SEJAUH MANA anda sanggup ‘mengubah’ diri untuk kelihatan cantik? Sejauh mana pula anda sanggup membiarkan penampilan diri kelihatan berketul-ketul dan perut berlapis-lapis hingga tidak boleh untuk berkebaya.
Hari ini melakukan pembedahan untuk cantik (juga disebut pembedahan estetika) bukan lagi satu kemewahan tetapi bagi kebanyakan orang ia satu keperluan.
Memang benar selulit pada tubuh kelihatan sangat hodoh! Ia membuatkan kulit berlapis-lapis atau berketul-ketul, selalunya di punggung dan paha. Ia membuatkan kulit kelihatan seperti tilam atau sofa.
Selulit mula terbentuk sejak akil baliqh. Bagaimanapun ia tidak begitu kelihatan pada wanita muda berbanding wanita berusia. Apabila usia meningkat, ditambah faktor pertambahan berat, kehamilan, pemakanan, genetik, perubahan hormon, pengambilan ubat-ubatan dan kesan pembedahan, selulit mula kelihatan.
Selulit berlebihan mengganggu penampilan, kebersihan badan, postur badan, sakit belakang dan fungsi seksual. Justeru, selulit dilihat sebagai ancaman kecantikan dan kesihatan yang menggerunkan bagi sesetengah wanita. Ia memburukkan penampilan dan mencacatkan kontur badan. Menerusi teknik perubatan moden untuk mendapatkan kontor tubuh asal, ia boleh dibuat dengan pembedahan kontor tubuh.
Pakar Bedah Plastik dari Damai Service Hospital, Dr Yap Chung Mui, berkata, selulit boleh dibuang tetapi bergantung pada bahagian mana ia berada.
“Secara umum selulit adalah pengumpulan lemak di bawah kulit. Jika ia terlalu banyak dan ketulan-ketulan lemak menonjol ia mencacatkan penampilan. Konsep cantik dan berat ideal adalah tubuh yang pejal, perut kempis dan garis pinggang yang ramping. Wanita lebih teruja untuk mendapatkan badan yang langsing, wajah yang kelihatan muda dan kontor (garis bentuk) badan yang ramping,” katanya.
Dr Yap berkata, pembedahan kontur tubuh ada dua jenis, bergantung pada tahap selulit. Tahap selulit yang sedikit dirawat menerusi pembedahan sedut lemak (liposculpture) manakala untuk tahap selulit yang lebih banyak, pilihan yang ada adalah pemotongan lemak (excisional surgery).
“Seluruh dunia menerima, rawatan ideal untuk selulit adalah sedut lemak.
Teknik pembedahan tembusan antara lapisan lemak ini dibangunkan Dr Yves-Gerard Illouz pada 1977,” katanya.
Kaedah sedut lemak ini adalah teknik pembedahan yang menerowong lapisan lemak berdasarkan pada ciptaan beberapa terowong dengan menggunakan "Blunt cannula" yang melindungi urat dan saluran darah.
“Tetapi kaedah saya untuk sedut lemak pula lebih kepada sedut lemak anatomik. Ia merangkumi hanya pengeluaran lemak yang sukar dikurangkan melalui kaedah diet dan senaman (iaitu lemak genetik- yang bukan dalam kawalan seseorang individu),” katanya.
Pembedahan sedut lemak adalah asas dalam pengurusan pembedahan kontor tubuh. Ia sebenarnya memulakan era baru pembedahan plastik yang lebih bersifat “minimally invasive” dengan parut pembedahan yang kecil. Justeru sedut lemak digunakan untuk membetulkan kebanyakan masalah kontor tubuh.
Tetapi, walaupun ia prosedur popular dalam rawatan kecantikan ia hanya boleh dilakukan pada pesakit yang sihat, kerap bersenam dan bukan pada individu yang obes apatah lagi mereka yang berhadapan dengan masalah jantung dan paru-paru.
“Kaedah sedut lemak memiliki risiko minimum jika pembedahan dilakukan doktor terlatih. Pembedahan untuk kontor tubuh mungkin lebih susah daripada mana-mana pembedahan estetika lain. Kerana itu memilih doktor yang betul sangat penting dan doktor akan menilai kecenderungan estetika pesakit juga sejarah perubatannya,” katanya.
