Saya sudah berumah tangga selama dua tahun tetapi belum mempunyai anak. Selepas berjumpa pakar sakit puan dan melalui beberapa ujian, doktor mengesahkan saya mempunyai bicornuate uterus. Apa sebenarnya bicornuate uterus? Masihkah saya berpeluang memperoleh anak sendiri?


Pembentukan rahim, tiub fallopian dan satu pertiga bahagian atas faraj pada peringkat janin bermula dari minggu kelapan kehidupan. Ia terjadi daripada dua saluran yang dipanggil saluran ‘Mullerian’ yang akan bercantum membentuk satu saluran, kemudian bahagian dalamnya akan melalui pertukaran sehingga akhirnya terdapat rongga seperti dalam rahim yang normal. Proses ini hanya akan sempurna pada minggu ke-20 me­ngandung.

Laporan mendakwa pembentukan rahim yang luar biasa terjadi dalam satu hingga 3.5 peratus daripada kalangan populasi wanita. Pembentukan ovari pula daripada punca yang lain daripada saluran ini. Ini bermakna walaupun rahim bukan berupa seperti yang biasa ataupun jika rahim tidak ada, ovari masih terbentuk dan akan berfungsi seperti biasa.

Bagi rahim ‘bicornuate’, saluran Mullerian itu bercantum separuh bahagian hingga terbentuk dua rongga berbeza yang bertemu di serviks. Seseorang itu akan mengalami haid seperti biasa tanpa sakit dan mungkin akan melalui hidup tanpa mengetahui rahimnya berbentuk sedemikian.

Ia dikesan secara kebetulan melalui pemeriksaan pelvik yang rutin melalui ultrasound atau pemeriksaan lebih khusus bagi wanita yang berdepan masalah mengandung. Pemeriksaan ultrasound secara 3D atau pemeriksaan MRI akan membolehkan diagnosis tepat.

Keadaan ini tidak perlu dirawat kerana kemungkinan untuk mengan­dung masih ada. Jika tiada masalah lain seperti tiub tersumbat atau keadaan merumitkan untuk mengandung seperti endometriosis, jangkitan pelvik atau ketumbuhan. Ada laporan mengatakan kemungkinan mendapat kelahiran yang hidup ialah 60 peratus. Tetapi oleh kerana rongganya sudah terbahagi, ianya mungkin menimbul masalah yang berkaitan dengan ruang.

Oleh itu, kerumitan yang boleh timbul ketika mengandung ialah keguguran pada awal kehamilan, kelahiran tidak cukup bulan dan kedudukan bayi abnormal - paling biasa ialah kedudukan songsang kerana rongga bahagian atas lebih lebar menjadikan ia lebih selesa untuk kepala bayi. Bila ini berlaku pembedahan caesarean akan dilakukan.

Pembedahan untuk membetulkan keadaan ini hanya perlu jika berlaku keguguran berulang kali. Ianya tidak dilakukan secara rutin kerana ia akan melukakan bahagian rongga rahimdan untuk pulih perlukan masa panjang.

Disebabkan sudah dua tahun puan mencuba, pendapat daripada pakar dalam bidang infertiliti dapat menolong puan dan jika sudah mengandung, penjagaan yang lebih prihatin diperlukan untuk imbasan ke atas komplikasi yang mungkin terjadi.