada masalah juling yang dapat dirawat dengan hanya memakai cermin mata khas. Bagi kanak-kanak pula, ambliopia dapat diatasi jika rawatan pertama bermula sebelum mereka berumur sembilan tahun.


Mungkin anda pernah melihat orang menutup mata yang normal bagi menggalakkan kanak-kanak membaca dengan mata yang kurang jelas penglihatannya. Adakah ini tindakan yang baik?

Sebenarnya, kata Dr Muhaya, ini kaedah rawatan untuk ambliopia. Pesakit akan diberi rawatan dengan menggalakkan penggunaan mata yang mengalami ambliopia dan menutup mata yang normal.

Kaedah itu akan memaksa kanak-kanak menggunakan mata yang mengalami ambliopia untuk membuat ‘kerja rumit’. Bagaimanapun, kaedah itu hanya berkesan sebelum kanak-kanak berkenaan berumur sembilan tahun kerana selepas umur itu perkembangan mata kanak-kanak sudah sempurna dan sukar diubah.

Rawatan ini boleh dilakukan sendiri di rumah sebanyak tiga hingga empat kali selama dua hingga tiga jam sehari. Doktor mata akan mengajar ibu bapa untuk melatih anak masing-masing bagi mengatasi masalah mata malas.

“Pembedahan atau memakai kaca mata juga mampu memulihkan juling. Namun ia bergantung kepada tahap masalah setiap individu dan pembedahan hanya dilakukan untuk mengembalikan kesejajaran mata.

“Pembedahan ini mudah, tidak berbahaya, berkesan dan dapat mengembalikan rupa paras normal seseorang. Jadi tidak perlu risau untuk mendapatkan rawatan jika anda mengalami masalah juling,” katanya.