TEKANAN sering kali dialami kebanyakan wanita sama ada pelajar, suri rumah atau wanita bekerjaya. Beban di tempat kerja yang tiada kesudahan menyebabkan mereka mudah sakit kepala, badan terasa lesu dan cepat marah.


Saban hari mereka berkerja hingga kadang kala melebihi 12 jam daripada waktu bekerja dan tentunya membuatkan tubuh badan letih serta lemah. Lebih merumitkan lagi sikap kita sendiri yang tidak mengambil berat faktor senaman.

Sebenarnya pelbagai cara boleh dilakukan bagi mengurangkan tekanan. Ada yang melakukannya dengan beriadah bersama keluarga, bersenam, mengunjungi spa dan cara yang paling senang dan cepat ialah berurut.

Pengurus Tim Body Care Training Centre, Dayang Abd Aziz, berkata, kuasa dan keajaiban sentuhan urutan memang tidak dinafikan mempunyai banyak manfaat serta memberi kesan yang begitu mendalam, bukan saja pada fizikal malah minda dan jiwa individu.

“Urutan dilakukan dengan teknik yang betul boleh menurunkan kadar degupan jantung, merendahkan tekanan darah, meningkatkan aliran darah, merehatkan otot-otot dan sebagainya.

“Perkara seumpama itu bukan sesuatu mustahil kerana urutan membabitkan manipulasi struktur tisu lembut badan secara manual bagi menghilangkan ketidakselesaan, pengecutan otot dan tekanan serta meredakan kesakitan,” katanya.

Beliau berkata, urutan turut merangsang pengeluaran hormon endorfin iaitu sejenis bahan kimia yang membangkitkan rasa gembira dan meningkatkan keyakinan diri.

“Wanita mudah mengalami tekanan dan bahagian tubuh yang sering menerima kesan ialah leher, bahu dan kepala. Ketiga-tiga bahagian ini berkait rapat. Justeru, apabila ‘stress’ kepala akan turut sakit.

“Leher dan bahu akan tegang. Jika kita memicit bahagian ini akan terasa seperti ada benjolan menyebabkan darah tidak dapat mengalir dengan lancar sekali gus menyebabkan timbulnya migrain dan insomnia,” katanya.

Beliau berkata, tekanan dan ketegangan badan banyak bergantung kepada pergerakan anggota itu sendiri. Jika sebelah kiri banyak bergerak, maka bahagian kiri yang banyak mengalami ketegangan.

“Jika kita sentuh bahagian yang mengalami ketegangan itu, kita akan berasa keras. Jadi untuk melembutkannya urutan ringan perlu dilakukan. Sebaik-baiknya kita mengurut seminggu sekali bagi mengelakkan penyakit seperti insomnia dan keletihan,” katanya.

Beliau berkata, bagi memudahkan urutan dilakukan, minyak aromaterapi disaran digunakan kerana berupaya merehatkan minda. Jadi sambil meredakan ketegangan anggota badan, minda juga segar.

Katanya, di Tim Body Care Training Centre juga menawarkan kursus asas kepada peserta mengenai teknik mengurut seluruh anggota badan. Peserta akan diajar cara urutan aromaterapi dan Thai serta diberikan latihan praktikal.

Antara teknik mengurut lain yang diajar ialah urutan kaki dan tapak kaki, urutan belakang dan pinggul, pemulihan sukan, detoksifikasi badan, urutan tangan bagi yang menghidap atritis, urutan muka dan kepala untuk sakit kepala. Untuk maklumat lanjut, hubungi 03 79600018 atau layari laman web www.massage.com.my

FAKTA: Faedah urutan

  • Menyingkirkan lebihan toksin badan.
  • Mengurangkan kadar denyutan jantung dan tekanan darah.
  • Merehatkan otot-otot yang selama ini mungkin mengalami ketegangan.
  • Melicinkan tekstur kulit yang menjadi organ tubuh manusia paling besar.
  • Melancarkan sistem pencernaan.
  • Membentuk badan.
  • Menyeimbangkan minda, rohani dan jasmani.
  • Mengurangkan kebimbangan dan tekanan mental

    INFO: Tip pemakanan meredakan tekanan:

  • Kekacang - Kekacang seperti kacang merah, putih dan hijau mempunyai sumber protein yang tinggi apabila diambil bersama bijirin. Selain protein, kekacang juga kaya dengan thiamin (B1). Kekurangan thiamin dikatakan sering mempamerkan nilai-nilai moral yang rendah, kekeliruan fikiran dan sering meradang.

  • Beras coklat dan bawang putih - Kedua-dua bahan ini mempunyai vitamin B6 yang diperlukan otak untuk membina protein dan membentuk kolagen. Beras coklat pula mempunyai sumber vitamin B.

  • Bayam - Kaya dengan klorofil yang membuang toksin daripada tubuh dan mengurangkan radang. Sayuran hijau kaya dengan magnesium yang berupaya menentang ‘anxiety peptide’ yang juga rangkaian asid amino di otak boleh menyebabkan rasa kebimbangan dan kerisauan.

  • Dadih - Sumber kalsium merendahkan kadar ritma jantung dan tekanan darah tinggi dengan mengawal saraf periferal dan otot yang mudah terangsang.

  • Asparagus - Kaya dengan folate untuk membantu daya ingatan dan sesuai untuk otak yang sentiasa berfikir sibuk.

  • Produk kacang soya - Kebanyakan produk ini kaya dengan `tryptophan' iaitu sejenis bahan utama dalam pembentukan melatonin iaitu hormon yang dihasilkan oleh otak membantu mengurangkan tekanan, menenangkan saraf bagi tidur nyenyak.

  • Betik - Kaya dengan vitamin C, yang membantu tubuh mengimbangkan asid amino, menukarkan asid folik kepada bentuk lebih aktif dan berfungsi membaiki tisu-tisu badan.

  • Aprikot kering - Kaya dengan sumber potasium dan vitamin A. Tahap vitamin A yang rendah di dalam tubuh dikatakan boleh mendorong kepada kesunggulan. Bahan mineral dikenali sebagai `magnese' pada aprikot merangsang pertumbuhan hormon-hormon seks yang dikatakan dapat meningkatkan kesihatan mental.

  • Pisang - Mengandungi melatonin yang kaya dengan potasium berupaya meredakan tekanan.

  • Ubi kentang - Kaya dengan potasium dan vitamin B. Tahap kandungan vitamin B rendah ada hubung kait dengan kegelisahan, tekanan, kebimbangan, meradang dan perasaan yang berubah-ubah.

  • Bijirin oat - Kaya dengan vitamin B yang penting kepada saraf. Terbukti dapat membantu tekanan dan kemurungan.