Soalan:


Saya seorang ibu kepada tiga anak perempuan. Ketika saya melahirkan anak bongsu, saya mengalami masalah uri melekat di dinding rahim. Saya ingin mengetahui punca berlakunya uri melekat dan adakah cara untuk mengelakkannya? Saya diberitahu saya berisiko untuk mengalaminya lagi pada kelahiran akan datang.

Suami berhasrat untuk menambah lagi seorang anak tetapi saya masih berasa fobia kerana kesakitan mengeluarkan uri yang melekat lebih sakit daripada sakit melahirkan bayi. Diharap doktor dapat membantu. Terima kasih.

Puan Eyza
melalui e-mail

Jawapan:


Uri itu dikatakan melekat jika ia masih tidak dapat dikeluarkan dalam masa 30 hingga 60 minit selepas kelahiran bayi. Pengeluaran uri berlaku apabila rahim sudah mula mengecut, membenarkan uri itu bercerai dari tempat melekat pada lapisan dalam rahim.

Proses ini berlaku dengan lancar membabitkan 98 peratus wanita yang bersalin. Kebanyakan uri yang ‘melekat’ sebenarnya mengambil masa yang lebih lama untuk diceraikan. Bila diberi masa lagi, didapati ia boleh dikeluarkan dengan normal tanpa masalah. Tetapi baki dua peratus lagi, uri tidak terpisah atau melekat dalam keadaan yang tidak normal sehingga tidak boleh dipisahkan langsung.

Bila ini berlaku, keadaan yang paling bahaya yang boleh terjadi ialah pendarahan tidak terkawal. Di Malaysia, penyebab utama kematian wanita mengandung ialah pendarahan selepas bersalin - iaitu membabitkan 23 peratus daripada semua kes kematian ibu hamil dan lepas bersalin. Daripada jumlah ini, salah satu sebabnya ialah uri melekat luar biasa.

Punca utama uri melekat antaranya ialah mungkin pernah berlaku luka di bahagian rahim (pembedahan pernah dilakukan pada rahim) atau apabila terjadi uri melekat tidak normal yang di panggil ‘placenta accreta’.

Uri biasanya berada pada satu lapisan saja dalam rahim. Tetapi, ada yang boleh menembusi lapisan ini untuk melekat pada bahagian yang lebih dalam iaitu di lapisan otot rahim.

Bila otot mengelilingi bahagian uri ini, memang berlaku uri meletak dengan kuat dan tidak boleh dipisahkan. Oleh itu, selepas bersalin, rahim tidak dapat mengecut dengan sempurna untuk menghentikan pendarahan. Dalam keadaan yang normal apabila uri sudah berpisah dan dikeluarkan, salur darah pada rahim yang terdedah akan tertutup semula apabila saiz rahim mengecil dengan mengecut.

Mereka yang lebih berisiko tinggi ialah mereka yang pernah ada uri melekat pada kandungan sebelum itu dan yang pernah mengalami luka pada rahim seperti pembedahan untuk fibroid.

Pembedahan cesarean juga memberi risiko yang lebih tinggi untuk placenta accreta dan dalam kes uri di bahagian bawah rahim (placenta praevia) yang melalui pembedahan, kejadian placenta accreta lebih tinggi pada kandungan yang seterusnya.

Lain-lain risiko termasuk kelahiran tidak cukup bulan dan mereka yang sudah kerap kali bersalin.

Bagaimanapun, dengan pengawasan dan perhatian yang rapi, keadaan yang cemas boleh dielakkan. Harus diingati kebanyakan kes uri melekat ialah kerana ia mengambil masa yang lebih lama daripada biasa, atau cuma sebahagian kecil dari uri sahaja yang terbabit.

Apa yang biasa dilakukan ialah memberi masa yang lebih lama sebelum cuba menarik uri lagi. Barangkali inilah yang terjadi pada puan. Ia terasa lebih sakit kerana pemeriksaan yang dilakukan ke dalam faraj lebih dalam, lebih-lebih lagi selepas bersalin, tisu sekelilingnya amat sensitif dan ada juga bahagian yang luka.

Jika ini masih tidak berjaya, persiapan untuk mengeluarkan uri di dewan bedah akan dilakukan seandainya berlaku pendarahan yang teruk. Jika perdarahan tidak boleh dikawal, pembedahan untuk mengeluarkan rahim mungkin perlu untuk menyelamatkan nyawa.

Selain itu, penggunaan ubat-ubatan yang semakin khusus yang ada sekarang menurunkan insiden kes perdarahan yang serius. Ubat-ubatan ini menolong dalam kontraksi rahim yang efektif dan berpanjangan.

Antara cara untuk menahan sakit bersalin ialah dengan teknik epidural - satu jenis bius separuh badan. Dengan cara ini, sakit bersalin tidak dirasai termasuk pelbagai lagi pemeriksaan yang perlu dilakukan. Ia diberi ketika mula sakit hendak bersalin. Mungkin puan boleh mencuba cara ini untuk mengelak rasa sakit bersalin dan kalaulah (harapnya tidak) uri melekat sekali lagi, sakit untuk mengeluarkannya tidak akan dirasai seperti dulu.