Soalan: Saya sudah berkahwin tujuh tahun dan sehingga kini masih tidak mempunyai zuriat. Saya pernah membuat pemeriksaan air mani di sebuah makmal swasta dan mendapati bilangan sperma sihat, sangat kurang.


Saya difahamkan kos rawatan kesuburan seperti IVF dan sebagainya sangat mahal dan rawatan itu juga mempunyai beberapa peringkat. Boleh doktor terangkan jenis rawatan yang khusus bagi lelaki dan kos rawatannya?

Saya juga mempunyai masalah kerana isteri terlalu malu mendapatkan rawatan sekiranya doktor yang merawat adalah lelaki kerana ia membabitkan pemeriksaan peranakan melalui vagina. Perkara ini sering timbul apabila berbincang untuk mendapatkan rawatan. Harap doktor dapat memberi pandangan.

FADZLI
Putrajaya

Jawapan:
Apa yang akan dijelaskan ialah secara am saja, kerana tiap-tiap kes berbeza dan bergantung kepada masalah kedua-dua pasangan itu. Jadi rawatannya ialah bukan untuk meninggikan kandungan sperma atau mengambil sperma saja, tetapi mendapat keadaan yang paling optimal untuk memperelokkan pengeluaran ova bagi wanita dan juga perolehan sperma pada pasangan lelaki.

Prosedur yang biasa dicuba dulu dipanggil ‘intrauterine insemination’ (IUI). Dalam kaedah ini, air mani dimasukkan ke dalam botol spesimen dan diproses dengan teknik putaran untuk mengasingkan sperma. Ia lebih berat dari cecair lain dan akan mendap ke bahagian bawah sekali. Lapisan ini akan disedut keluar dan akan dimasukkan ke dalam rahim isteri pada masa subur yang biasanya ditentukan dengan ubat-ubatan.

Kos rawatan berbeza mengikut hospital atau pusat perubatan itu sendiri kerana tidak ada syarat ke atas caj untuk rawatan seperti ini. Ia banyak bergantung kepada kos yang ditanggung setiap pusat rawatan. Jika di hospital awam yang tidak mengira keuntungan, bayaran diambil kira ialah atas perubatan dan alat-alat makmal. Anggarannya ialah antara RM800 hingga RM1,500.

Cara ini boleh dilakukan beberapa kali, biasanya jika masih tidak berjaya selepas empat hingga enam kali, cara rawatan lain akan disyorkan.

Rawatan yang lebih rumit ialah ‘in-vitro fertilisation’ (IVF). Inilah yang dikatakan bayi tabung uji. Ia memerlukan pembabitan kedua-dua pasangan sekali lagi. Isteri akan diberi ubat-ubatan yang lebih spesifik untuk menyuburkan kedua-dua ovari supaya akan dirangsang untuk mengeluarkan banyak ova atau telur dalam satu kitaran haid. Ini akan diperiksa melalui ultrasound.

Bila didapati ovari dipenuhi folikel yang mengandungi ova yang sudah matang, ova ini akan dikutip menggunakan alat khas. Pada masa sama, sperma dari suami juga akan diambil dengan cara sama seperti IUI, tetapi sperma ini akan dicampurkan di dalam tiub tabung uji yang mengandungi ova itu.

Ia akan dibiarkan dalam alat inkubasi dan akan diperiksa selepas 36 hingga 48 jam melalui mikroskop untuk tanda persenyawaan. Jika ia berlaku, pembentukan itu dinamakan embrio. Embrio ini akan dimasukkan ke dalam rahim selepas tiga hingga enam hari supaya ia melekat pada rahim untuk terus berkembang kepada janin.

Sudah tentu cara rawatan ini sangat teknikal dan perlu dilakukan mengikut masa yang terperinci. Oleh itu, kosnya pun agak tinggi - sekali lagi berbeza-beza mengikut tempat. Ia bermula pada tahap puluh ribuan - dari RM 11,000 ke atas.

Jika didapati embrio tidak terbentuk disebabkan kurang kandungan sperma atau kualiti sperma yang kurang memuaskan, satu lagi cara akan ditambah dalam rawatan IVF. Rawatan ini dinamakan ‘intra-cytoplasmic sperm inoculation’ atau ICSI. Oleh kerana hanya satu sperma saja diperlukan untuk mensenyawakan ova, maka teknik makmal dicipta untuk mengambil satu sperma yang terbaik daripada sperma suami yang ada akan di masukkan terus kedalam ova. Ini sama sekali menentukan persenyawaan berlaku dan ia dibiarkan dalam tabung uji untuk berkembang seperti embrio lain sehingga masa sesuai untuk dimasukkan ke dalam rahim.

Inilah skima ringkas proses IVF, di mana telur dikutip dari ovari, sperma dan telur ditemukan dalam tabung uji, dibiarkan untuk beberapa hari untuk membentuk embrio. Embrio itu seterusnya dimasukkan balik ke dalam rahim supaya ia melekat di dalamnya.

Teknik ICSI yang dilakukan di bawah mikroskop dimana satu sperma akan di tolakkan terus ke dalam ova.

Memandangkan rawatan ini memerlukan kepakaran yang khusus, sudah tentu tidak begitu ramai orang boleh melakukannya. Mungkin susah mendapat wanita saja untuk memeriksa pesakit wanita. Jangan korbankan keinginan untuk mendapat anak semata-mata kerana masalah ini.