a) Saya melahirkan anak menggunakan forcep dan juga vacum kerana saiz anak yang besar 11 bulan lalu. Doktor yang menyambut kelahiran memberitahu, lubang najis terpaksa dikoyakkan untuk memberi jalan melahirkan yang lebih luas. Masalah saya, sehingga sekarang saya sukar membuang air besar berikutan lubang najis yang terlalu sempit dan apabila najis itu keluar ia disaluti darah.


Selain itu, kemaluan saya berasa sakit jika saya mencangkung atau ketika meneran seperti seolah-olah ada sesuatu yang akan terkeluar dari alat sulit.

b) Saya bersalin pada 2005 dan anak sudah berusia setahun sebulan. Sejak selepas bersalin hingga kini semacam ada letusan angin keluar dari kemaluan membuat saya rasa kurang selesa. Untuk pengetahuan doktor saya melahirkan anak dengan kaedah endoposotami.

San & Kay
Melalui e-mel

JAWAPAN:


Kedua soalan di atas membuka peluang untuk penerangan mengenai episiotomi, iaitu pemotongan di bahagian kulit pembukaan bawah faraj untuk membesarkan ruang keluar ketika kelahiran. Topik ini mencetus banyak perbincangan, kerana lebih kurang 20 tahun lalu ia menjadi amalan rutin. Tetapi kebelakangan ini, dari tahun 90an, ramai pakar perubatan tidak bersetuju kaedah ini dan tidak menggalakkan kegunaannya secara rutin, kecuali untuk kes tertentu saja.

Faraj wanita adalah suatu rongga yang tertutup. Saiznya lebih kurang tiga inci panjang. Bayangkan seorang insan kecil yang kepalanya sebesar saiz bola sepak takraw ditolakkan melalui saluran yang kecil ini untuk keluar memulakan hidupnya. Yang menakjubkan ialah kebolehan faraj mengembang beberapa kali ganda untuk membenarkan bayi itu melaluinya tanpa mengalami apa-apa carikan atau kecederaan. Bahagian yang akan terluka ialah di pembukaannya kerana di sinilah ia bertembung dengan kulit. Kulit tidak dapat meregang begitu banyak - oleh itu bila ia diregang ke tahap yang maksimum, ia akan mula koyak dan luka, dan otot-otot di bahagian bawahnya juga akan turut luka dan terkoyak. Luka ini boleh berlaku di banyak bahagian pembukaan faraj dan boleh menyebabkan luka teruk yang mendalam dan membabitkan dubur.

Untuk mengelakkan luka tidak terkawal, episiotomi dilakukan supaya luka itu terjadi hanya di satu tempat saja dan senang untuk dijahit dan dibaiki semula. Bahagian dubur tempat najis keluar tidak akan terbabit dalam episiotomi, sebaliknya ia dielakkan supaya fungsinya tidak terganggu. Bagaimanapun jika kepala bayi terlalu besar untuk pembukaan faraj itu, koyakan di kawasan episiotomi itu boleh merebak ke bawah dan ke dalam dan secara tidak sengaja, ia juga akan carik.

Selepas bersalin, episiotomi itu akan dijahit semula seperti keadaan sebelumnya. Ia memang tidak selesa, dan ibu yang baru bersalin itu mungkin tidak dapat duduk dengan betul untuk beberapa minggu. Jika sudah pulih, ia tidak akan menyebabkan apa-apa masalah lagi. Tetapi semestinya setiap prosedur ada komplikasi. Di antaranya ialah sakit semasa melakukan perhubungan intim dan sakit di pembukaan faraj. Itulah sebabnya ia tidak digalakkan untuk dilakukan untuk setiap wanita yang bersalin. Biasanya episiotomi dilakukan untuk mereka yang bersalin buat kali pertama kerana ketegangan kulit masih kuat lagi ketika ini, bila kelahiran dibantu dengan forseps atau vakum dan jika dianggar saiz bayi itu besar untuk mengelakkan carikan yang lebih teruk.

Sakit yang puan alami sudah terlalu lama. Sesudah habis pantang, luka dari episiotomi tidak sepatutnya menyebabkan sakit yang teruk atau masalah untuk membuang najis. Bila ini masih lagi berlaku, pemeriksaan yang lebih teliti perlu dilakukan. Kekeringan yang dialami mungkin tidak kena mengena dengan episiotomi. Perdarahan semasa membuang najis mungkin tidak ada kena mengena dengan tempat episiotomi tetapi masalah khusus di dubur seperti buasir. Bahagian ini harus diperiksa untuk memastikan tiada ketumbuhan lain di dalamnya.

Semasa perhubungan intim, cecair yang keluar semasa stimulasi ialah dari kelenjar di dalam faraj. Tetapi jika sakit dialami di bahagian jahitan, ia akan mengurangkan stimulasi dan cecair yang keluar akan berkurangan menyebabkan terasa kekeringan. Selepas bersalin, ketegangan di otot-otot sekeliling faraj juga akan berkurangan dan biasanya tidak kembali ke keadaan sebelum bersalin. Oleh itu, angin yang dirasai keluar dari kemaluan ialah kerana otot-otot ini sudah lemah. Ini boleh dikurangkan dengan melakukan senaman khas untuk menegangkan otot pelvis yang dipanggil senaman pelvik Kegel. Senaman lain seperti pilates dan yoga juga dapat menolong keadaan ini.

Pada zaman perubatan moden sekarang, jika anda bersalin di hospital atau pusat rawatan, sudah tentu anda tidak akan dibiarkan meneran selama sehari. Masa inilah yang paling kritikal untuk bayi dan ibu - bila serviks membuka dengan sepenuhnya, kepala bayi sudah berada di dalam faraj menanti masa untuk keluar dan ia bergantung sepenuhnya atas kebolehan ibu untuk menolaknya keluar. Ia mengambil masa lebih kurang sejam atau lebih sedikit dari itu, dan keadaan ibu dan bayi sentiasa diperhatikan.

Jika didapati tanda-tanda bayi itu mulai lemas atau ibu sudah terlalu letih, doktor akan menolong dengan menggunakan vakum atau forseps untuk menariknya keluar.