Empat cawan sehari dapat kurangkan kesakitan sendi


CHICAGO: Pengambilan empat cawan kopi atau lebih sehari didapati mengurangkan risiko mendapat gout, kata penyelidik Kanada semalam.

Gout adalah kesakitan pada sambungan sendi disebabkan pengumpulan asid urik dalam darah. Ia memberi kesan kepada kira-kira enam juta orang di Amerika Syarikat dan kemungkinan memberi masalah lebih besar kepada lelaki berbanding wanita.

Pada masa lalu, pesakit berisiko mendapat gout dinasihatkan menjauhi kopi, tetapi Dr Hyon Choi dari Universiti British Columbia di Vancouver, Canada dan rakan penyelidik dari Sekolah Perubatan Harvard di Boston mahu mengetahui apa kesan kopi terhadap keadaan itu.

Choi dan rakan penyelidiknya menganalisis data dari tinjauan kesihatan dan pemakanan Amerika Syarikat antara 1988 dan 1994.

Kajian itu berdasarkan tinjauan terhadap kira-kira 50,000 lelaki berusia antara 40 hingga 75 tahun tanpa sejarah gout. Mereka mengisi soal selidik terperinci mengenai tabiat pemakanan termasuk apa yang diminum.

Lebih 12 tahun kajian itu, seramai 757 lelaki mendapat gout, tetapi risikonya lebih rendah kepada mereka minum lebih kopi, lapor Choi dalam jurnal Arthritis & Rheumatism.

“Kami mendapati apabila mereka minum antara empat hingga lima cawan kopi, terdapat 40 peratus pengurangan. Meminum antara enam cawan atau lebih memberi keputusan antara 50 hingga 60 peratus pengurangan (dalam risiko mendapat gout),” kata Choi dalam temu ramah menerusi telefon.

Lelaki minum kopi tanpa kafein turut mendapat manfaat, kata Choi tetapi teh didapati tidak memberi kesan.

Penyelidik menjumpai paras rendah asid urik yang nyata dalam darah mereka yang meminum kopi dalam kuantiti yang banyak. Asid urik adalah sebatian yang menyebabkan gout.

Choi berkata, penemuan itu mencadangkan sesuatu dalam kopi selain kafein – seperti antioksidan yang kuat – mungkin membantu mengurangkan paras asid urik.

Kopi adalah satu daripada minuman paling diminati di dunia. Lebih separuh daripada penduduk Amerika minum kopi kira-kira dua cawan sehari manakala perolehan perniagaan minuman itu adalah AS$70 bilion (RM238 bilion) setahun.

Choi juga menasihati orang ramai bahawa mereka tidak perlu berlumba-lumba mengunjungi kedai kopi selepas ini bagi merawat gout.

“Jika anda memang selalu minum kopi dan mendapat gout atau berisiko tinggi mendapatnya, tidak perlu mengurang atau menghentikan pengambilan minuman itu, katanya. – Reuters