Baru-baru ini, saya membuat pemeriksaan kesihatan di sebuah klinik kesihatan di Ampang. Saya demam dan berasa lenguh-lenguh di kaki dan sebelum ini saya selalu sakit perut. Doktor (lelaki) memeriksa perut dan buah pinggang dengan memicit-micit. Kemudian, katanya mungkin ada masalah ovari. Dia arahkan saya menanggalkan seluar ke paras lutut dan memasukkan jarinya ke lubang dubur untuk pemeriksaan.
Menjadi persoalan, adakah betul kaedah yang dilakukan doktor berkenaan? Sedangkan ovari jauh dari dubur? Adakah saya telah dicabul? Saya berasa teramat malu dan kurang senang dengan tindakan itu sekiranya dia cuba mengambil kesempatan.
Geram,
Melalui e-mel
Jawapan
Walaupun ovari berada berhampiran bahagian hadapan dubur dan dapat dirasai, jarang sekali pemeriksaan untuk ovari dilakukan melalui dubur. Ini kerana ia sangat tidak selesa dan menakutkan pesakit untuk pemeriksaan yang akan datang. Pemeriksaan pada dubur dilakukan lebih kepada masalah pembuangan air besar seperti pendarahan ketika pembuangan najis, buasir, sembelit dan beberapa masalah lain berkaitan dengan usus besar.
Untuk kanak-kanak, gadis remaja dan wanita yang belum pernah melakukan hubungan seksual, pemeriksaan ovari tidak dilakukan kecuali bila terasa ada ketumbuhan di bahagian abdomen. Pemeriksaan yang biasa dilakukan ialah melalui ultrasound kerana ovari dapat dilihat dengan sangat jelas melalui cara ini.
Setiap pesakit wanita yang diperiksa doktor lelaki harus ditemani ahli keluarga, jururawat atau pembantu wanita. Jika pemeriksaan di kemaluan atau dubur perlu dilakukan, pembantu wanita untuk doktor itu mesti ada bersama ketika pemeriksaan. Pesakit ada hak mengatakan dia tidak mahu diperiksa jika dia tidak dalam keadaan kritikal yang menggugat nyawa. Doktor itu juga tidak boleh membantah, sebaliknya hanya boleh menasihati saja. Jangan sekali-kali berasa takut menggunakan hak ini.
0 Comments Received
Leave A Reply