Berjalan Kaki
Mereka yang tidak pernah berjalan kaki, mungkin akan menghadapi masalah tercungap-cungap atau keletihan apabila berjalan kaki walaupun untuk jarak dekat. Jangan memaksa diri. Amalkan strategi berjalan kaki secara berperingkat hingga akhirnya, mampu untuk jarak lebih jauh atau tempoh masa lebih lama.
Seelok-eloknya, berjalan kaki dilakukan sekurang-kurangnya 30 minit setiap sesi sebanyak tiga kali seminggu.
Joging
Sebelum memulakan aktiviti ini, pastikan anda boleh berjalan kaki pantas sejauh dua atau tiga kilometer tanpa menghadapi masalah. Sebagai permulaan, anda boleh berjoging dan berjalan kaki bersilih ganti pada jarak 100 meter. Jika tiada masalah, tambah tempoh masa hingga mampu berjoging sepenuhnya.
Berenang
Berenang adalah kegiatan yang amat baik untuk mempertingkatkan kecergasan. Aktiviti ini secara teratur mengurangkan kekerapan tempoh seseorang mengambil nafas sebelum nafas berikut. Anda mesti menetapkan sasaran untuk berenang pada kadar sekata selama 20 minit. Bagaimanapun, jangan berenang setiap hari dan sebaliknya secara berselang hari untuk merehatkan otot.
Berbasikal
Berbasikal adalah antara aktiviti yang menyeronokkan, malah anda boleh menggunakan basikal untuk kegiatan harian seperti ke kedai atau ke pejabat. Bagaimanapun, pastikan jalan yang dilalui tidak terlalu sibuk untuk mengurangkan risiko terbabit dalam kemalangan. Gunakan topi keledar dan jaket pemantul cahaya sebagai langkah keselamatan.
Lompat Skip
Aktiviti ini juga menyeronokkan apabila anda menguasai tekniknya. Anda boleh melakukan lompat skip ketika aktiviti berjoging. Apabila bosan berjoging, berhenti sebentar dan ambil tali skip untuk melompat setinggi 10 sentimeter.
0 Comments Received
Leave A Reply