SOALAN: SAYA wanita 25 tahun dan tidak pernah mendapat suntikan rubella. Saya ingin tahu adakah saya terdedah dengan apa-apa penyakit berbahaya ketika saya mengandung nanti.
DINA,
Melalui e-mel
INISIATIF program imunisasi oleh Kementerian Kesihatan sejak 1988 untuk memberi vaksinasi rubella dari vaksin MMR (Measles-Mumps-Rubella) kepada pelajar perempuan antara 11-14 tahun di sekolah memang patut dibanggakan. Selain mengurangkan kejadian jangkitan rubella dan juga mengurangkan komplikasi yang boleh terjadi daripada jangkitan ini, ia juga mengurangkan kejadian penyakit sindrom rubella konjenital (congenital rubella syndrome) yang terjadi kepada bayi apabila ibu mengandung itu dijangkiti penyakit rubella.
Rubella, atau juga dipanggil 'German measles', menyerupai penyakit campak (measles) tetapi tidak seteruknya. Ia adalah jangkitan virus yang boleh menjangkiti kanak-kanak dan orang dewasa. Seseorang akan dijangkiti dari hembusan batuk, bersin dan percakapan orang yang berjangkit. Gejala penyakit ini akan mula muncul selepas 12-23 hari kemudiannya. Ia menyebabkan demam tinggi selama dua hari, kemudian badan akan naik ruam merah bermula di muka dan merebak dari kepala hingga ke kaki. Masa yang paling infektif ialah bila ruam ini muncul dan berterusan selama seminggu. Kelenjar di leher juga akan bengkak dan sesetengah orang akan mengalami sakit-sakit sendi. Seperti campak, ia akan pulih kembali tanpa apa-apa kesan sampingan.
Bagaimanapun, jika penyakit itu menjangkiti ibu mengandung, bayi yang sedang membesar dalam kandungan berkemungkinan mendapat akibat lebih teruk dari kecacatan kekal atau juga boleh membawa kepada kematian dalam rahim. Antara kecacatan yang mungkin dialami ialah cacat pendengaran dan penglihatan, masalah jantung dan cacat akal. Kecacatan ini amat ketara jika jangkitan itu berlaku dalam tiga bulan pertama kandungan ketika pembentukan struktur penting dalam bayi sedang berlaku.
Jika seseorang wanita itu ada imunisasi terhadap rubella, anak dalam kandungannya akan selamat dari mendapat jangkitan ini. Oleh itu, semua wanita yang ingin mengandung patut mendapatkan imunisasi ini. Imunisasi ini tidak boleh diambil jika wanita itu sudah mengandung. Ia sepatutnya diambil sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum hendak cuba mengandung. Sebelum mendapat vaksinasi ini, buatlah ujian darah dulu untuk mengetahui sama ada sudah ada ketahanan terhadap penyakit rubella. Kajian ini akan mengesan antibodi terhadap rubella dalam darah dan jika sudah ada antibodi, maknanya kita sudah dijangkiti penyakit ini dulu dan mendapat ketahanan secara semula jadi. Oleh itu, suntikan vaksin tidak perlu diambil lagi kerana ketahanan ini adalah seumur hidup.
Walaupun ada lagi jangkitan lain dari virus dan pelbagai unsur lain yang boleh menyebabkan kecacatan kepada bayi, jika kita boleh kurangkan satu risiko sudah boleh memberi kesan sangat besar untuk keselamatan bayi. Buat masa ini, vaksin ini senang didapati di mana-mana pusat kesihatan, hospital dan juga klinik awam. Ia juga selamat - tidak ada kesan sampingan yang teruk selepas suntikan. Jadi jangan tunggu lama-lama untuk mendapatkannya jika masih tiada ketahanan terhadapnya.
0 Comments Received
Leave A Reply