Soalan:
SAYA berusia 26 tahun dan sudah berkahwin sejak lima tahun lalu. Saya didiagnos dengan endometriosis di bahagian kanan dan sudah menjalani pembedahan untuk membuangnya. Adakah saya berpeluang hamil dalam masa terdekat ini? Adakah kemungkinan endometriosis itu terjadi lagi? Apakah punca ia terjadi dan jika tidak hamil adakah saya berpotensi untuk berhadapan dengan barah payu dara?
Elmelda,
Melalui e-mel
Jawapan:
KAJIAN menunjukkan peluang yang paling baik untuk hamil ialah dalam masa enam bulan dari pembedahan. Jika masih tidak berjaya selepas ini, kemungkinan untuk hamil akan berkurangan dan puan seharusnya berbincang semula dengan doktor puan mengenai rawatan lain untuk membantu dalam reproduksi. Masalah yang mungkin terjadi ialah kesan selepas pembedahan yang menyebabkan perlekatan tiub Fallopia sehingga ianya menyusahkan pengaliran telur.
Ya, sista endometriosis berkemungkinan tinggi untuk terjadi semula selagi seseorang itu masih didatangi haid. Biasanya, sista ini akan muncul balik dalam masa dua tahun. Ianya juga bergantung kepada keadaan endometriosis pada pembedahan yang permulaan. Keadaan endometriosis boleh dibahagikan kepada empat tahap, tahap satu yang paling ringan dan empat yang paling teruk. Oleh itu, jika keadaan endometriosis yang dialami dikategorikan pada tahap yang lebih serius, kemungkinan untuk ianya kembali lebih tinggi.
Apakah punca menyebabkan endometriosis terjadi ?
Endometriosis berlaku bila sel pada lapisan dalam rahim yang dipanggil endometrium (dimana haid dikeluarkan) tertanam di bahagian lain di pelvis, terutama ovari, selaput luar rahim, dalam lapisan otot rahim dan kawasan sekitar rahim. Seperti sel di lapisan dalam rahim, sel ini juga tertakluk kepada stimulasi hormon mengikut kitaran haid.
Ketika haid, perubahan seperti perdarahan juga akan berlaku di kawasan ini dan lama-kelamaan ianya membentuk sista atau pengumpulan darah lama. Ini yang memberi warna coklat kepada cecair di dalam sista endometriosis. Sudah tentu pengumpulan ini menyebabkan sakit terutama ketika perdarahan haid, tetapi ia lebih teruk dari senggugut dan sakitnya berpanjangan.
Dengan adanya sista atau tompok endometriosis ini, ia boleh mengubah kedudukan anatomi normal rahim, tiub dan ovari. Dalam kes lebih teruk, ia menyebabkan perlekatan tiub kepada rahim atau ovari sehingga ia tidak bebas bergerak. Ini akan menghindarkan pengaliran sempurna telur kepada rahim. Ini salah satu sebab kesukaran hamil.
Punca sebenar masih tidak diketahui. Antara teori ialah pengaliran retrograd ketika haid, iaitu darah yang keluar bukan saja mengalir keluar rahim, tetapi juga melalui tiub ke dalam pelvis. Kalau begitu, kenapa bukan semua wanita mendapat endometriosis jika teori ini diterima? Badan kita mempunyai cara tersendiri untuk menghapuskan sel ini. Bila sistem ini tidak dapat mengawalnya, barulah sel endometrium ini berkembang. Ini berlaku bila darah yang keluar terlalu banyak atau bila pengaliran keluar darah haid itu tersekat.
Satu lagi teori ialah sel ini dibawa di dalam sistem aliran limpa dan darah. Ini dapat menerangkan kejadian endometriosis di bahagian jauh dari rahim, seperti di paru-paru, kulit dan pundi kencing. Lain-lain teori berkaitan dengan kebolehan sel-sel primitif berubah bentuk kepada sel-sel endometrium mengikut stimulasi yang masih tidak difahami dan masalah imunogenetik.
Rawatan endometriosis ialah biasanya melalui pembedahan. Untuk mereka yang masih muda dan belum mengandung, pembedahan minimal yang diperlukan saja akan dilakukan. Sebagai contoh, jika ada sista, ia akan dikeluarkan tanpa membabitkan rahim atau tiub. Rawatan hormon juga boleh diberikan selepas pembedahan untuk menahan sel-sel endometrium dari berkembang balik untuk sementara.
Untuk wanita yang sudah berumur lebih 40 tahun, ada anak dan tidak ingin mengandung lagi, pembedahan yang dinasihatkan ialah mengeluarkan rahim dan kedua belah ovari. Dengan ini, punca utama sel endometrium sudah dihapuskan sama sekali. Ia juga bermakna wanita itu menopaus selepas pembedahan.
Mengenai barah payu dara pula ia lebih berkaitan dengan susuan ibu. Wanita yang pernah menyusui anak mempunyai risiko yang lebih rendah terhadap barah ini. Mereka yang tak pernah mengandung lebih berisiko tinggi untuk mendapat barah ovari dan rahim.
0 Comments Received
Leave A Reply