Soalan:


Anak saya menghidap asma. Sudah dua kali dimasukkan ke wad dan banyak kali pergi klinik. Apakah cara terbaik mengatasi masalah ini.

Norshamsiah
Terima kasih

Jawapan:


Anak puan dicadang mendapatkan rawatan sebaik saja simptom bermula dan mengambil ubat mengikut nasihat doktor.

Juga penting mengambil langkah pencegahan untuk mengelakkan atau sekurang-kurangnya mengurangkan frekuensi serangan asma. Langkah pencegahan termasuk ubat-ubatan dan elakkan faktor yang mencetuskan serangan asma seperti habuk, asap rokok, makanan atau minuman tertentu, bulu haiwan dan lain-lain lagi. Kadangkala, ujian darah perlu dijalankan untuk menentukan agen atau agen-agen pencetus serangan asma jika ia berlaku terlalu kerap.

Soalan:

Isteri saya melahirkan anak sulung pada 18 November 2005 dengan kaedah Ceaserian. Ketika kandungan berumur 9 bulan, isteri saya dikesan mengalami masalah GBS+ve. Untuk makluman doktor anak saya dilahirkan selepas 10 bulan 10 hari di dalam perut dan seberat 4.4 kilogram.

Saya ingin bertanya, adakah GBS+ve ini akan terus wujud pada kelahiran yang akan datang dan boleh menjangkiti anak yang akan dikandung seterusnya? Adakah benar jika anak pertama mempunyai berat yang besar, anak yang berikutnya akan lebih berat daripada yang pertama? Bolehkah anak yang seterusnya dilahirkan secara normal selepas pembedahan anak pertama?

Mohtar
Batu Pahat

Jawapan:


Jikalau seseorang ibu dikesan mengalami GBS+ve bermaksud ibu itu mempunyai kuman Group B Streptococcus dalam saluran kelahiran. Kemungkinan anak yang seterusnya dijangkiti bergantung kepada sama ada ibu itu dijangkiti semula dengan GBS selepas rawatan pada kehamilan pertama.

Pakar obstetrik selalunya akan mengesan kuman itu dan memberi rawatan sewajarnya sebelum kandungan cukup bulan.

Berat badan bayi yang dilahirkan bergantung kepada status kesihatan ibu dan pemakanannya semasa kehamilan selain faktor genetik.

Contohnya, jika ibu itu mengalami penyakit kencing manis atau makan berlebihan, bayi yang dilahirkan mungkin sekali besar juga.

Secara teori, anak yang seterusnya boleh dilahirkan secara normal selepas pembedahan untuk anak pertama. Pakar obstetrik akan menasihatkan cara kelahiran yang terbaik untuk seseorang ibu bergantung kepada beberapa faktor dan faktor ini berbeza dari individu ke individu.