?SAYA berumur 25 tahun manakala suami saya pula berusia 53 tahun. Kami telah berkahwin hampir dua tahun. Perbezaan umur antara kami tidak menjejaskan hubungan intim tapi akhir-akhir ini saya dapati suami sering mengalami sakit perut seperti gastrik selepas hubungan intim.


Perkara ini amat membimbangkan saya walaupun ia tidak menjejaskan keupayaan seksualnya. Apakah yang sebenarnya dihidapi suami saya dan apakah cara terbaik untuk mengatasinya. Adakah kerana suami saya tersalah makan ubat?

LATIFAH,
Sandakan Sabah


HUBUNGAN seksual suatu nikmat yang Tuhan beri kepada manusia iaitu keseronokan hidup. Selagi perkara itu masih dapat dilakukan selagi itu manusia akan melakukannya. Tapi jika di sebalik nikmat itu ada derita, susah juga. Nampaknya itu yang lebih kurang berlaku kepada suami puan yang 27 tahun lebih tua daripada puan.

Suami puan mengalami sakit perut setiap kali bersama tapi kesakitannya itu tidak menjejas kemampuan fungsi syahwatnya. Memang sukar untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku kepadanya dan kenapa sakit perut itu boleh berlaku setiap kali anda bersama.

Jika dia memang pernah mengalami sakit perut yang dikenali sebagai gastritis atau keradangan perut, ini berlaku apabila terdapat tekanan asid perut kepada selaput kulit bahagian dalam perut, ia mungkin perkara biasa untuknya.

Tetapi dari keterangan puan, perkara ini berlaku sejak kebelakangan ini saja. Besar kemungkinan ini boleh berlaku jika dia ada mengamalkan makan 'ubat kuat' setiap kali sebelum bersama dengan puan. Terdapat banyak suami yang gemar makan 'ubat kuat' tanpa memberi tahu isteri dan kebanyakan 'ubat kuat' ini didapati secara sulit.

Kemungkinan ‘ubat kuat’ ini mengandungi bahan larangan seperti viagra yang didapati boleh mengakibatkan keradangan perut terhadap lelaki yang pernah mengalami 'gastritis'. Terdapat juga 'ubat kuat' herba yang mengandungi ekstrak seperti ginseng, tongkat ali dan pelbagai lagi yang sedikit sebanyak merangsang pengeluaran asid gastrik jika dimakan tanpa mengalas perut.

Saya cadangkan supaya suami puan mengelakkan makan ubat kuat untuk sementara waktu dan jika masih ada juga sakit perut ketika bersama, mungkin masalah sakit perutnya akibat 'tekanan' kepada usus yang dikenali sebagai 'irritable bowl syndrom' akibat memaksa diri untuk bersetubuh dengan pasangan.

Bagaimanapun, elok untuk suami puan berjumpa doktor untuk mengatasi masalah ini supaya penyakitnya tidak melarat. Makan 'ubat kuat' secara sembunyi boleh mendatangkan risiko lebih-lebih lagi jika 'ubat' itu ubat larangan yang perlu mendapat nasihat doktor.

Memang menjadi tabiat lelaki terutama yang sudah berumur sering membuat persediaan ketika mengahwini pasangan muda, tapi jangan sampai memudaratkan kesihatan. Dapatkan pemeriksaan doktor dan rawatan tenaga batin jika itu yang dikehendaki, daripada merawat diri sendiri.