SAYA berusia 22 tahun dan mengalami buasir sejak empat tahun lalu. Ada ketumbuhan pada dubur saya yang keluar apabila membuang air besar. Saya sudah mencuba banyak rawatan tradisional seperti mengurut dan menggunakan ubat hospital namun buasir itu tidak susut. Saya takut menjalani pembedahan kerana kesan selepas pembedahan dikatakan amat menyakitkan. Saya risau penyakit ini memberi kesan buruk pada masa akan datang. Bolehkah saya hamil apabila sudah berkahwin. Boleh doktor cadangkan ubat yang boleh memulihkannya tanpa pembedahan atau mengikat buasir berkenaan.


Amida

Saya pemuda berusia 20 tahun dan mengalami buasir sejak berusia 18 tahun. Pada mula ia sekadar biji kecil pada keliling ractum tapi sekarang setiap kali membuang air besar, ada isi yang turut keluar dan masuk sendiri selepas membuang air besar. Saya mengalami masalah susah membuang air besar. Doktor memberi sejenis ubat bernama daflon. Hingga sekarang saya mengamalkan ubat itu, tapi tiada perubahan. Adakah masalah ini serius? Adakah ubat yang boleh pulihkan penyakit ini?

Pie

Buasir sering berlaku dan dianggarkan 50 peratus orang mendapat buasir pada suatu masa dalam hidup mereka. Ia tidak selesa dan kadangkala memalukan, tetapi ia jarang menjadi masalah serius. Di kawasan ini ada sistem salur darah vena yang banyak, jika tekanan pada sistem ini lebih tinggi daripada normal, ia akan bengkak membentuk buasir. Bengkak pada salur vena ini boleh berlaku pada bahagian dalam atau luar di bawah kulit. Kedua-duanya boleh berada pada bahagian dalam dubur atau terkeluar sebagai ketulan yang dapat dirasai, terutama selepas membuang air besar.

Sebab yang boleh meninggikan tekanan darah dalam salur vena ialah mengandung, apabila seseorang itu sentiasa mengangkat benda berat dan bila perlu meneran ketika membuang air besar kerana sembelit. Buasir boleh juga terbentuk dari tekanan yang tinggi pada salur vena besar dalam hati (dipanggil salur vena portal). Jika tekanan ini terlalu tinggi, lama-kelamaan akan membabitkan seluruh sistem vena lain termasuk dubur.

Apabila buasir terjadi, ia boleh menyebabkan pendarahan selepas membuang air besar. Biasanya pendarahan itu sedikit saja dan tidak membawa kepada kehilangan darah yang banyak sehingga menyebabkan anemia atau kekurangan darah.

Simptom lain seperti dialami kedua-dua pesakit di atas, iaitu terasa ketulan keluar dan masuk ke dalam selepas membuang air besar. Lendir juga boleh terkeluar dari buasir dan jika ia terlalu besar, ia memberi rasa tidak puas selepas membuang najis. Ia boleh juga bengkak kerana darah didalamnya tersumbat - ini akan menyebabkan sakit sehingga seseorang itu tidak dapat duduk betul.

Perlu diingatkan bukan semua perdarahan dari dubur kerana buasir. Lain-lain masalah termasuk ketumbuhan, luka dalam usus dan paling membimbangkan ialah kanser usus. Oleh itu, seseorang yang mengalami perdarahan mesti diperiksa dengan teliti sebelum menuduh buasir sebagai punca.

Buasir dapat dikenal pasti melalui pemeriksaan pada bahagian dubur. Pemeriksaan seluruh bahagian usus pula boleh dilakukan dengan menggunakan alat endoskopi yang menunjukkan bahagian dalam usus melalui kamera kecil.

Kebanyakan buasir tidak memerlukan rawatan kerana akan hilang sendiri. Buasir tidak akan menghalang kehamilan, tetapi senang berlaku ketika mengandung. Ia akan surut semula selepas bersalin apabila tekanan dari rahim yang mengandung itu tidak lagi menekan ke atas salur darah vena pada bahagian ini. Elakkan sembelit dengan menukar diet kepada jenis berserat tinggi dan mengambil ubat yang boleh melembutkan najis supaya ia mudah keluar.

Daflon (Daflon 500 ®,(Servier)) ialah sejenis ubat yang diproses dari tumbuhan mengandungi flavonoid. Ia menolong mengecutkan buasir ketika bengkak dan sakit atau jika buasir itu sudah lama, ia mengurangkan kemungkinan menjadi bengkak semula. Ia juga digunakan dalam kes lain yang menyebabkan kelemahan salur darah seperti salur darah bengkak pada kaki ('varicose veins'). Jika tiada apa-apa perbezaan selepas mengambil Daflon, pemeriksaan lebih teliti harus dilakukan untuk menentukan masalah sebenar. Selain itu, ada krim untuk disapu bagi mengurangkan sakit dan ubat yang dimasukkan dalam dubur untuk menolong mengecutkan buasir. Berbincang dengan doktor supaya rawatan lain boleh digunakan.

Jika buasir terus membesar dan menyebabkan perdarahan atau sakit, kaedah lain harus dilakukan. Pembedahan biasanya dilakukan untuk kes teruk saja. Salah satu cara lain lebih mudah dilakukan ialah mengikatnya dengan ketat pada bahagian pangkalnya supaya aliran darah akan terputus dan akan mengecut dan jatuh selepas beberapa ketika. Teknik ini dikenali sebagai 'rubberband ligation'. Cara ini tidak menyebabkan sakit yang teruk atau berpanjangan.

Teknik yang baru ialah menggunakan laser, pembakaran menggunakan aliran elektrik, pembekuan dan suntikan. Teknik yang baru ini hanya dapat dilakukan pakar yang sudah biasa merawati keadaan ini. Pembedahan membuang buasir ini hanya dilakukan untuk buasir pada bahagian dalam yang besar. Kaedahnya lebih rumit dan boleh menyebabkan sakit selepas pembedahan.

Buasir tidak dapat dicegah, tetapi jika hendak mengurangkan kejadian ini berlaku, langkah permulaan harus dilakukan dengan menukar diet kepada jenis serat tinggi kerana ia akan mengurangkan sembelit. Tambah makan buah-buahan segar, sayur-sayuran serta bijirin, kurang lemak, makanan yang tinggi kandungan gula dan makanan yang sudah diproses. Mereka yang mendapat buasir kerana sembelit sangat digalakkan mengamal diet seperti ini.