CIRIT-birit boleh didefinisikan sebagai pembuangan kuantiti najis melebihi 10 ml/kg sehari. Dalam konteks klinikal, cirit-birit adalah pembuangan najis cair, lazimnya sekurang-kurangnya tiga kali dalam 24 jam. Cirit-birit dikenali menerusi konsistensi najis dan bukan kekerapan pembuangan najis.


Mengapa ada kanak-kanak yang berisiko terhadap cirit-birit ?

a) Pemberian susu formula, pemberian makanan tambahan terlalu awal kepada bayi.

b) Ketidakseimbangan pemakanan yang merendahkan sistem pertahanan badan.

Faktor jangkitan

Kes cirit birit secara keseluruhannya disebabkan virus dan bakteria. Sebelum tahun 70an, sebahagian besar dari agen yang menyebabkan jangkitan cirit-birit tidak diketahui. Penggunaan mikroskop elektron untuk mengkaji spesimen najis membawa kepada penemuan virus ‘Norwalk’. Tidak lama kemudian, virus ‘rotavirus’ ditemui dan ianya dikenal pasti sebagai punca jangkitan cirit-birit yang paling kerap di kalangan kanak-kanak di seluruh dunia.

Beberapa virus lain umpamanya ‘adenovirus’, ‘astrovirus’, ‘calicavirus (termasuk agen ‘Norwalk’) juga ditemui. Lebih dari setengah kes cirit-birit di kalangan kanak-kanak bawah umur lima tahun membabitkan sebilangan RNA virus seperti ‘reo-like’, ‘orbivirus atau rotavirus. Contoh bakteria yang boleh menyebabkan cirit-birit adalah Salmonella, Shigella, E.coli dan Vibrio cholerae.

Simptom

a) Muntah-muntah

Dalam jangkitan cirit-birit, lazimnya, muntah-muntah mungkin adalah simptom yang jelas dari awal lagi sementara najis belum lagi kelihatan cair. Lagipun, najis yang sangat cair mungkin dikelirukan dan dianggap sebagai air kencing.

b) Sakit perut

Kebiasaannya, anak akan merasai sakit perut yang kuat dengan penghasilan bunyi perut berangin yang berlebihan.

c) Demam

Simptom yang kerap dalam kumpulan ini dan dalam jangkitan Shigella pula, seseorang anak itu mungkin mengalami demam sawan dan sakit di bahagian tengkuk kepala dulu sebelum simptom gastrousus.

Rawatan

Ibu bapa atau penjaga harus membawa anak berjumpa doktor jika mereka mengalami simptom sebegini supaya doktor boleh menjalankan pemeriksaan untuk menilai tahap hidrasi dan memberi rawatan sewajarnya. Penilaian tahap hidrasi bergantung kepada beberapa tanda klinikal yang memberi gambaran terhadap perubahan dalam status keseimbangan cecair dalam sel-sel tisu badan dan salur darah.

Apabila seseorang itu mengalami simptom cirit-birit, di samping kehilangan air dalam cecair cirit-birit itu, ia juga kehilangan garam galian. Dengan itu, prinsip rawatan jangkitan cirit-birit ialah menggantikan cecair badan yang hilang, mencegah kekurangan cecair yang berterusan dengan setiap episod cirit-birit dan mencegah komplikasi seperti ketidakseimbangan elektrolit, sawan dan sebagainya.

Penggantian bendalir badan dan sokongan pemakanan berkhasiat adalah terapi utama dalam jangkitan cirit-birit sama ada disebabkan virus atau bakteria.

Garam rehidrasi oral direka untuk menggantikan kehilangan elektrolit dan cecair berikutan cirit-birit. Rawatannya dengan menggantikan cecair badan yang hilang itu dengan memasang tiub halus dalam urat darah dan memasukkan air garam galian melalui tiub itu.

Sebelum penemuan garam rehidrasi, jangkitan cirit-birit adalah sebab kematian utama di kalangan kanak-kanak di dunia. Penciptaan garam rehidrasi disebut sebagai kemajuan perubatan paling penting dalam kurun ke-20 dan kegunaannya disyorkan di seluruh dunia untuk rawatan cirit-birit.

Fakta:

a) Penyusuan susu ibu sekurang-kurangnya enam bulan pertama adalah perlindungan paling berkesan terhadap jangkitan kuman cirit-birit.

b) Muntah dan cirit-birit mungkin juga boleh disebabkan masalah surgikal seperti akut apendiks dan ‘intussusception’. Kedua-dua simptom itu juga boleh diakibatkan jangkitan pada saluran pernafasan, sistem buah pinggang dan otak.