Ketika anak saya lahir, beratnya hanya 2.3 kilogram (kg). Ia normal bagi kami kerana saya memiliki ketinggian 157 sentimeter (sm) dengan 47 kg manakala suami 170 sm dengan 64 kg.


Kini anak saya berusia dua tahun tetapi beratnya hanya 10kg. Dia aktif, sentiasa berselera makan, kuat minum susu dan perkembangannya normal. Saya juga memberinya tablet Appeton hasil cadangan doktor. Tetapi beratnya tidak bertambah dan ia merunsingkan saya.

Setiap kali membawanya ke klinik untuk pemeriksaan bulanan, doktor selalu memarahi saya kerana berat anak yang tidak sepadan usia. Tetapi apa lagi yg boleh saya lakukan? Adakah ia normal atau anak saya berhadapan dengan masalah lain?

EMA
Pahang

Jawapan:


Ketika lahir, berat anak tidak besar sebab seperti yang puan terangkan, ia adalah normal berdasarkan saiz puan dan suami.

Pada kebiasaannya, berat badan anak pada hujung tahun pertama adalah tiga kali ganda berat lahir. Seterusnya, ia bertambah sebanyak 2 kg setiap tahun. Jadi secara kasar, berat badan anak adalah normal. Lagipun, seperti yang puan beritahu, anak sihat, aktif, kuat makan, kuat minum susu dan perkembangannya normal. Sungguhpun begitu, adalah elok puan mendapat kepastian mengenai status kesihatan fizikal dan mentalnya dengan membawanya untuk berjumpa doktor supaya penilaian yang teliti dapat dijalankan.