Perokok perlu melakukannya segera tanpa menoleh ke belakang lagi
BAGAIMANA hendak berhenti merokok? Inilah persoalan yang terpaksa dihadapi dan difikirkan perokok tegar yang sudah ketagih dengan nikotin apabila memasang niat hendak berhenti merokok.

Berdasarkan siri kajian ‘National Health and Morbidity Survey I & II’ yang dijalankan Kementerian Kesihatan pada 1986 dan 1996, jumlah perokok di negara ini meningkat setiap hari.

Setakat ini, lebih 50 peratus daripada semua penduduk lelaki dewasa berusia 18 tahun ke atas di negara ini adalah perokok. Ia semakin bertambah walaupun harga rokok kini sudah meningkat ke RM6.50 dan apa yang pasti, lelaki begitu sinonim dengan rokok.

Memang sukar bagi perokok tegar untuk berhenti merokok. Selain ketagih, mereka juga terpaksa berhadapan dengan pengaruh rakan yang merokok dan sering mempersendakan hasrat mereka. Hasilnya, mereka tidak mampu bertahan lama dan kembali menghisap dan membeli rokok.

Mengapa perlu berhenti merokok? Pada mulanya adalah kerana kesihatan berikutan ia dapat mengurangkan risiko dijangkiti kanser. Di samping itu, nafas anda tidak lagi berbau dan apa yang paling penting, wang tidak lagi dibazirkan.


Bagi anda yang sukar untuk menghentikan tabiat itu, berikut adalah beberapa langkah yang dirasakan berkesan terutama pada Ramadan ini :

- Tetapkan bila

Sebaik membuat keputusan, anda perlu menetapkan segera bila masanya anda mahu berhenti merokok. Jika gagal berbuat demikian, ia akan menggalakkan anda melambat-lambatkannya. Berhenti secara terus adalah digalakkan kerana jika anda hanya mengurangkan merokok, peluang anda untuk kembali merokok seperti sebelumnya agak cerah.

- Tandatangani ‘Kontrak Berhenti Merokok’

Mungkin agak keterlaluan tetapi perlu dilakukan jika anda betul-betul serius. Buat dan tandatangan ‘Kontrak Berhenti Merokok’ bersama ahli keluarga atau rakan rapat dan pastikan semua kenalan anda tahu hasrat anda itu. Jika boleh, letakkan tanda Dilarang Merokok dalam rumah, pejabat dan kereta anda. Sekurang-kurangnya anda sentiasa berjaga-jaga.

- Buang segala berkaitan dengan rokok

Menyimpan barang berkaitan dengan rokok yang besar kemungkinan boleh membuatkan anda kembali merokok. Jadi buang segala-galanya seperti rokok, bekas habuk rokok dan pemetik api. Mungkin anda perlu mengecat semula rumah untuk menghilangkan bau rokok dan mendapat persekitaran baru. Ia mampu membuatkan anda lupa terus kepada rokok.

- Ganti ketagihan

Merokok adalah satu ketagihan. Namun anda boleh hilangkan ketagihan itu dengan mengunyah gula-gula getah atau gula-gula dan makan sayur-sayuran. Jika masih terasa hendak merokok, minumlah banyak air atau tarik nafas untuk kelegaan.

- Tukar rutin harian

Mengambil keputusan untuk berhenti merokok menandakan akan bermula satu era baru dalam kehidupan anda, jadi rutin harian anda juga perlu ditukar. Sekiranya anda sering menghisap rokok selepas makan atau ketika buang air besar, jangan amalkannya lagi. Cuba tukarkannya dengan membaca surat khabar, majalah atau novel.

- Jauhi perokok

Ini bukanlah bermaksud anda perlu meninggalkan terus rakan anda yang merokok, tetapi cuma jauhi tempat dibenarkan merokok yang sering dikunjungi bersama sebelum ini seperti restoran dan kelab. Paling baik jika berkunjung ke restoran, duduk di kawasan yang dilarang merokok