SOALAN: SAYA lelaki berumur 21 tahun dan masih belajar di sebuah universiti. Masalah saya sebenarnya agak pelik. Saya dapat rasakan seakan ada ketulan di bahagian puting dada. Saya mula menyedari keadaan ini sejak berusia 12 tahun.


Bagaimanapun, sebagai lelaki, tentulah saya malu apatah lagi ia seakan menonjol. Ketulan itu mengecut jika terdedah kepada suhu yang rendah atau sejuk.

EDWARD,
Melalui e-mail


SEPERTI wanita, lelaki pun ada buah dada, hanya pundi susu dan salur susu tidak sempurna atau tidak membesar atau mengembang walaupun pada peringkat awal baligh, terdapat sedikit ketumbesaran pundi dan salur susu.

Perubahan itu dikenali sebagai keradangan buah dada akibat baligh atau 'pubertal mastitis'. Keradangan yang dimaksudkan itu sebenarnya ialah ketumbesaran atau rangsangan yang berlaku akibat penghasilan hormon estrogen (hormon wanita) dari pundi adrenal.

Jika ketumbesaran itu kelihatan, lelaki itu akan dapati ketulan yang kekal dan jika ketulan ini dipicit akan terasa sakit.

Bagaimana kebengkakan dan keradangan buah dada lelaki boleh berlaku dan ini akan memberi kesan sakit apabila ketulan buah dada itu dipicit. Tetapi amat jarang ketulan ini berubah menjadi kanser buah dada lelaki.

Jika berlaku, ia terjadi dalam peringkat umur yang tinggi. Jika ada ketulan pada peringkat akhir baligh atau beberapa tahun kemudian, ini mungkin petanda lelaki itu terdedah kepada hormon kewanitaan. Kanser buah zakar kadangkala mengakibatkan penghasilan hormon estrogen. Ini pun amat jarang berlaku.

Jika ketulan buah dada itu suatu perkara yang mengaibkan, ia boleh dibedah untuk membuang tisu ketulan itu jika itu yang dikehendaki. Jika dibiarkan tidak perlu buat apa apa. Seperti wanita, puting lelaki dan tompok coklat atau areola lelaki juga sensitif kepada sentuhan dan menegang ketika lelaki itu mengalami rangsangan syahwat.