Taburan lemak pada tubuh wanita dan lelaki juga berbeza-beza (sex-specific fat distribution). Secara purata, perempuan lebih banyak lemak dan ia ditunjukkan menerusi “gynoid pattern collection”, iaitu tertumpu di paha, punggung, pinggul dan dada. Lelaki pula, lemak terbentuk di “android pattern collection” yang tertumpu di perut dan dada.
Kaedah sedut lemak mungkin prosedur kecantikan paling popular selepas botox. Walaupun diakui boleh mengecilkan, merampingkan dan membetulkan masalah kontor tubuh di perut, dalam dan luar paha (saddle bags), lengan, pinggang tetapi ia dianggap oleh beberapa pihak sebagai bukan rawatan terbaik untuk selulit.
Kalori yang bertukar menjadi lemak dan berada dalam lapisan dalam kulit sukar tidak boleh dibuang sepenuhnya menerusi pembedahan. Sedut lemak juga menelan belanja yang besar dan ia hanya untuk mereka yang sihat. Bagaimanapun, jika anda mahu cantik, sanggup berbelanja besar dan mahu mencuba, tepuk dada tanyalah selera.
Cara terbaik menyingkirkan selulit, kurangkan pengambilan makanan berkalori. Amalkan diet bersesuaian dengan gaya hidup dan pastikan mempunyai berat ideal. Lakukan senaman, aerobik misalnya. Ada nutrisi tertentu yang boleh anda ambil untuk menentang selulit dengan menstimulasikan pengeluaran lemak, kitaran darah dan saliran limfa. Atau anda mungkin boleh mencuba krim anti selulit. Paling penting, mulakan sebelum selulit mula mengganggu penampilan diri.
Lapisan lemak
ADA dua lapisan lemak berbeza iaitu lemak luaran dan lemak simpanan dalaman. Lemak luaran adalah normal dan tidak boleh disingkirkan manakala lemak simpanan dalaman adalah lemak berlebihan.
Justeru, selulit adalah gangguan tisu lemak yang berada di bawah kulit di bahagian bawah tubuh. Semua orang memiliki lapisan tisu lemak di bawah kulit yang bertindak seperti kusyen melindung dari tumbukan dan pelanggaran (bumps), memberi rasa selesa dan memberi kita ‘kelembutan’ yang berkaitan dengan sifat kewanitaan.
Tetapi terlebih makan makanan berkalori adalah punca utama pembentukan selulit. Diet dan senaman boleh membuang lemak lebihan di permukaan lapisan lemak tetapi bukan lemak yang tersimpan dalam lapisan dalam.
Walaupun sudah menjalani pembedahan kontur tubuh, selulit boleh muncul lagi jika tiada senaman dan tiada diet.
FAKTA:
Faktor terjadinya selulit
Dua sebab selulit terjadi pada wanita
Anda perlu tahu
Di sesetengah bahagian selulit terbentuk, ia seakan ‘tersumbat’ (blockage). Misalnya di kawasan pinggul. Senaman memiliki impak kecil untuk menyingkirkan lebihan lemak itu. Diet pula membuat berat badan seseorang susut tetapi tidak untuk bahagian tersumbat itu.
Susut berat badan membuatkan pipi kelihatan cengkung, payudara mengendur dan bahagian atas tubuh seakan mengecil tetapi bahagian pinggul masih kekal begitu. ia penanda bermulanya ‘lingkaran sebab akibat’ (vicious cycle).
Lingkaran sebab akibat bermaksud, kerana merasa tiada perubahan, wanita kembali makan mengikut sesuka hati dan berat mereka bertambah berganda berbanding sebelum berdiet. Cubaan menurunkan berat badan yang bersifat ‘on-again’ dan ‘off-again’ sebenarnya meningkatkan lagi beratnya. Penambahan berat menyebabkan risiko terhadap penyakit kardiovaskular terjadi, tekanan darah tinggi, sakit jantung dan diabetes.
0 Comments Received
Leave A Reply