Artikel dari leaflet Kementerian Kesihatan Malaysia

Definisi

Kesihatan reproduktif adalah kesejahteraan fizikal, mental dan sosial. Ia bukan hanya ketiadaan penyakit berkaitan proses, fungsi dan sistem reproduktif (sistem peranakan).

Ia merangkumi keupayaan untuk menjalinkan kehidupan seksual yang memuaskan dan selamat serta bebas membuat pilihan yang bertanggungjawab.

Kesihatan seksual

  • Kesihatan seksual adalah faktor penting dalam kesihatan reproduktif.

  • Ia merupakan keupayaan lelaki dan wanita melakukan aktiviti seks dengan bertanggungjawab dan selamat sama ada kehamilan diingini atau tidak.

  • Sekiranya kehamilan diingini, pasangan perlu bersedia untuk memikul segala tanggungjawab yang berkaitan dengannya.

Kenapa kesihatan reproduktif penting bagi kesejahteraan keluarga ?

  • Keluarga merupakan unit asas produktif dan reproduksi dalam masyarakat.

  • Keluarga yang mengamalkan cara hidup sihat akan menghasilkan anak-anak yang mempunyai status kesihatan reproduktif yang lebih baik.

  • Setiap ahli keluarga mempunyai keperluan reproduktif yang khusus dan sekiranya difahami ia akan mengukuhkan kesejahteraan keluarga.

Peranan dan tanggungjawab ahli keluarga

Peranan suami isteri

  • Kebahagiaan perkahwinan dan perhubungan antara suami isteri adalah berasaskan kepada sikap jujur, romantis dan kesediaan bermaaf-maafan antara satu sama lain.

  • Nyatakan perasaan dan kemahuan secara jujur dan terbuka khususnya dalam perhubungan seksual.

  • Setiap pasangan harus berbincang dan merancang bilangan, masa dan jarak kehamilan berdasarkan kemampuan kesihatan mereka.

  • Menjadi contoh teladan yang baik kepada generasi muda.

  • Dapatkan bantuan professional sekiranya perlu.

Peranan ibu bapa

  • Menjalin perhubungan yang mesra dan memupuk nilai-nilai murni dan harga diri anak dengan penuh kesabaran dan kasih sayang.

  • Bersedia mendengar dan membimbing anak-anak dalam hal-hal kesihatan reproduktif.

  • Melindungi anak-anak daripada penderaan seks.

  • Mendidik anak mengenali sentuhan baik dan buruk dan melaporkan sebarang pencabulan.

  • Mengesan tingkah laku dan gejala luar biasa dan mengambil tindakan sewajarnya.

  • Mengajar batasan dalam pergaulan.

Peranan keluarga

  • Setiap ahli mempunyai fungsi dan tanggungjawab dalam membina kesejahteraan keluarga.

  • Keluarga yang mengamalkan cara hidup sihat akan menyalurkan nilai-nilai positif kepada generasi muda.

  • Memenuhi dan menyediakan keperluan asas setiap ahli keluarga termasuk perlindungan dan kasih sayang.

  • Mempertahankan dan menggalakkan amalan tingkah laku seksual yang sihat.

  • Setiap ahli keluarga perlu meningkatkan pengetahuan mengenai hal-hal kesihatan reproduktif bagi membolehkan diri membuat keputusan dan tindakan yang bijak.

Kitaran reproduktif

Bayi dan anak

  • Setiap anak dilahirkan dengan ketetapan genetik jantina. Walaupun sistem reproduksi cukup sifatnya tetapi masih belum matang untuk berfungsi sepenuhnya.

  • Bayi baru lahir perlu melalui pemeriksaan klinikal untuk memastikan tahap kenormalannya. Pemeriksaan ini juga akan meliputi pemeriksaan pada organ seks mereka.

  • Kelainan fizikal yang memerlukan rawatan awal :

    • di kalangan bayi lelaki adalah seperti hypospadia, hdrocele, undescended testis dan inguinal hernia

    • di kalangan bayi perempuan seperti imperforate vagina

Peringkat remaja

  • Pada peringkat baligh, organ reproduksi menjadi matang. Perubahan lain yang berlaku serentak termasuklah pertumbuhan mendadak mengikut jantina. Perubahan ini dikawal oleh hormon seks.

