SAYA dan suami berhadapan dengan masalah oli go sper mia. Sebelum ini saya sudah mendapat rawatan kesuburan dan di sahkan subur serta tidak mengalami sebarang masalah.


Malangnya melalui pemeriksaan sperma yang dibuat suami, didapati kandungan sperma suami saya amat kurang. Ketika melahirkan anak pertama sembilan tahun lalu, saya hamil dengan kaedah yang sama iaitu mendapatkan rawatan kesuburan di pihak suami.

Saya ingin tahu bagaimana untuk merawat oligospermia dan adakah ubat-ubatan yang boleh dibeli terus dari farmasi kerana kos rawatan di hospital sangat mahal.

EMA
Melalui e-mail


SAYA memahami apa yang puan dan suami puan lalui dan cukup simpati terhadap masalah puan sekarang. Masalah oligospermia tidak semudah memakan pil untuk menambah kandungan sperma. Kalaulah ada pil yang boleh melakukannya, ia tidak akan menjadi masalah lagi. Ingat, rawatan yang diperlukan bukan untuk merawat laporan yang menunjukkan kandungan sperma, tetapi penyebabnya.

Kebiasaannya sebab-sebabnya rumit dan susah untuk dirawat.

Kandungan sperma yang normal didapati dalam lelaki yang sudah memiliki anak ialah antara 20-300 juta dalam satu milliliter (ml) air mani. Setiap ejakulasi, dia mengeluarkan lebih kurang lima hingga tujuh ml air mani. Oligospermia adalah kandungan sperma sekitar 2-5 juta per milliliter. Azoospermia bermakna tiada sperma langsung dalam spesimen yang diberi. Ujian kedua harus dilakukan selepas tiga bulan. Jika masih tiada sperma, barulah keadaan ini disahkan.

Proses pembentukan sperma ke peringkat kematangan mengambil lebih kurang 10 minggu, dan ia berlangsung berterusan. Dianggarkan lelaki antara 13-90 tahun dapat membentuk 200 juta sperma dalam sebelah testis (bahagian pembiakan lelaki) sehari. Cuma satu sperma saja diperlukan untuk persenyawaan ova. Senangkan? Tidak semudah itu.

Sperma adalah sangat halus sehingga tidak dapat dilihat dengan mata kasar - bayangkan ia perlu berenang 30-40 sentimeter (lebih kurang 100 000 kali ganda lebih panjang dari badannya) melalui sistem pembiakan wanita untuk sampai ke telur (ova).

Kurang satu juta dari jumlah permulaan akan sampai ke tempat tujuannya.

Mungkin setengah silap alamat pula, kerana telur yang dikeluarkan berada di tiub falopia yang di sebelah lain!

Kawalan pengeluaran sperma bergantung kepada hormon-hormon di bahagian otak dan di testis, dan mana-mana bahagian boleh menyebabkan masalah. Yang paling biasa ialah permasalahan di testis, tempat ia dibentuk. Antara masalah yang menyebabkan kerosakan testis ialah jangkitan (terutama lantaran dari jangkitan beguk atau ‘mumps’), trauma, penyakit konjenital dan yang pernah melalui kemoterapi untuk penyakit kanser.

Malangnya 50% faktor masalah testis tidak diketahui. Lain-lain penyebab ialah bila aliran sperma terhalang - ini boleh berlaku bila berlaku obstruksi di bahagian saluran yang membawanya.

Masalah kekurangan hormon di bahagian pituitari dalam otak ialah satu lagi punca, begitu juga masalah imuniti iaitu badan sendiri mengeluarkan antibodi yang memusnahkan sperma.

Bentuk sperma juga penting - jika kuantitinya bagus, tapi kualitinya berkurangan pun tak jadi juga, kerana kecacatan bentuk sperma menyebabkan ia cepat mati atau susah untuk berenang hala ke hadapan. Satu lagi punca ialah bila ada permasalahan ejakulasi.

Apabila pesakit tampil dengan masalah ini,ramai doktor menggelengkan kepala kerana kebanyakan yang mengalaminya sihat, malah segak dan tampan, tetapi susah untuk dirawat.

Bermacam-macam ubat-ubatan yang dicuba termasuk suntikan hormon, testosteron, vitamin E, vitamin C dan antioksidan terapi. Ada yang menggalakkan pemakanan yang tinggi kandungan protein. Bagaimanapun, rawatan sedemikian tidak berjaya dalam kebanyakan kes.

Puan jangan membuang masa lagi mencari ubat kerana dalam masa sembilan tahun yang berlalu ini. Saya rasa puan telah mencuba segala rawatan yang ada - dari ubatan konvensional hingga mengurut secara tradisional atau cara Thai atau Bali, homeopati, rawatan ayurvedik dan lain-lain lagi!

Gunakan simpanan untuk mencuba rawatan fertiliti di pusat-pusat rawatan yang bernas pula. Ada hospital-hospital awam yang besar yang ada kepakaran dan alat-alat canggih yang paling moden untuk mengatasi masalah ini.