SAYA berumur 30 tahun dan enam bulan lalu saya melahirkan anak melalui pembedahan. Masalah yang dihadapi oleh saya sekarang ialah selepas bersalin saya mengambil pil perancang dan pada bulan lalu saya berhenti mengambilnya kerana sering mengalami sakit kepala dan mual. Pada bulan ini, sejurus selepas saya berhenti mengambil pil itu, saya didapati mengandung.


Untuk pengetahuan doktor, saya sudah berkahwin selama enam tahun dan mengalami keguguran sebanyak dua kali dan kali ketiga barulah saya selamat melahirkan bayi perempuan.

Dalam kajian yang dijalankan, keguguran yang saya alami disebabkan saya mempunyai anticardioliphin positif yang sedikit saja. Saya perlu makan 0.75mg aspirin ketika saya mengandung sebelum ini.

Oleh itu, bolehkah saya meneruskan kandungan saya ini kerana saya baru saja enam bulan melahirkan anak? Bolehkah saya menggugurkan kandungan saya ini dengan memakan pil saja? Atau perlukah saya pergi ke hospital kerajaan (rekod saya di sana), dan meminta pendapat mereka terlebih dulu (masalahnya saya takut dimarahi oleh doktor di sana). Adakah saya perlu memakan aspirin lagi untuk kandungan saya yang baru ini? Sekian, diucapkan ribuan terima kasih di atas nasihat yang akan diberikan oleh doktor.

MAWAR

KEHADIRAN ‘Anticardiolipin’ antibodi menunjukkan puan mengalami sindrom ‘Antiphospholipid’ Antibodi, suatu jenis keadaan yang biasa dikaitkan dengan kerap kali kehilangan kandungan, kerencatan pertumbuhan bayi dalam kandungan dan tekanan darah tinggi ketika mengandung. Ia tidak membawa apa-apa masalah kesihatan kepada puan sendiri, sebaliknya masalah hanya berlaku apabila mengandung. Kehadiran antibodi yang dirangsang oleh badan kita sendiri ini menyebabkan terjadinya gumpalan darah (blood clots) dalam saluran darah yang halus di uri. Ia akan seterusnya menyempit kan pengaliran darah sampai akhirnya ia tersekat sepenuhnya. Uri menjadi tidak sihat dan tidak dapat berfungsi sepenuhnya kerana tisu sekeliling kawasan ini sudah rosak. Pengambilan aspirin dalam dos yang rendah itu akan menghalang pengumpalan darah dan membenarkan aliran darah dalam uri seperti biasa. Jika sudah mengandung, puan perlu memakannya lagi.

Pembedahan caesarean dilakukan di bawah rahim. Bahagian ini agak nipis, tidak memainkan apa-apa peranan ketika kontraksi rahim untuk proses kelahiran dan mengandungi kandungan otot yang kurang dari bahagian atas rahim. Cara pembedahan pada masa sekarang dilakukan dengan membuat pembukaan melebar di bahagian rahim ini, kemudian membolehkan ia ditutup kembali dengan mudah. Justeru, ia sembuh dengan lebih cepat dan baik.

Dianggarkan luka pembedahan akan sembuh dalam masa enam minggu hingga tiga bulan untuk mereka yang tidak ada masalah kesihatan lain seperti kencing manis yang melambatkan proses pemulihan. Kandungan biasanya berada di bahagian atas rahim dan akan berkembang di sana.

Bahagian bawah rahim mula berkembang pada tiga bulan terakhir mengandung dan ia terbentuk sepenuhnya ketika hendak bersalin.

Ada beberapa komplikasi yang boleh terjadi apabila seseorang itu mengandung selepas satu, dua atau tiga kali pembedahan caesarean. Yang pertama ialah risiko uri melekat di bahagian bawah rahim lebih tinggi dan ini dipanggil ‘placenta praevia’.

Ini akan dikesan melalui pemeriksaan ultrasound.

Satu lagi masalah ialah parut yang lama itu mungkin terbelah atau carik (uterine rupture). Ia berlaku terutama ketika sakit bersalin kerana masa inilah bahagian ini mula meregang untuk membolehkan bayi menurun. Kemungkinan risiko ini ialah satu dalam 200, bermakna antara 200 wanita yang bersalin melalui pembedahan, hanya seorang akan mengalami komplikasi ini pada kandungan seterusnya. Jadi risiko ini tidak begitu tinggi.

Bila ia berlaku, pendarahan daripada pembukaan parut akan berkumpul dalam abdomen dan boleh menjejaskan aliran darah kepada bayi. Keadaan ini adalah kritikal dan perlu pembedahan, mungkin rahim terpaksa dikeluarkan untuk menyelamatkan nyawa ibu. Oleh itu, ibu yang pernah melalui caesarean harus bersalin di hospital untuk mana-mana kandungan seterusnya, untuk memerhati tanda komplikasi ini. Jika dikesan lebih awal, risiko diatas boleh dikurangkan.

Masa yang paling sesuai untuk mengandung semula selepas pembedahan caesarean ialah 18 bulan. Ini memberi cukup masa untuk luka pulih kepada keadaan asal, ibu juga sudah kembali kepada keadaan sebelum mengan dung dan bayi sudah tidak terlalu bergantung kepada susu ibu untuk pemakanannya.

Puan sudah berkahwin selama enam tahun dan mengalami dua keguguran.

Jangan gugurkan kandungan ini semata-mata atas keterangan yang tidak ada dasar yang kukuh. Aspirin perlu dimulakan secepat mungkin. Jangan takut kepada manusia – itu tidak mendatangkan apa-apa faedah. Sebaliknya minta pertolongan daripada Kuasa yang menentukan semua ini dan takut kepada tanggungjawab puan atas kandungan ini sekarang.

-Tanya doktor@bharian.com.my