KATA seorang pesakit wanita yang ditemui, rasa sakit menghidap batu karang melebihi kesakitan ketika melahirkan anak!

Sakitnya berpanjangan dan menjadi bertambah sakit setiap kali pesakit membuang air kecil. Rasa sakit itu pula bergantung kepada saiz batu karang. Jika saiznya melebihi saiz salur kencing yang biasanya antara tiga dan lima milimeter, sakitnya begitu azab. Bagaimanapun, jika saiznya kecil, ia boleh hilang apabila pesakit minum banyak air.

Pakar Urologi, Dr Abdul Rashid Subahan, berkata warga Malaysia lebih kerap berhadapan dengan masalah batu karang kerana keadaan cuaca negara ini yang panas.

“Ia adalah sesuatu yang normal. Bagaimanapun, lelaki lebih kerap berhadapan dengan masalah itu berbanding wanita kerana saiz salur kencing lelaki lebih panjang,” katanya.

Beliau berkata, batu karang terbahagi kepada lapan jenis yang mana setiap satu terbentuk disebabkan faktor yang berbeza.

Biarpun begitu, katanya semuanya mempunyai simptom yang sama.

“Anda perlu tahu, apabila simptom muncul, biasanya batu karang sudah besar saiznya dan berpotensi untuk menyekat saluran kencing,” katanya.

Berikut adalah antara simptom batu karang:

a) Berasa sangat sakit pada bahagian belakang atau pinggang hingga ke bahagian depan perut. Rasa sakit ini berpanjangan dan seakan tidak hilang.
cool.gif Darah dalam air kencing
c) Demam dan rasa seram sejuk
d) Air kencing yang berbau busuk dan warnanya gelap
e) Rasa terbakar “burning sensation” setiap kali membuang air kecil

Masalah batu karang bukan masalah keturunan tetapi jika seseorang itu mempunyai ibu bapa yang berhadapan dengan masalah ini, dia berisiko untuk turut mengalaminya.

Malah, batu karang juga boleh terjadi pada bayi yang baru lahir. Bagi bayi, masalah batu karang yang dihidapinya dipengaruhi faktor genetik selain dia mungkin menghidap penyakit yang menyebabkan kandungan uric asid dan kalsium tinggi dalam air kencing.

FAKTA

Risiko untuk berhadapan dengan batu karang memang sangat besar kepada pesakit gout. Kajian menunjukkan sakit gout disebabkan kandungan asid uric yang tinggi. Asid uric boleh didapati dalam makanan seperti makanan laut, organ dalaman, daging merah, kacang, kobis dan bayam.

Ada pelbagai jenis batu karang tetapi yang biasa ditemui adalah sebanyak empat jenis, iaitu batu kalsium (calcium stone), batu asid uric (uric acid stone), batu cystine (cystine stone) dan batu struvite (struvite stone).

Rawatan

Masalah batu karang boleh menyebabkan buah pinggang rosak jika batu terlalu besar dan boleh menyumbat saluran kencing. Justeru, rawatan segera perlu dilakukan.

Jika ia tidak begitu serius, biasanya ditangani dengan cara konvensional. Setiap orang disarankan minum lebih banyak air sekurang-kurangnya lapan gelas sehari. Batu yang bersaiz kecil biasanya berupaya untuk keluar dari saluran kencing apabila ‘ditolak’ air. Tetapi batu karang bersaiz besar dan tersangkut dalam buah pinggang akan membuatkan buah pinggang membengkak.

Rawatan biasanya bergantung pada saiz batu karang yang terbentuk. Jika ia kurang dari dua sentimeter, pesakit akan dirawat dengan kaedah ESWL (Extracorporeal Shock Wave Lithotripsy). Ia kaedah memecahkan batu kepada saiz yang lebih kecil dan mudah keluar menerusi air kencing.

Bagaimanapun, jika saiz batu karang lebih daripada dua sentimeter, pesakit akan menerima rawatan yang dikenali sebagai “stack horn”. Menerusi rawatan ini, kamera kecil akan dimasukkan ke dalam buah pinggang untuk memecah batu karang dan menyedutnya keluar.