Sumber daripada Kesihatan, Utusan Malaysia Online.
ANDA sering mengalami sakit sendi kebelakangan ini? Ia mungkin osteoartritis (OA), sejenis sakit sendi yang paling biasa di kalangan kita.
Lazimnya, apabila sakit sendi menyerang terutamanya pada bahagian punggung, lutut dan jari-jemari seseorang, penyeksaannya turut dirasai oleh seluruh badan.
Selain kesakitan yang teramat sangat, sakit sendi juga menyebabkan seseorang tidak dapat melakukan aktiviti hariannya dengan lancar.
Pada peringkat yang lebih serius, pembedahan penggantian sendi terpaksa dilakukan.
Pakar pembedahan ortopedik di sebuah klinik swasta, Dr. Teo Wee Sin berkata, OA berlaku apabila rawan yang sihat kehilangan unsur penting seperti air, proteoglikan, kolagen dan kondrosit.
``Air bertindak sebagai pelincir rawan manakala proteoglikan untuk menarik dan mengekalkan air, kolagen untuk mengekalkan proteoglikan di tempatnya dan kondrosit untuk membuang proteoglikan dan kolagen lama bagi digantikan dengan yang baru.
``Bagaimanapun, dengan rawatan berkesan, OA dapat dicegah dan dipulihkan,'' katanya pada ceramah penggunaan glukosamin di bawah jenama Donna Capsule untuk merawat OA yang dibawakan oleh Duopharma (Malaysia) Sdn. Bhd. di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Donna Capsule mengandungi glukosamin sulfat, iaitu produk anti-OA pertama yang boleh merawat gejala-gejala OA sekali gus mengelakkannya dari menjadi mudarat.
Dr. Teo berkata, sejak tahun 1960-an, glukosamin didapati berkesan dalam melegakan kesakitan radang sendi dengan cara merangsang biosintesis sesetengah proteoglikan, memulihkan kondrosit yang rosak dan mempunyai ciri-ciri antiradang.
Menurutnya, glukosamin merupakan sejenis bahan semula jadi yang banyak terdapat di dalam tubuh badan manusia.
``Setiap orang mengeluarkan sejumlah glukosamin di dalam tubuh mereka.
``Apabila usia meningkat, tubuh mereka kehilangan keupayaan untuk mengeluarkan glukosamin yang mencukupi,'' katanya.
Memiliki banyak glukosamin di dalam tubuh amat penting bagi menghasilkan nutrien yang diperlukan untuk merangsang pengeluaran bendalir sinovia yang melincirkan rawan dan menjaga kesihatan sendi.
Tanpa glukosamin yang mencukupi, rawan pada sendi-sendi yang menanggung berat seperti pinggul, lutut dan tangan akan merosot.
Rawan kemudiannya mengeras dan membentuk cabang tulang, mencacatkan sendi dan mengehadkan pergerakan sendi.
Sementara itu, Pengurus Pembangunan Perniagaan Duopharma, Balbir Singh berkata, glukosamin diperbuat daripada gabungan gula yang dihasilkan oleh chitin yang terdapat pada ikan.
``Glukosamin terbukti berkesan dalam banyak percubaan saintifik untuk merawat kesakitan OA, memulihkan rawan, memperbaharui bendalir sinovia dan memperbaiki sendi-sendi yang rosak akibat OA.
``Kesan sampingan glukosamin seperti gangguan gastrik, cirit-birit, sembelit dan loya biasanya tidak lama dan tidak teruk,'' katanya.
Beliau berkata, glukosamin yang bertindak membina semula rawan boleh digabungkan dengan ubat-ubat pelega kesakitan segera seperti ubat antiradang bukan steroid (NSAID).
Kaedah gabungan tersebut dikenali sebagai terapi titian. ``Kombinasi ini terbukti berkesan dalam menghilangkan kesakitan langsung akibat OA di samping membina semula rawan serta mengurangkan kesan sampingan akibat penggunaan NSAID semata-mata,'' katanya.
NSAID merupakan satu-satunya rawatan yang ada untuk merawat OA dalam tempoh 40 tahun yang lepas.
Bagaimanapun, ia boleh menyebabkan ulser perut, kerosakan buah pinggang, ketoksikan terhadap sel-sel saraf auditori yang menjejaskan pendengaran dan berpotensi membahayakan organ-organ lain.
Tidak seperti NSAID yang mampu melegakan kesakitan segera dalam masa beberapa jam selepas pengambilan, glukosamin bagaimanapun tidak mempunyai ciri-ciri tersebut.
Walaupun sesetengah pengamalnya mendapat kelegaan separuh dalam tempoh dua minggu atau sebulan, ia biasanya perlu digunakan sekurang-kurangnya dua bulan sebelum kelegaan yang nyata dapat dirasai.
Apakah OA?
OA merupakan sejenis radang pada rawan tulang sendi yang mengakibatkan perubahan sekunder tulang bawah. Ia boleh menyebabkan rasa sakit dan merosakkan fungsi sendi yang terlibat.
Ia membaluti dan bertindak sebagai kusyen untuk sendi-sendi manusia, menyebabkan geseran antara tulang dan mengakibatkan kesakitan.
Selain disebabkan oleh kecederaan mekanikal sendi, OA dimulakan oleh gabungan proses-proses biokimia.
Punca OA
Punca sebenar OA masih tidak diketahui tetapi para penyelidik berpendapat bahawa ia mungkin disebabkan oleh keluarbiasaan atau kekurangan penghasilan proteoglikan (bahan utama dalam pembentukan rawan) dalam badan.
Faktor penyebab:
-
Umur
-
Obesiti
-
Wanita
-
Genetik
-
Kecederaan lama sendi.
Gejala OA
-
Kesakitan sendi pada waktu pagi merupakan gejala pertama OA.
-
Kesakitan sendi semasa pergerakan akan berlaku selari dengan pertambahan penyakit tersebut yang biasanya akan menjadi lebih teruk lagi akibat pergerakan berlebihan dan dilegakan dengan rehat.
-
Kita dapat merasai atau mendengar bunyi yang dihasilkan oleh sendi-sendi yang terlibat semasa pergerakan.
-
Had pergerakan sendi mungkin berkurangan dan ia akan kelihatan berketul-ketul.
-
Kadangkala, kesakitan akan bertambah dan sendi berkenaan akan membengkak. Akan tetapi kejadian tersebut adalah untuk tempoh yang singkat dan gejala-gejalanya mungkin akan kembali selepas beberapa ketika.
0 Comments Received
Leave A Reply