SAYA pelajar berumur 15 tahun. Sejak Januari lalu, setiap kali membuang air ia akan disertai darah. Awalnya sekali dua saja tetapi kini ia semakin kerap. Tetapi saya tidak pula mengalami masalah sembelit. Darah yang keluar berserta najis itu cair dan ada kalanya berlendir.


Selain itu, saya juga mengalami keputihan yang berlendir. Pada waktu malam keputihan itu menyebabkan saya terasa gatal dan ia berbau.

Adik Bimbang,
Melalui e-mel

Jawapan


Adik, apa-apa benda selain dari najis yang keluar ketika masa membuang air besar, terutama sekali darah memang tidak normal dan tidak boleh dibiarkan. Ia perlu diberi perhatian dengan segera. Jika perdarahan ini berterusan, ia akan menyebabkan kekurangan darah atau anemia dan masalah-masalah lain yang berkaitan dengannya.

Masalah yang sebenar hanya akan diketahui apabila pemeriksaan yang sewajarnya dilakukan. Jangan takut - sekarang ini, sudah banyak diketahui mengenai perdarahan daripada dubur dan alat-alat yang digunakan untuk pemeriksaan dapat mengesan di mana punca perdarahan itu.

Sebab yang paling biasa kenapa berlakunya perdarahan ialah adanya buasir, iaitu salur-salur darah di bahagian dubur menjadi bengkak dan tertimbul. Oleh itu, bila ia tersentuh najis yang melaluinya, dinding salur darah ini terguris dan berdarah. Ia berlaku jika ada masalah sembelit. Ia juga senang berlaku kepada orang yang suka duduk membaca dengan lama atas tandas. Untuk mengurangkan masalah ini, pertukaran pemakanan kepada yang lebih berserat dan minum air yang mencukupi.

Biasanya buasir tidak menyebabkan lendir. Lendir yang dibebaskan itu berasal daripada permukaan dalam usus, yang membantu dalam penghadaman dan penyerapan makanan. Bila ada luka, jangkitan, ketumbuhan di bahagian ini, lebih banyak lendir akan dikeluarkan, kadangkala lebih daripada najis. Ada juga beberapa penyakit yang khusus untuk usus yang boleh memberi masalah seperti di atas. Yang paling penting ialah kumpulan penyakit dalam sindrom radang usus (irritable bowel syndrome). Ini memerlukan rawatan yang lebih rumit.

Saya amat risau perdarahan yang adik alami ini akan menyebabkan kekurangan darah tidak lama lagi kerana masalah ini sudah berlaku lebih enam bulan. Jangan sembunyi masalah ini dari ibu bapa. Ia perlu perhatian oleh pakar usus atau gastroenterologi. Pemeriksaan yang biasa dicadangkan ialah pemeriksaan dalam usus atau endoskopi - memasukkan kamera yang halus ke dalam usus untuk memerhati permukaannya. Usus besar kita lebih kurang 1.5 meter panjang - jadi luka atau ketumbuhan boleh berada di mana-mana pada saluran ini. Oleh itu, sesiapa yang berdarah dari saluran usus harus menjalani pemeriksaan ini.

Kegatalan dan keputihan di kemaluan itu adalah jangkitan. Ia senang dirawati. Mungkin kebasahan di sekeliling kemaluan dan dubur membolehkan jangkitan senang terjadi.