SAYA berumur 23 tahun dan masih bujang. Setiap kali datang haid saya berhadapan dengan senggugut yang teruk. Saya ingin tahu sejauh mana pengambilan pil evening primrose oil (EPO) boleh membantu mengurangkan kesakitan setiap kali haid. Saya ada mengambilnya tapi kadangkala jika kesakitan terlalu teruk, saya akan mengambil ponstan atau PCM.
Bagaimanapun, saya agak bimbang kerana pernah terbaca ponstan akan memberi kesan kepada rahim dan mungkin meyukarkan untuk mengandung pada masa depan. Adakah ini betul? Adakah masalah ini akan berterusan selepas saya berkahwin.
Selain itu saya berhadapan dengan lelehan yang keluar dari faraj setiap bulan. Adakah ia normal dan apakah itu keputihan?
ZARINNA,
Melalui e-mail
RAMAI wanita mengalami senggugut. Senggugut atau dismenorea ialah sakit semasa haid. Sakit ini disebabkan oleh otot dalam rahim yang sedang mengecut kerana adanya prostaglandin, sejenis hormon di dalam lapisan dalam rahim. Semasa haid, lapisan dalaman rahimlah yang akan gugur menjadi darah haid, dan prostaglandin ini dikeluarkan ketika itu.
Paras hormon ini tinggi dalam dua hari pertama dan ramai mengadu sakit kuat. Selain dari sakit, ada juga yang mengalami sakit belakang, ceret-beret, loya, muntah, sakit kepala seperti migrain atau pening.
Ia boleh dibahagikan lagi kepada dua jenis – primari dan sekondari. Kira-kira 90 peratus yang mengalami senggugut adalah jenis yang pertama, ia datang semasa haid saja, tiada sakit selepas itu dan tidak berkaitan dengan apa-apa penyakit. Ia bermula semasa tahun-tahun awal permulaan haid atau lebih kurang tiga tahun selepas bermulanya haid. Ia biasanya hilang dengan memakan ubat tahan sakit seperti Panadol atau Ponstan. Pil perancang juga didapati mengurangkan sakit ini.
Namun, sekondari dismenorea lebih serius. Ia disebabkan penyakit di bahagian peranakan dan ujian perlu dilakukan untuk mencari sebab sakit itu. Sakitnya juga berbeza, ia akan datang dua atau tiga hari sebelum haid, semasa haid, sakitnya semakin teruk dan mula reda selepas habis perdarahan.
Keadaan yang boleh menyebabkan sakit jenis ini termasuk endometriosis, jangkitan di dalam rahim dan tiub, adenomyosis (keadaan endometrium, sel-sel lapisan dalam rahim berkembang di bahagian rahim yang lain, biasanya di lapisan otot rahim), fibroid, pembukaan serviks yang terlalu kecil sehingga susah untuk darah mengalir keluar, ketumbuhan di ovari, usus atau pundi kencing. Alat IUCD (intrauterine contraceptive device) yang dimasukkan di dalam rahim untuk perancangan keluarga juga boleh menyebabkan senggugut seperti ini, tetapi ia tak begitu kerap berlaku.
Cuba tanya kawan-kawan atau keluarga sekeliling saudari sama ada sakit yang mereka rasai sama seperti apa yang saudari alami. Kalau rasa sakit, anda lebih dari itu, seelok-eloknya pergi buat pemeriksaan untuk memastikan tiada penyakit lain. Saya rasa golongan suami seluruh dunia sudah cukup memahami keadaan ini dan pandai untuk tidak mengganggu isteri mereka pada masa ini.
Sakit yang dialami sehari dua semasa haid tidak patut dijadikan alasan untuk runtuh rumah tangga! Ada juga yang pulih selepas bersalin, kerana pembukaan serviks menjadi lebih luas dari dahulu.
Evening Primrose Oil (EPO) ialah minyak dari biji bunga Oenothera biennis. Ia mula mendapat perhatian dalam tahun 1919, selepas penyelidikan di Jerman mendapati ia mempunyai kandungan asid gama-linolenik yang tinggi. Asid ini adalah perantaraan untuk reaksi metabolik untuk menukar linolenik asid kepada prostaglandin E1, yang menjadi perantaraan untuk kelancaran aktiviti hormon-hormon yang lain.
Antara kelebihan yang telah diperkatakan tentang EPO ialah ia meredakan masalah premenstruasi seperti kembung perut, bengkak buah dada, mententeramkan 'mood' dan kesedihan. Ia juga boleh menolong untuk mengurangkan masalah kulit seperti eczema, menurunkan darah tinggi dan kolesterol selepas pengambilan beberapa bulan dan memperelokkan keadaan bengkak sendi dalam rheumatoid arthritis.
Tetapi awas! Ini biasanya tidak mempunyai fakta yang kukuh. Dalam satu analisis yang dilaporkan dalam laporan Cochrane (sebuah badan analisa berprestasi yang bertaraf antarabangsa) pada isu kedua tahun 2005, EPO tidak memberi apa-apa faedah untuk mengurangkan sakit dismenorea atau masalah premenstruasi. Jika anda sudah mencuba dan tidak mendapat apa-apa perbezaan bila datang bulan, jangan membazir duit untuk ubat ini lagi.
Apa yang disyorkan untuk mengurangkan senggugut ialah hidup secara sihat dan aktif, bersenam selalu, kurangkan tekanan hidup dan cukup tidur. Ubat-ubat suplemen yang menunjukkan kesan yang efektif ialah vitamin B1 dan baru-baru ini, terapi magnesium - tetapi masih tiada bukti yang kukuh lagi.
Mengenai perkara keputihan dari faraj - ia akan berubah mengikut kitaran haid juga. Ia tidak begitu banyak selepas haid, menjadi lendir yang jernih di pertengahan bulan dan mula menjadi putih pekat bila akhir bulan. Jika ada perubahan warna, berlebihan lendir atau bau yang berlainan, ia menandakan ada jangkitan dan perlu mendapat perhatian perubatan.
0 Comments Received
Leave A Reply