Vitamin C adalah antara vitamin yang paling kerap diambil oleh mereka yang perihatin dengan kesihatan. Adakah anda tahu keistimewaannya?

Vitamin C juga dipanggil sebagai ascorbic acid (asid askorbik). Keperluan minima yang disyorkan, seperti yang digariskan oleh USRDA (United Stated Recommended Daily Allowance) ialah 60mg sahaja sehari. Bagaimanapun, untuk kesan-kesan baik yang maksimum, pengambilan vitamin C dalam dos yang lebih tinggi adalah disyorkan.

Vitamin C sangat tidak stabil. Oleh itu ia mudah rosak bila terdedah kepada pencemaran, stress, proses oxidasi (seperti terdedah kepada udara), merokok dan sebagainya. Vitamin C tidak dibuat oleh sel-sel badan kita. Oleh itu, pengambilan dari sumber luaran adalah penting.

Vitamin ini larut di dalam air. Ia mudah dibuang melalui air kencing dan juga peluh. Pengambilan yang berterusan adalah penting untuk memastikan kandungan di dalam badan tidak menjadi rendah.

Kekurangan berterusan vitamin C akan menyebabkan anda mengalami beberapa jenis penyakit atau simptom:

  • pendarahan dalaman (haemorrhages) di mana ada tanda-tanda lebam berwarna hitam biru di bahagian-bahagian badan.

  • gusi berdarah dan tidak kuat.

  • tulang menjadi kurang stabil kerana perubahan-perubahan yang terjadi

  • pada tulang rawan yang menyokong tulang-tulang biasa.

  • tisu jantung rosak.

  • kesan kepada struktur tulang menyebabkan kehilangan kalsium.

  • penambahan kadar metabolisma berlaku.

Ada beberapa kumpulan manusia yang mempunyai kandungan vitamin C yang lebih rendah di dalam badan mereka:

  • perokok. Sebatang rokok boleh memusnahkan 25mg vitamin C di dalam badan. Kajian ke atas air kencing perokok yang menghisap lebih daripada 20 batang rokok mendapati tidak ada (atau hanya sedikit) kandungan vitamin C yang ada.

  • pesakit kencing manis. Pesakit ini banyak kehilangan vitamin C melalui kencing yang kerap. Kajian menunjukkan mereka yang mengambil vitamin C pun masih lagi mengalami kandungan vitamin C yang rendah. Ini berlaku kerana kandungan gula yang tinggi menyebabkan berlakunya persaingan antara gula dan vitamin C. Pesakit kencing manis juga mendapati kandungan collagen mereka yang kurang menyebabkan proses penyembuhan luka terjejas. Perubahan-perubahan yang terjadi pada protein dan 'free radicals' menyebabkan pesakit kencing manis lebih terdedah kepada komplikasi seperti cataracts, atherosclerosis, kerosakan saraf dan kerosakan buah pinggang. Pengambilan vitamin C dapat membantu dalam keadaan-keadaan di atas.

  • pesakit kanser.

  • orang yang banyak minum minuman beralkohol.

  • pesakit rheumatoid arthritis.

  • ahli sukan yang melakukan aktiviti lasak. Mereka banyak kehilangan vitamin B kompleks dan vitamin C disebabkan oleh aktivit-aktiviti ini, di samping pendedahan yang lebih pada cuaca panas (berpeluh - jadi kehilangan vitamin C) dsb.

  • pesakit yang mengalami penyakit kronik seperti selsema, batuk, jangkitan kuman dsb.

  • pengambilan ubat-ubatan tertentu seperti pil perancang, aspirin dan anti-biotik.

  • pesakit yang sedang dirawat di hospital atau mereka yang baru sahaja menjalani pembedahan.

Vitamin C didapati penting untuk fungsi-fungsi utama berikut:

  • fungsi sebagai penguat sistem imuniti badan. Vitamin C menyebabkan fungsi sel darah putih dapat dijalankan dengan lebih efektif. Sel-sel darah putih ini melawan bakteria dan virus yang menyerang badan kita.

  • pembuangan toxin-toxin dari dalam badan.

