Soalan:
1) Saya kerap berasa sakit di bawah perut apabila bangun dari tidur. Malah selepas bersarapan pagi, saya turut berasa sakit hingga kadang kala seperti ingin muntah. Apakah ia simptom penyakit?


2) Saya masih muda, awal 20an tetapi selalu mengalami sakit kepala hingga terasa hendak pitam. Saya pernah menerima rawatan dan doktor mengesahkan saya mengalami anemia tetapi tidak bahaya. Boleh saya dapatkan panduan mengatasi masalah ini?

3)Apakah penyakit kurap akan kekal pada badan kita? Sudah dua tahun mengalaminya dan belum juga sembuh. Apakah ubat boleh disarankan?

Ingin Tahu
melalui e-mel

Jawapan:


1) Gejala seperti ini merujuk kepada masalah bahagian perut atau kerap orang memanggilnya gastrik. Sakit jenis ini ada beberapa jenis - satu daripadanya ialah kerana asid yang berkumpul di dalam perut naik ke saluran esophagus yang menyambung kerongkong kepada perut. Inilah yang menyebabkan rasa sakit di dada, biasanya di sebelah kiri, kembung, rasa masam di mulut, mual dan muntah. Ianya lebih teruk selepas bersarapan.

Jika sakit ini berlarutan, menjadi semakin teruk, terasa seperti pedih membakar di kawasan ini, mungkin anda ada luka di lapisan perut dipanggil gastrik ulser. Simptom yang paling sering dirasai ialah sakit, terutamanya di sebelah malam atau bila perut kosong. Sebab utama ialah jangkitan kuman H. pylori. Keadaan ini memerlukan pemeriksaan dengan memasukkan kamera halus ke dalam perut dan saluran usus untuk meneropong lapisan perut dan mengambil sampel yang akan diuji untuk kehadiran kuman ini.

Perut kita ini sungguh ajaib - ianya lebih kurang 15 sentimeter panjang dan terletak di sebelah atas kiri abdomen, di bawah jantung. Bila ia kosong, dalamannya akan berlipat-lipat dan mengucup. Bila mula diisi makanan dan minuman, ia mula berkembang dan dapat menampung sebanyak 1 gelen makanan dan cecair. Perut mempunyai lapisan otot yang sangat kuat, yang akan menolong memecah partikel makanan. Enzim dan jus asid dari kelenjar lapisan dalaman pula akan menghadamkan makanan ini. Hidroklorik asid ialah satu daripada asid ini dan ia sangat korosif sehingga dapat mencairkan paku besi - lebih kuat dari 'Clorox'!

Alhamdulillah, kita dianugerahkan lapisan perut yang diselaputi lendir mukus dan proses yang mengeluarkan alkali yang akan meneutralkan keadaan asidik ini. Jika ia tersekat, asid inilah yang menyebabkan luka dan seterusnya membentuk ulser. Jika dibiarkan, ulser ini boleh menghakis seluruh lapisan perut sehingga menyebabkan kandungan perut keluar ke abdomen. Keadaan ini sangat serius, perlu pembedahan dan boleh menyebabkan kematian. Antara penyebabnya ialah jangkitan kuman H. pylori, penggunaan ubat tahan sakit seperti Ponstan dan ubat dari keluarga ini, merokok, alkohol, stress dan beberapa lagi keadaan.

Oleh itu, pergilah melakukan pemeriksaan supaya keadaan lebih serius dapat dikesan awal. Ada banyak ubat boleh mengatasi masalah anda dan menghalang dari keadaan ini melarat.

2) Tekanan darah setiap orang dikawal sistem tersendiri yang membabitkan kawalan utama di otak, jantung, buah pinggang dan rangsangan di dalam salur darah menyebabkan situasi yang stabil membolehkan aliran darah yang berpatutan ke organ dalam badan. Tekanan darah yang normal ialah lebih kurang 90-120 mmHg pada tahap sistolik dan diastoliknya ialah antara 60-80 mmHg. Ada orang yang mempunyai tekanan darah 90/50 dan tidak mengalami masalah kerana ini adalah keadaan normal untuknya.

Jika tekanan darah rendah, darah tidak dapat dipam ke organ badan dengan efektif. Sebagai contoh, jika tekanan darah tidak sampai ke otak dengan secukupnya, otak tidak menerima oksigen dan nutrien yang ia kehendaki menyebabkan seseorang itu terasa pening, melayang dan hendak pitam. Ini sering dialami bila seseorang itu bangun dari duduk atau baring kerana kebanyakan darah berkumpul di bahagian bawah badan. Kebiasaannya, badan akan terus menyesuaikan keadaan ini sehingga kita tidak akan merasai apa-apa perbezaan. Tetapi seseorang yang sudah rendah tekanan darah tidak dapat memberi respons yang sepatutnya dan akan mengalami simtom yang tersebut diatas.

Antara penyebab tekanan darah yang rendah termasuk kekurangan volum darah, iaitu jumlah cecair mengalir dalam saluran darah yang boleh terjadi seperti dalam kes trauma atau perdarahan tidak terkawal ketika pembedahan, dehidrasi yang akan mengurangkan kandungan cecair dalam badan boleh berlaku dalam kes muntah yang teruk, cirit-birit atau demam tinggi. Masalah jantung seperti kadar jantung yang rendah atau terlalu cepat, otot-otot jantung yang lemah boleh menurunkan tekanan darah.

Jika apa yang saudari alami rasa pening atau hendak pitam bila bertukar kedudukan seperti penjelasan di atas dan tidak mengalami apa-apa masalah yang lain, anda mempunyai keadaan yang dipanggil tekanan darah rendah ortostatik ('orthostatic hypotension' atau ia juga dikenali sebagai 'postural hypotension'). Keadaan tidak ada rawatan kerana tekanan darah akan pulih bila anda duduk atau baring kembali. Cuma anda harus berhati-hati - jangan bangun dengan cepat, lakukan ia dengan perlahan-lahan supaya badan dapat menyesuaikan tekanan darah kepada posisi yang baru.

Bagaimanapun anda perlu mendapatkan pendapat pakar untuk meneliti simptom dengan keseluruhannya, kerana ada juga masalah lain seperti ketumbuhan atau penyakit di otak yang boleh menyebabkan simptom sama.

3) Jangan salahkan semua penyakit kulit atas kurap! Kurap biasanya bermakna jangkitan kulat atas kulit dan jika diberi rawatan sesuai, ia akan baik. Jika sudah berpanjangan selama dua tahun, mungkin masalah ini disebabkan eczema, psoriasis, lupus dan beberapa lagi penyakit kulit yang kronik. Ini memerlukan perhatian pakar kulit atau dermatologi. Lagi lama dibiarkan, parutnya akan menjadi lebih teruk.