  • Remaja perempuan - ovari akan mengeluarkan progesteron dan estrogen. Ini mengakibatkan :

    • pertumbuhan payu dara dan bentuk badan akan berubah

    • penghasilan ovum dan kitaran haid

    • bulu tumbuh di celah ketiak dan bahagian ari-ari

    • jerawat mula tumbuh

    • suara mungkin berubah dari suara keanak-anakan kepada suara yang lebih matang

  • Remaja lelaki - testis akan mengeluarkan hormon seks testosteron. Hormon ini membuatkan lelaki :

    • tumbuh bulu pada bahagian muka dan bahagian lain pada badan seperti misai dan janggut

    • suara mulai garau

    • menggalak pembinaan otot

    • mulai menghasilkan sperma

    • bahu dan dada menjadi bidang

    • jerawat mula tumbuh

    • mengalami mimpi yang mengghairahkan sehingga mengeluarkan air mani

    • zakar dan buah zakar mula membesar

Persediaan untuk berumahtangga

  • Ibu bapa perlu memberi panduan kepada anak-anak agar bijak memilih teman hidup yang sesuai.

  • Perkahwinan mengukuhkan perhubungan kasih sayang antara lelaki dan wanita. Ia bukan sekadar penyatuan secara sah tetapi juga melibatkan penerimaan tanggungjawab untuk kebahagian bersama.

  • Suami isteri hendaklah menyesuaikan diri dan saling bertolak ansur dalam menangani segala tanggunjawab dan cabaran yang sering timbul agar rumahtangga bahagia dan harmoni.

  • Persediaan perkahwinan termasuklah :

    • Memahami fungsi organ seks

    • Memastikan diri dan pasangan sihat dan bebas daripada penyakit

    • Mengetahui perilaku seks yang selamat

    • Mengetahu mengenai perancangan keluarga

Persediaan untuk menimang cahaya mata

  • Pasangan perlu memahami perubahan fizikal dan emosi yang akan terjadi semasa kehamilan.

  • Bakal ibu perlu berada dalam keadaan fizikal dan mental yang optima sebelum menghadapi kehamilan.

  • Ini termasuklah :

    • Pemakanan sihat

    • Senaman

    • Menghentikan tabiat buruk seperti merokok, meminum arak dan mengambil dadah

  • memahami proses kehamilan, kelahiran dan kepentingan penyusuan susu ibu

    • Suami perlu bersedia menghadapi tanggungjawab sebagai bapa, antaranya :

    • Hentikan tabiat buruk seperti merokok, meminum arak dan mengambil dadah

    • Peka kepada perubahan emosi dan fizikal isteri yang hamil

    • Mengikut perkembangan kehamilan bersama isteri

    • Menggalakkan isteri mendapatkan pemeriksaan ante-natal awal dan berkala

    • Merancang kelahiran yang sihat

    • Membuat persiapan untuk menyambut kehadiran bayi

Pembentukan keluarga bahagia

  • Kebahagian keluarga akan tercapai sekiranya keluarga itu dirancang kerana kebahagiaan keluarga bergantung kepada kesejahteraan semua ahlinya.

  • Eleman-eleman keluarga bahagia :

    • Kasih sayang dan persefahaman

    • Perlindungan fizikal, mental dan emosi

    • Pengasuhan, pendidikan dan bimbingan

    • Keadilan

    • Kestabilan ekonomi rumahtangga

    • Penjagaan kesihatan setiap ahli keluarga

Keluarga terancang

  • Menentukan bilangan anak yang diingini berdasarkan keupayaan kesihatan anda

  • Memastikan ibu mempunyai masa yang mencukupi untuk menyusukan bayi

  • Suami perlu menyokong secara aktif kaedah perancangan keluarga yang dipersetujui bersama

Persediaan menghadapi klimakterik

Setiap orang akan menghadapi fasa klimakerik bila ia melalui perubahan dari peringkat reproduktif kepada peringkat tidak reproduktif. Keadaan ini lebih ketara di kalangan wanita.