  • sebagai anti-oksident ia penting dalam pencegahan penyakit bahaya seperti kanser. Selain sebagai fungsinya sebagai anti-oksident, vitamin C membantu pengeluaran interferon yang sangat penting untuk melawan sel-sel kanser. Vitamin C juga menghalang pembentukan nitrosamines yang boleh menyebabkan kanser. Perlu diingat bahawa vitamin C bukanlah ubat untuk kanser, tetapi ia membantu memperlahankan pertumbuhan tumor daripada menjadi lebih teruk di samping menguatkan sistem imunisasi.

  • kesihatan sistem jantung. Pengurangan kandungan vitamin C akan menyebabkan pengeluaran asid bile berkurangan. Ini pula akan menyebabkan pertambahan kandungan kolesterol. Pengurangan vitamin C juga menyebabkan dinding saluran darah mudah dirosakkan oleh enzim. Kajian menunjukkan pengurangan vitamin C dalam jangkamasa panjang akan menyebabkan atherosclerosis, di mana lemak dan kolesterol akan melekat dan menyekat saluran darah.

  • penyembuhan luka. Vitamin C akan meningkatkan kadar pengeluaran collagen, oleh itu luka boleh sembuh dengan lebih cepat.

  • agen mengurangkan rasa sakit.

  • mengurangkan alahan.

  • penyerapan zat besi dari sumber bukan daging ke dalam darah. Ini adalah penting kepada mereka yang tidak memakan daging (vegetarian).

  • pengurangan stress. Vitamin C adalah penting dalam pengeluaran hormon corticosteroids, adrenaline dan noradrenaline. Stress menyebabkan hormon-hormon ini dikeluarkan lebih daripada biasa, oleh itu keperluan kepada vitamin C akan meningkat. Dalam hal ini pengambilan bersama vitamin B kompleks adalah penting.

Perkara-perkara lain

  • Vitamin C amat mudah rosak. Oleh itu sayuran dan minuman yang mengandungi vitamin C akan kehilangan banyak vitamin C jika disimpan lama atau diproses secara berlebihan.

  • Pengambilan bioflavonids bersama-sama dengan vitamin C boleh menguatkan vitamin C dan menggalakkan penyerapan vitamin C.

  • Pengambilan vitamin C dengan vitamin E bersama-sama adalah amat disyorkan kerana kesannya yang synergik.

  • Pengambilan vitamin C yang tinggi boleh menyebabkan masalah perut seperti najis yang agak lembut, cirit-birit dsb. Ini boleh dielakkan dengan mengambil vitamin C selepas makan.

  • Vitamin C tidak menyebabkan ulser gastrik. Ia didapati boleh membantu penyembuhan ulser.

  • Pengambilan vitamin C yang tinggi sebelum menjalani ujian darah boleh memberikan bacaan yang salah. Oleh itu, hentikan pengambilan vitamin C sebelum menjalani apa-apa ujian.

  • Ada kajian yang menyatakan pengambilan vitamin C yang tinggi menyebabkan anda susah untuk mengandung. Oleh itu, pengambilan vitamin C yang tinggi patutlah diberhentikan sekiranya anda berhasrat untuk mengandung.

  • Pengambilan vitamin C sehingga 4000mg sehari tidak digalakkan untuk mereka yang menghidapi masalah batu karang. Begitu juga pesakit yang menjalani haemodialysis atau menghidapi penyakit yang berkaitan dengan buah pinggang tidak digalakkan mengambil vitamin C dalam dos yang tinggi.

  • Pesakit gout tidak digalakkan mengambi vitamin C yang tinggi.

  • Vitamin C tidak boleh diambil oleh mereka yang mengambil ubatan seperti warfarin (ubat yang mencegah pembekuan darah) dan ubat-ubat tekanan perasaan dari kumpulan tricyclic anti-depressant (sila rujuk dengan doktor atau ahli farmasi anda). Antara ubatan lain yang mempunyai interaksi dengan vitamin C ialah aspirin, anti-biotik dan pil perancang.

  • Vitamin C adalah dalam bentuk asid. Bagaimanapun ada jenis-jenis vitamin C yang berbentuk alkali seperti Ascorbate. Ia bolehlah diambil oleh mereka yang tidak tahan dengan asid (seperti mengalami masalah perut bila mengambil vitamin C). Bagaimanapun vitamin C yang tidak bersifat asid ini boleh menyebabkan pengurangan kandungan mineral zink dalam badan anda.