Saya berumur 32 tahun dan mempunyai seorang anak berusia 18 bulan. Saya mengamalkan pil perancang keluarga kerana kelahiran anak saya adalah menerusi pembedahan.
Saya ingin meminta kepastian doktor, adakah pil perancang ini mengurang keinginan seksual dan juga menyebabkan 'water retention'.
Shukhria,
Melalui e-mel
Jawapan
Ya, setakat ini sudah ada cukup bukti menunjukkan penurunan keinginan seksual atau libido di kalangan pengambil pil perancang. Pengambilan pil perancang secara teratur akan menyebabkan bertambahnya pengeluaran satu bahan protein yang dipanggil ‘sex hormone binding globulin’ (SHBG).
Protein ini akan bergabung dengan hormon testosteron yang dikeluarkan dengan kandungan yang kecil dari ovari dan kelenjar adrenal dalam badan. Testosteron ialah hormon yang terbabit dalam pembentukan sifat fizikal dan fisiologikal lelaki. Ia juga diperlukan dalam wanita, tetapi pengeluarannya ialah satu pertujuh dari paras yang ada dalam lelaki. Kajian menunjukkan ia menolong membentuk otot, menguatkan kandungan tulang dan memberi libido. Bila SHBG bertambah, testosteron akan berkurangan.
Mengikut kajian dari Boston Universiti di Amerika Syarikat pada 2005, kandungan SHBG dalam wanita yang mengambil pil perancang adalah tujuh kali lebih tinggi berbanding wanita yang tidak pernah mengambil pil. Bila pil diberhentikan, SHBG ini masih tinggi lagi, dalam lingkungan tiga ke empat kali ganda dari yang normal, dan kesan ini masih berterusan setelah setahun dikaji. Ini menunjukkan kesan ini adalah berpanjangan dan mungkin juga berkekalan.
Pil perancang sudah digunakan lebih 40 tahun dan kesan ini sudah lama diketahui tetapi kurang diberi perhatian sehingga timbulnya kajian seperti di atas sekitar dua ke tiga tahun lalu. Antara kesan lain pil ialah pening kepala, bengkak dan sakit payudara, loya, badan terasa kembung kerana masalah keseimbangan cecair dalam badan - inilah yang menyebabkan ‘water retention’.
Apa yang harus dilakukan sekarang? Antara tindakan yang boleh diambil termasuk berhenti mengambil pil ini dan tukar kepada jenama lain, kerana kesannya berbeza-beza mengikut pengguna. Ada jenis yang baru di pasaran sekarang dan tidak memberi kesan begitu ketara. Ini perlu perbincangan dengan doktor puan atau dengan penasihat khas perancang keluarga. Kalau puan ingin terus berhenti mengambil pil, cara lain boleh diamalkan - antaranya ialah menggunakan kondom atau memasukkan alat kontraseptif dalam rahim.
0 Comments Received
Leave A Reply