Doktor, saya ingin tahu apakah punca kelewatan haid? Satu lagi, adakah sista ovari boleh dikesan melalui pemeriksaan pap smear?


Nona Manis,
Melalui e-mel.

Jawapan:


Punca paling utama menyebabkan kelewatan haid ialah mengandung. Jika pasti bukan mengandung, sebab ginekologi paling biasa ialah masalah hormon. Jika dalam kitaran haid itu telur tidak dikeluarkan - haid akan lambat datang sehinggalah telur dikeluarkan sekali lagi. Lapisan dalaman rahim yang terus distimulasi itu akan menjadi tebal dan bila haid datang balik, ia akan menyebabkan pendarahan lebih banyak dari biasa.

Sindrom polisistic ovari ialah satu lagi sebab utama haid lewat datang. Ciri-ciri kes sebegini ialah obesiti, berlebihan rambut dan bulu badan dan haid yang lambat dan tak menentu. Sekarang ia dikaitkan dengan masalah metabolik termasuk masalah sensitiviti insulin menyebabkan kecenderungan mendapat kencing manis.

Masalah ini masih tidak dapat disembuhkan, tetapi perlu beberapa jalan penyelesaian termasuk menurunkan berat badan, kawalan kandungan gula jika ada diabetes dan rawatan hormon untuk mendatangkan haid atau untuk mengandung.

Selain itu, faktor luaran juga memainkan peranan penting. Antaranya tekanan hidup, keadaan emosi tidak stabil dan berat badan. Berat badan yang menurun atau menaik mendadak akan menimbulkan ketidakseimbangan dalam pembentukan hormon estrogen dan menyebabkan haid lewat atau tidak teratur.

Masalah kelenjar tiroid juga terbabit secara tidak langsung dalam kitaran haid. Jika hormon tiroid terlalu tinggi, haid akan berhenti atau lewat. Jika hormonnya rendah, haid yang datang biasanya berlebihan dan tidak menentu.

Pusat kawalan sistem hormon pembiakan ialah di kelenjar pituitari. Masalah di kelenjar ini ialah bila ia tidak dapat mengeluarkan hormon - biasanya ini adalah masalah semasa pertumbuhan seseorang. Ini menyebabkan pembesaran terbantut dan pertukaran kepada bentuk fizikal lelaki atau perempuan tidak terjadi. Haid juga tidak akan datang jika ini berlaku.

Ketumbuhan di kelenjar ini juga akan menjejaskan pengeluaran hormon. Yang terpenting berkaitan dengan haid ialah prolaktinoma. Ini ialah ketumbuhan yang mengeluarkan hormon prolaktin, yang diperlukan untuk pengeluaran susu badan selepas mengandung. Prolaktin ini akan menghalang pengeluaran hormon dari ovari dan haid tidak akan datang selagi tahapnya tinggi. Ia dikesan melalui pemeriksaan darah untuk menilai kandungan hormon prolaktin dan CT Scan untuk meneliti imej bahagian kelenjar ini.

Mengenai sista ovari pula, perlu diketahui pap smear ialah prosedur untuk mengesan sel luar biasa pada serviks. Kanser serviks ialah kanser paling kerap dari kanser sistem reproduksi.

Di Malaysia, 12 peratus dari kes kanser wanita ialah dari serviks, kanser kedua paling kerap selepas kanser payudara. Pemeriksaan pap smear dilakukan dengan mengutip sel di bahagian serviks ini supaya pemeriksaan sitologi (penelitian sel) dapat dilakukan. Oleh itu, perubahan paling awal dapat dikesan dan tindakan yang berpatutan boleh dilakukan untuk menghalang kanser dari berlaku.

Ia tidak digunakan untuk mengesan sista (cyst) di dalam ovari kerana ovari berada di dalam pelvis dan tidak dapat dilihat ketika membuat Pap smear.

Bagaimanapun pemeriksaan pelvik bersama ultrasound juga dilakukan bersama pap smear. Pada masa inilah sista ovari atau ketumbuhan dalam rahim dapat dikesan.