Doktor beri ubat merangsang pengeluaran sperma

SOALAN: DOKTOR, suami saya didapati tidak mempunyai sperma. Adakah ini bermakna saya tidak berpeluang untuk mempunyai zuriat? Buat masa ini doktor yang kami rujuk telah memberinya ubat untuk merangsang pengeluaran sperma. Adakah ubat-ubatan ini dapat membantu?


ISTERI MUDA,
Melalui e-mel


TIADA pasangan suami isteri yang tidak ingin menimang anak. Sedangkan pasangan kelamin yang berkahwin lewat juga berhasrat demikian walaupun kadar kemungkinan mereka mencapai hasrat itu amat tipis berbanding pasangan muda dan berreproduktif.

Alangkah kecewanya apabila pasangan kelamin yang inginkan cahaya mata itu berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan kesuburan mendapati si suami ada masalah kesuburan, iaitu dia tidak mampu menghasilkan benih dalam air maninya, keadaan yang dikenali sebagai Azoospermia.

Pemeriksaan susulan akan dilakukan kepada lelaki yang mengalami Azoopermia dengan mengulangi ujian air mani untuk beberapa kali lagi untuk memastikan tahap kesuburan.

Jika sah tiada sperma, pemeriksaan dilakukan kepada buah zakar dan salur buah zakar untuk mengenali kedudukan dan saiz buah zakar (ukuran normal antara 12-30 ml berasaskan ukuran dengan pengukur Prader Orkidometer) dan sama ada salur sperma ada atau sebaliknya (congenital absence of the vas deferens).

Ujian menyukat tahap hormon kesuburan lelaki:

Jika ini tinggi ia menggambarkan kilang sperma yang telah rosak.

Jika tahap hormon rendah, ubat penyubur tertentu akan diberi. Ujian air mani susulan akan dilakukan tiga hingga enam bulan kemudian kerana untuk sperma menjadi matang dari peringkat asal, ia sekurang-kurangnya memerlukan 90 hari dan selewat lewatnya sembilan bulan.

- Jika ujian darah FSH didapati meningkat sudah tentu sperma ada terjadi. Pemeriksaan seterusnya ialah mengambil secebis tisu dari kedua-dua buah zakar untuk meneliti kedudukan kilang sperma sama ada ada pembiakan sperma atau sebaliknya. Mungkin ini ialah penentuan kesuburan lelaki itu.

* Jika didapati kilang rosak, tiada kemungkinan lelaki itu mampu menghasilkan sperma.

Jangan percaya sangat cara perawatan batin dengan menjalani pembedahan secara ghaib. Itu satu perbuatan tahyul dan sia-sia.

* Jika kesudahannya suami tak menghasilkan sperma, ini bukan kehendak suami. Ini ialah suratan takdir. Sama-sama berusaha mendapatkan anak angkat kerana ini satu usaha yang memberi berkat kepada isteri dan pasangan jika itu sudah ditakdirkan.