Saya menghidap migrain sejak sekolah. Kebelakangan ini, migrain saya semakin kuat menyerang. Selalunya saya akan mengalami kesakitan yang teramat di kepala sebelah kanan sahaja. Serangan migrain saya juga tidak dapat dikawal seperti sebelum ini. Dahulu saya selalu mengelak berada di dalam tekanan yang melampau tetapi kebelakangan ini migrain saya tetap menyerang walaupun sewaktu saya menonton televisyen, beriadah atau bersantai. Saya ingin tahu sama ada ini adalah simptom normal kepada pesakit migrain.


Ima,
Mersing

Migrain ialah masalah kronik yang bermula dari usia muda sehingga dewasa dan serangannya berulang-ulang. Bagaimanapun, betulkah keadaan yang anda alami itu migrain? Adakah anda pernah melakukan pemeriksaan sebelum ini untuk memastikan masalah itu bukan masalah lain dalam kepala?

Sakit kepala ada banyak sebab. Ia boleh dibahagikan kepada dua jenis - primari dan sekondari. Primari tidak ada kaitan dengan penyakit lain, tetapi sekondari terjadi akibat masalah atau penyakit - ia boleh disebabkan keadaan yang tidak begitu serius seperti sakit kerana berhenti daripada minum kopi (kerana gian kafein) kepada yang lebih serius seperti lumpuh, ketumbuhan dan perdarahan dalam otak.

Migrain termasuk dalam golongan primari. Biasanya wanita tiga kali lebih cenderung kepada penyakit itu berbanding lelaki. Ia disebabkan oleh salur darah di bawah kulit kepala yang berkembang. Perkembangan daripada salur darah temporal ini menyebabkan serat saraf yang ada kaitan dengannya membengkak dan mengeluarkan bahan kimia menyebabkan sakit. Ia juga membabitkan sistem saraf automatik sehingga boleh menyebabkan pesakit berasa loya, muntah, cirit, seram sejuk, kabur penglihatan dan lebihan sensitiviti kepada cahaya dan bunyi. Inilah sebabnya mereka yang diserang migrain lebih suka duduk bersendirian dalam kea-daan gelap. Dalam lingkaran 24 jam selepas serangan, kesan sampi-ngan dapat dirasai seperti keletihan, sakit kepala yang berdenyut dan sensitiviti kepada cahaya terang dan bunyi kuat.

Lebih 20 peratus yang ada migrain mengalami ‘aura’ - tanda-tanda yang terjadi sebelum serangan migrain seperti melihat cahaya yang terang berkelip-kelip, tompok hitam, bunyi atau bau yang luar biasa. Antara 50 peratus pula mengalami simptom awalan sebelum diserang migrain seperti keletihan, kemarahan atau keriangan, mengantuk dan keinginan untuk makan benda manis atau masin.

Oleh itu, jika simptom anda berubah dan tidak dapat dikawal dengan ubatan, pergilah buat pemeriksaan dengan pakar neurologi. Mungkin kajian menggunakan CT scan atau MRI diperlukan untuk memastikan tiada penyakit lain selain daripada migrain dan jika ia berkaitan penyakit itu, pakar akan memberi cadangan untuk mengawalnya.