?SAYA berusia 35 tahun dan mempunyai tiga anak perempuan yang berumur 10, tujuh dan dan dua tahun. Saya sudah berbincang dengan suami dan kami bersetuju untuk tidak mempunyai anak lagi. Saya bercadang untuk mengikat saluran peranakan. Saya ingin tahu apakah kesan dari segi kesihatan selepas saluran peranakan diikat? Benarkah saya berkemungkinan putus haid lebih awal?


DELAILA,
Melalui e-mel


APA yang paling penting ialah keputusan yang puan ambil itu memang betul-betul muktamad. Kalau masih ada keraguan sama ada mahu lagi anak atau tidak, ada cara lain untuk merancang keluarga. Tiada siapa yang akan mengetahui apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Sesungguhnya anak anugerah Allah yang tidak ternilai. Kita hanya akan menyedarinya apabila rezeki itu ditarik balik. Sesudah itu mungkin akan ada keinginan untuk mendapat cahaya mata lagi.

Telur (ova) yang dikeluarkan dari ovari akan memasuki saluran peranakan atau tiub fallopia yang berfungsi untuk menolaknya ke arah rahim. Sperma di dalam air mani yang di deposit di dalam faraj juga akan berenang ke arah tiub dan akan bertemu dengan ova di dalamnya untuk memulakan proses persenyawaan dan permulaan kehidupan janin baru. Jadi, munasabahlah jika sedikit dari tiub itu dipotong atau disekatkan dengan alat seperti klip untuk menghalang pertemuan ini.

Prosedur ini memerlukan pembedahan kecil yang melibatkan penggunaan ubat bius. Ia biasanya dilakukan dengan memasukkan laparoskop ke dalam abdomen untuk meneropong organ-organ di dalamnya. Apabila sudah menjumpai tiub, ia akan dipotong atau diklipkan. Ini suatu proses mekanikal. Ia tidak membabitkan bahagian-bahagian peranakan yang lain atau menjejaskan aliran darah di bahagian lain.

Oleh itu, ia tidak akan memberi apa-apa kesan berpanjangan dan tidak ada kena mengena langsung dengan putus haid! Putus haid hanya berlaku bila ovari sudah berhenti mengeluarkan hormon estrogen.

Fikirlah dahulu sebelum membuat keputusan ini kerana pembedahan ini adalah untuk selama-lamanya. Untuk mengandung balik selepas ini, puan memerlukan pembedahan yang lebih rumit bagi mencantumkan semula tiub. Kemungkinan untuk mengandung selepas itu juga tidaklah seratus peratus pasti. Cara merancang keluarga yang lain ialah dengan membelanjakan duit yang banyak untuk melakukan IVF (In vitro fertilization).

Satu lagi sudut yang perlu diberi perhatian ialah dari segi hukumnya dalam Islam. Perancangan keluarga yang sementara dan ‘reversibel’ seperti pengambilan pil perancang atau alat dalam rahim tidak dihalang, tetapi prosedur ikat tiub ini adalah muktamad. Bincanglah dengan orang yang lebih berpengetahuan dalam perkara ini.