?SAYA ingin penjelasan lebih lanjut mengenai beberapa masalah mengenai darah dan pembedahan. Saya mempunyai darah rhesus negatif dan suami rhesus positif. Ketika bersalin anak pertama melalui pembedahan ceasarian saya mengalami tumpah darah selepas tiga jam dan menyebabkan saya telah diberi dua pain darah, tetapi ketika kemasukan darah bagi beg kedua, badan menggigil dengan suhu badan yang meningkat secara mendadak. Doktor memberhentikan kemasukan darah dan memberikan drip antibiotik.


Baru-baru ini saya hamil anak kedua, tetapi malangnya saya mengalami pendarahan selama sembilan hari ketika kandungan berusia 10 minggu. Pendarahan yang keluar tidak banyak pada hari pertama hingga ke lapan, tetapi pada hari ke sembilan darah merah keluar hingga akhirnya kandungan saya gugur.

Saya ingin tahu;

a) Adakah kemungkinan pendarahan yang berlaku bagi kandungan kedua disebabkan suntikan RhoGam yang diberikan kepada saya sebaik saja selepas pembedahan ceasarian anak pertama dulu tidak berkesan lagi akibat kemasukan antibodi yang banyak?

b) Berapa lamakah selang masa yang sesuai untuk mengandung lagi selepas melakukan pembedahan ceasarian?

c) Berapa lamakah selang masa yang sesuai untuk mengandung lagi selepas melakukan D&C?

d) Apakah banyak risiko jika saya mengandung pada usia 40 tahun dan bolehkah saya terus menyusukan anak jika saya sedang mengandung?

IBU 40-AN,
Melalui e-mel


SAYA baru saja menulis keterangan mengenai kumpulan darah negatif beberapa minggu lepas. Harap-harap puan sempat membacanya. Di dalamnya saya telah menerangkan mengenai penggunaan imunoglobulin untuk melindungi ibu dari membentuk antibodi terhadap sel-sel darah Rhesus positif bayi yang telah bercampur dalam darah ibu.

RhoGam ialah salah satu produk farmaseutikal yang mengandungi imunoglobulin ini. Ada juga lain-lain nama kepada produk ini bergantung atas syarikat yang mengeluarkannya. Ia tidak ada apa-apa kaitan dengan keguguran yang puan alami. Ubat ini harus diberikan tiap-tiap kali puan mengandung dan bersalin, untuk melindungi daripada terjadinya pembentukan antibodi rhesus positif. Ini juga termasuk kandungan yang telah gugur atau yang tidak cukup bulan.

Ada banyak faktor yang boleh menyebabkan reaksi ketika transfusi darah. Sebelum seseorang itu diberi darah, pemeriksaan rapi di makmal telah dilakukan untuk memastikan kumpulan darah dan Rhesus adalah sama. Jadi tidak mungkin puan diberikan darah dari kumpulan yang tidak sama kerana transfusi yang pertama tidak memberi apa-apa komplikasi. Reaksi yang dialami oleh puan disebabkan faktor lain yang terdapat di dalam darah transfusi yang kedua itu. Suhu badan tinggi dan menggigil adalah reaksi yang paling biasa terjadi. Ia disebabkan oleh reaksi badan terhadap sel-sel darah putih dan platelet dalam darah yang didermakan.

Bila transfusi darah itu diberhentikan, suhu badan akan turun dalam masa empat ke enam jam, dan ubat-ubatan yang diberi adalah untuk menurunkan suhu badan dan mengawal kesan reaksi. Selain dari itu, drip diteruskan untuk memastikan kandungan cecair badan tidak berkurangan untuk membenarkan buah pinggang berfungsi dengan normal kerana haba yang tinggi menyebabkan lebih cecair terhilang. Drip yang digunakan biasanya tidak mengandungi antibiotik. Tetapi antibiotik diberikan (biasanya bukan melalui drip, hanya suntikan ke dalam salur darah vena) sebagai langkah untuk menghalang jangkitan selepas pembedahan. Selepas satu tahun, badan sudah pulih seperti biasa, tidak harus ada apa-apa lagi kemusykilan dari kesan derma darah atau antibiotik. Sebab-sebab perdarahan ialah kerana kandungan yang kedua itu sendiri.

b) Nasihat yang selalu diberi ialah lebih kurang satu tahun. Jangan lupa, pembedahan caesarean adalah pembedahan yang agak rumit (major) dan ramai yang telah melaluinya mengambil masa untuk kembali pulih, bukan seperti bersalin secara biasa. Pendapat sekarang ialah tunggu sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan, kerana dijangka rahim dan tisu yang telah dibedah mengambil masa selama ini untuk pulih.

c) Dari segi perubatan, wanita dinasihatkan untuk elak melakukan hubungan kelamin sekurang-kurangnya satu minggu, supaya mengurangkan kemungkinan untuk terjadi jangkitan dalam rahim. Oleh kerana tiap-tiap kaum ada pantang dan larangnya, terpulanglah kepada keselesaan puan. Bila haid datang balik selepas D&C, itu bermakna proses pengeluaran telur dan kitaran menstruasi telah kembali kepada normal. Jadi lebih senang untuk puan merancang bila waktu subur untuk cuba mengandung.

d) Risiko untuk wanita berusia 40 tahun dan lebih termasuk susah untuk mengandung kerana kandungan dan kualiti telur dalam ovari semakin berkurangan. Rawatan kesuburan mungkin perlu, termasuk cara-cara yang menggunakan kaedah yang lebih canggih seperti Invitro Fertilisation (IVF). Jika sudah mengandung, ada risiko yang lebih tinggi untuk mendapat kandungan yang mempunyai masalah kandungan kromosom dan kecacatan pembentukan struktur badan. Ini termasuk bayi yang mempunyai Sindrom Down's.

Puan dinasihati untuk menjalani amniosentesis ketika kandungan 16-18 minggu. Ujian ini mengambil sedikit cecair dalam kandungan untuk mendapatkan sel-sel bayi dalam cecair itu. Ia akan diproses untuk mendapat kandungan kromosom bayi. Selain dari itu pemeriksaan ultrasound yang terperinci juga perlu untuk mengkaji struktur bayi seperti jantung, usus, bahagian otak, muka dan bahagian lain. Ini dilakukan oleh segologan pakar dalam bidang obstetrik yang dikenali sebagai pakar feto-maternal. Anda boleh menyusukan bayi, tetapi bila sudah mengandung, kandungan hormon akan bertukar. Kandungan estrogen yang tinggi akan mengurangkan susu badan. Lama-kelamaan ia akan kering dengan sendiri.

Harap puan berpuas hati dengan penjelasan di atas. Ada banyak lagi yang tak dapat diterangkan. Bincanglah dengan doktor puan mengenai perkara yang masih merunsingkan puan.