? SAYA ingin tahu, adakah bahaya jika seseorang wanita itu tidak didatangi haid selama sebulan dan apakah sebabnya?


GADIS MANIS,
Melalui e-mel


PEREMPUAN yang telah baligh akan mengalami perubahan kepada tubuh badannya yang juga termasuk tumbesaran anggota reproduktif akibat tindak balas hormon Gonadotropins, hormon reproduktif. Ovari atau sampul telur wanita akan berkembang dan mula menghasilkan hormon kewanitaan, hormon estrogen yang mempengaruhi tumbesaran selaput endometrium, selaput dalam rahim sebagai persediaan untuk menerima janin jika proses percantuman telur wanita dan benih lelaki berlaku.

Jika tidak, dalam masa 14 hari selepas telur keluar, selaput dalam rahim akan luruh dan keluar sebagai darah haid. Jadi satu tanda jika haid tidak datang atau apabila wanita yang membuat hubungan seksual dengan lelaki itu tidak datang haid, kemungkinan dia mengandung.

Adakalanya haid tidak datang dan wanita itu tidak mengandung. Ini boleh berlaku apabila proses keseluruhan selaput dalam rahim tidak berlaku kerana tiada apa-apa perubahan kepada selaput itu yang biasanya berlaku apabila telur keluar dari ovari.

Haid kembali apabila berlaku perubahan hormon dari ovari dan selaput yang kekal dan tidak berubah menjalani proses keluruhan akibat perubahan hormon. Perkara ini boleh berlaku kepada mana-mana wanita dan bukan suatu yang memudaratkan.