Soalan: Saya berusia 30 tahun dan mengandung empat bulan. Saya pernah keguguran tetapi selepas itu, saya memperolehi tiga cahaya mata. Mereka lahir normal dengan berat tiga kilogram ke atas.
Pada kehamilan kali ini, saya mengalami alahan teruk dan hanya pulih selepas kandungan masuk empat bulan. Ketika imbasan, doktor memberitahu janin saya tidak sampai empat bulan dan kecil sedikit berbanding anak lain.
Saya ingin tahu, adakah janin yang kecil dari usia sepatutnya akan mempengaruhi pembesarannya? Maksud saya, adakah ia akan menyebabkan anak cacat atau tidak sempurna seperti anak-anak saya yang lain?
Adakah kerana anak ketiga saya masih menyusu badan turut menyumbang kepada faktor ini? Saya sering keletihan dan amat lapar selepas menyusukan anak. Saya sudah mencuba berbagai cara untuk memisahkan susu badan daripada dirinya, namun tidak berhasil. Saya pernah mendengar mitos, anak yang masih menyusu sewaktu ibunya hamil akan menyebabkan anak di dalam kandungan tidak mendapat zat secukupnya dan akan memberi kesan kepada janin itu. Adakah ianya benar? Sedangkan Doktor yang merawat saya meminta saya meneruskan sehingga ianya berhenti sendiri.
Mama Khuatir
Jawapan: Adakah kitaran haid puan tepat pada masanya atau berbeza-beza lebih kurang seminggu atau lebih? Kalau dikirakan, tiga bulan tiga minggu ialah 15 minggu, hanya seminggu berbeza dari empat bulan (16 minggu). Perbezaan ini tidak membimbangkan. Ia bermakna tarikh jangka lahir yang dikira dari tarikh haid tidak boleh digunakan dan tarikh jangka lahir yang harus diambil ialah berdasarkan ukuran dari ultrasound jika ianya dilakukan dengan betul.
Tarikh tepat kandungan terjadi tidak dapat diketahui. Kiraan yang dilakukan berdasarkan kitaran haid terakhir. Pada masa dua minggu selepas tarikh ini, puan belum mengandung lagi kerana telur hanya dikeluarkan ovari selepas lebih kurang 10 hingga 14 hari dari tarikh permulaan haid. Kandungan terjadi hanya selepas ini dan bila ia berlaku? Itu adalah misteri untuk kita semua.
Oleh itu, tarikh jangka lahir adalah hanya satu anggaran saja menandakan masa itu cukup 40 minggu dari tarikh haid terakhir dan bayi dalam kandungan sudah matang untuk hidup dan bertahan di luar rahim ibu. Jika pemeriksaan ultrasound dilakukan pada peringkat awal mengandung, iaitu tiga bulan pertama, di mana saiz janin itu masih kecil lagi, kiraan panjangnya akan menunjukkan umurnya dengan tepat.
Bila ia sudah menjangkau lima bulan ke atas, kiraan umur melalui ukuran dari ultrasound kurang tepat kerana bayi ini sudah besar, dah ada banyak faktor variasi menyebabkan perbezaan sebanyak dua ke tiga minggu dari tarikh jangka lahir yang dilakukan sebelumnya.
Lebih penting bukannya pemeriksaan yang dilakukan sekali tetapi ukuran yang dilakukan berturut-turut sepanjang mengandung. Ukuran yang dilakukan di kepala bayi, lilitan perut dan panjang tulang paha akan diplotkan ke atas carta perkembangan bayi. Berdasarkan ini, kita dapat ketahui sama ada bayi ini kurang pertumbuhan atau terbantut.
Jika dari permulaan lagi saiznya kecil, tetapi kelihatan ada pertumbuhan mengikut carta, perkembangannya dianggap normal. Bila ia tidak selari dengan aras carta, sebaliknya ukurannya adalah statik - keadaan ini membimbangkan dan perlu perhatian lebih khusus.
Untuk mengatakan bayi 15-16 minggu tidak normal atau terbantut pembesarannya amat susah. Jika kelihatan bentuknya setakat itu sempurna, struktur yang penting sepatutnya ada, ada denyutan jantung dan pergerakan, bayi ini sihat. Kecacatan yang ketara (seperti masalah tulang belakang, kecacatan bentuk kepala, tangan dan kaki, kecacatan bahagian abdomen) boleh dikesan pada masa ini, tetapi untuk mengesan kecacatan halus, seperti sindrom Down's dan sepertinya mungkin tidak boleh diketahui lagi.
Masalah ini ada kaitan dengan masalah kromosom dan untuk memastikannya, pemeriksaan amniosentisis perlu dilakukan. Untuk ini, sedikit cecair dari dalam rahim akan diambil untuk mengambil sel bayi yang akan diuji untuk kandungan kromosomnya. Ujian ini dinasihatkan bagi ibu berumur 35 tahun ke atas atau yang pernah melahirkan bayi ada kecacatan.
Saiz bayi dalam kandungan tidak berkaitan dengan penyusuan bayi ketiga. Perkembangan bayi dalam kandungan juga tidak terjejas. Tiada bukti dalam dunia perubatan sekarang penyusuan ibu ketika ia mengandung membawa masalah atau kecacatan kepada bayi dalam kandungan. Puan sungguh diberkati sekarang - dengan memberi khasiat susu ibu yang sempurna kepada anak dan mengandung lagi, puan dapat dua kali ganda pahala atau lebih, insya-Allah! Kedua-dua akan mendapat khasiat yang diperlukan tetapi puan perlu mengambil makanan berkhasiat dan menambahkan kalori seharian kepada 2200 - 2500 kalori sehari menurut tahap masa kandungan kerana banyak kalori diperlukan bila kita menyusui anak.
Memang susah mengira kandungan kalori pemakanan, tetapi ia lebih sedikit dari apa yang seorang dewasa patut makan setiap hari. Memang meletihkan, tetapi biasanya susu badan mula berkurangan bila sudah lima bulan mengandung dan rasanya pun akan berbeza. Pada masa itu biasanya anak itu akan berhenti menyusu. Untuk mendapat lebih maklumat mengenai cara memujuk anak berhenti menyusu, puan cuba layari laman web www.lalecheleague.org.
0 Comments Received
Leave A Reply