Boleh doktor tolong jelaskan maksud ‘Benign Intracranial Hypertension’ (Tekanan air dalam otak tinggi). Saya disahkan menghidapi penyakit itu dua tahun yang lalu selepas air tulang belakang diambil.


Tiada penyakit lain atau sebarang kelainan selepas dibuat imbasan. Tetapi ada pembengkakan urat di belakang mata akibat tekanan menyebabkan pandangan mata saya bertambah kabur dan kuasa cermin mata juga sering bertambah.

Saya mengalami sakit kepala yang teruk dan sesekali mengalami keadaan "dunia berpusing laju". Jika bangun saya rasa dunia berpusing laju dan muntah. Keadaan berlangsung selama dua ke tiga hari.

Kejadian yang sama berulang tiga tahun selepas itu dan pakar neurologi mengesahkan saya berhadapan dengan ‘Benign Intracranial Hypertension’. Saya berhenti membuat rawatan susulan sejak 2005 tetapi baru-baru ia kembali menyerang.

Saya pernah diberitahu kemungkinan mengalami gegaran otak selain pernah menjalani pembedahan ketumbuhan dalam hidung (ENT) pada 1988. Apakah yang perlu saya lakukan? Doktor pakar menyarankan saya menjalani pengambilan air tulang belakang lagi untuk kurangkan tekanan, tetapi saya sudah tidak sanggup lagi kerana kali pertama dulu saya mengalami kesan yang teruk.

Anisah,
Melalui e-mel

Jawapan


Penyakit ini jarang berlaku, biasanya lebih cenderung kepada wanita berumur 20 hingga 50 tahun, lebih-lebih lagi dalam kes obesiti. Dalam laporan dari Amerika Syarikat, keadaan ini berlaku kepada seorang dalam 100,000 orang, tetapi jika dikhususkan kepada wanita, kadarnya bertambah dari 1.6 hingga 3.5 dalam 100,000 wanita dan 7.9 hingga 19 dalam 100,000 wanita yang berbadan gemuk. Kenapa obesiti boleh menyebabkan keadaan ini masih tidak diketahui.

Gejalanya seperti yang puan hadapi iaitu sakit kepala, kabur penglihatan, hilang penglihatan untuk sementara waktu, objek kelihatan seperti dua, pening, pening ‘vertigo’ (dunia akan berpusing-pusing), loya, muntah, kedengaran bunyi dalam telinga (sering di katakan seperti stesen radio rosak). Jika ia berlaku untuk kali pertama, kemungkinan penyakit yang paling penting yang mesti dipastikan ialah ketumbuhan di dalam otak ataupun saluran darah sudah tergumpal menyebabkan terhentinya pengaliran darah atau menjadi lebih perlahan, kerana keadaan ini menyebabkan tekanan cecair dalam otak lebih tinggi daripada normal. Nama lain untuk ‘benign intracranial hypertension’ (BIH) ialah ‘pseudotumour cerebri’ (ketumbuhan palsu dalam otak).

Puncanya masih tidak diketahui juga. Ada sesetengah ubat yang disabitkan, seperti setengah-setengah antibiotik - tetracycline, nalidixic acid, penicillin, pil steroid, pil perancang keluarga dan vitamin A. Penyakit yang ada kaitan dengan BIH termasuk penyakit lupus, ‘mutiple sclerosis’, sindrom Reye’s dan beberapa penyakit lain yang tidak begitu sering didengar. BIH juga boleh berlaku ketika mengandung. Kejatuhan yang puan alami dan pembedahan sinus tidak mungkin menjadi penyebab.

Oleh itu ujian yang puan lalui itu memang wajar dilakukan dan jika semuanya kelihatan normal, ukuran tekanan cecair dalam otak akan dilakukan melalui ‘lumbar puncture’ - satu jarum dimasukkan dari tulang belakang ke dalam saraf tunjang.

Pada masa ini, tekanan cecair akan diukur dan sedikit cecair ini akan di ambil menguji kandungan protein, glukos dan sel-sel - semuanya adalah normal dalam BIH.

Masalah tekanan dalam otak yang tinggi membawa banyak kesan. Tekanan tinggi akan mengakibatkan tisu-tisu saraf dalam otak tertekan, dan aliran darah ke tisu-tisu ini terganggu.

Saraf yang sering terbabit ialah saraf optik ke mata. Penekanan ke atas saraf inilah yang menyebabkan penglihatan kabur, hilang warna, kawasan penglihatan juga akan terasa seperti tersempit. Pemeriksaan ke dalam mata akan menunjukkan pertukaran pada bahagian dalam mata yang dipanggil ‘papilledema’. Jika tidak dikawal ia boleh menyebabkan buta pada kedua-dua belah mata.

Cara-cara rawatan ialah dengan mengurangkan berat badan dan penggunaan ubat yang boleh menurunkan tekanan dalam otak dengan mengeluarkan lebih cecair dalam badan seperti Acetazolamide dan Frusemide. Jika tidak dapat dikawal juga, ‘lumbar puncture’ harus dilakukan secara berulang untuk mengurangkan tekanan. Bila ini sudah terjadi, pembedahan untuk menyalur cecair dari otak ke dalam badan atau ‘shunt’ perlu dilakukan.

Secara lazimnya, keadaan ini akan baik selepas beberapa ketika, tetapi ia mungkin datang balik. Oleh itu, pemeriksaan pakar neurologi mesti diteruskan seumur hidup.