Klimakterik di kalangan wanita adalah :

  • Menopos (putus haid)

  • Perubahan emosi dan seksual

  • Peningkatan penyakit seperti osteoporosis, penyakit jantung dan mudah mendapat jangkitan

  • Tanda-tanda awal menopos adalah:

    • Perasaan panas (hot flush)

    • kekeringan faraj

    • Berpeluh malam

    • Keletihan

    • Kesukaran untuk tidur

Klimakterik di kalangan lelaki (Kekurangan separa androgen lelaki berumur). Tahap testosteron menurun dengan peningkatan umur dan ini membawa kepada gejala-gejala berikut :

  • Kurang daya dan minat seks

  • Kurang keyakinan diri

  • Kurang daya tumpuan

  • Kemurungan

  • Rasa mudah tersinggung

  • Sukar untuk tidur

  • Kegelisahan

  • Sakit tulang dan sendi

  • Kelenturan kulit

Gejala-gejala klimakterik boleh dikurangkan dengan :

  • Amalkan pemakanan yang sihat

  • Bersenam

  • Berhenti merokok

  • Pemeriksaan sendiri payu dara dan menjalankan pemeriksaan pap smear secara berkala (wanita)

  • Tidur yang mencukupi

  • Memenuhi masa lapang dengan aktiviti yang bersesuaian seperti hobi baru, kerja amal dan menjalinkan persahabatan baru

  • Perubatan biasa seperti pil khasiat, vitamin, ubat herba dan sebagainya yang boleh membantu sedikit sebanyak

  • Bagi wanita, terapi gantian hormon (HRT) boleh mengurangkan gejala-gejala menopos tetapi penggunaannya perlu dibincang terlebih dahulu dengan anggota kesihatan terlatih

Kegemilan hidup dalam usia emas

  • Usia tua adalah satu fasa dalam perjalanan hidup. Ia boleh dipenuhi dengan pengalaman yang positif dan bermakna.

  • Anda juga boleh terus menikmati hubungan seksual seperti biasa.

Isu-isu berkaitan

Seks selamat

  • Perhubungan seks hanya dalam konteks perkahwinan

  • Menggunakan kaedah perancangan keluarga sekiranya dinasihatkan demikian

  • Pasangan mesti mendapatkan rawatan awal dan lengkap jika ada jangkitan kelamin

  • Elakkan hubungan seks berisiko:

    • Memulakan aktiviti seks pada usia awal

    • Hubungan seks dengan berbilang pasangan

    • Hubungan seks rambang

    • Memperdagangkan seks / pelacuran

    • Pasangan yang membuat hubungan dengan berbilang pasangan seks

    • Hubungan seks luar nikah

Jangkitan kelamin

  • Jenis-jenis jangkitan kelamin

    • Chlamydia

    • Trichomoniasis

    • Sifilis

    • Gonorrhoea

    • HIV

    • HPV

    • Hepatitis B

    • Herpes

  • Implikasi kesihatan

    • Kerosakan pada sistem peranakan dan seterusnya menyebabkan kemandulan

    • Penyakit AIDS adalah akibat daripada jangkitan HIV

    • Penyakit lain seperti sifilis meningkatkan kemungkinan transmisi HIV / AIDS

  • Kesan kepada janin

    • Kematian dalam kandungan

    • Kelahiran tidak cukup bulan

    • Perkembangan janin yang tidak normal

    • Jangkitan kelamin boleh menjangkiti janin dan menyebabkan penyakit apabila bayi dilahirkan

  • Pencegahan

    • Meningkatkan pengetahuan tentang kesihatan produktif

    • Mengamalkan seks selamat

Penderaan seks

  • Perhubungan seks tanpa persetujuan

  • Hubungan seks dengan kanak-kanak atau remaja di bawah usia 16 tahun, walaupun dengan persetujuan mereka

  • Selalunya berkaitan dengan keganasan

  • Peristiwa yang traumatik yang memberi kesan mendalam kepada mangsa dan keluarga

  • Mangsa mungkin mengalami :

    • Masalah seksual

    • Mengamalkan tingkah laku seks yang berisiko

    • Mengalami tekanan emosi

Langkah pencegahan penderaan seks

  • Keluarga adalah bertanggungjawab melindungi ahli-ahlinya dari semua jenis penderaan seks

  • Pendidikan seks mengikut tahap umur

  • Mengetahui batas-batas perhubungan

  • Menerapkan nilai-nilai murni dalam perilaku seks

  • Mendapatkan rawatan awal