?KETIKA berusia 31 tahun, saya melahirkan anak secara normal walaupun berat anak saya ketika itu 5.2 kilogram. Selepas dipaksa melahirkan anak sebesar itu secara normal, saya mengalami pendarahan dan doktor yang merawat ketika itu mengatakan rahim saya telah melekat pada tembuni. Rahim saya terpaksa dibuang. Apakah kesan jangka panjang tindakan itu kerana saya sekali gus putus haid?


ROSLIND, Kundasang, Sabah

SAYA sungguh kagum puan dapat melahirkan seorang bayi sebesar itu! Ia mungkin suatu pengalaman yang sangat menyeksakan, apa lagi ia berakhir dengan pembedahan dan pembuangan rahim untuk menyelamatkan nyawa puan.

Sebab kematian tertinggi di kalangan ibu mengandung di negara kita ialah perdarahan selepas bersalin. Selepas bersalin dan setelah uri atau tembuni keluar, rahim akan mengecut dan ini akan menutup saluran darah yang terbuka disebabkan perpisahan uri daripada perlekatannya di rahim.

Kini, sudah menjadi rutin untuk memberi suntikan selepas saja bersalin. Suntikan ini mengandungi ubat sintetik menyerupai hormon oksitosin yang menyebabkan pengecutan rahim.

Penggunaannya telah menurunkan kes perdarahan yang berlebihan. Dalam kes puan, sebahagian uri telah melekat kepada rahim dan sebahagian lagi telah mula berpisah. Bahagian yang berpisah itu akan menyebabkan perdarahan yang berterusan kerana rahim tidak dapat mengecut sepenuhnya. Jika didapati uri itu sangat melekat sehingga tidak dapat diasingkan dan perdarahan semakin banyak, pembedahan ialah penyelesaian yang muktamad.

Adakah puan diberitahu ovari dikeluarkan semasa pembedahan? Pembedahan yang biasanya dijalankan ialah mengeluarkan rahim sahaja tanpa mengganggu ovari di kedua-dua belah rahim. Kesan dari ini ialah puan tidak akan datang haid dan juga tidak dapat mengandung lagi. Ini tidak bermakna puan sudah putus haid, tidak sama sekali! Ovari masih lagi berfungsi secara normal dan ovarilah yang terlibat dalam memberi sifat-sifat kewanitaan kita dengan mengeluarkan hormon estrogen.

Apabila ovari sudah berhenti mengeluarkan hormon ini, barulah terjadi putus haid. Ini biasanya berlaku apabila umur sudah menjangkau 45-53 tahun.

Perhubungan intim juga tidak akan terjejas selepas pembedahan ini, kerana bahagian faraj masih berfungsi. Tetapi ia akan mengambil masa untuk merasa selesa kembali bila bersama dengan pasangan. Ingat, pembedahan yang telah dilalui ialah pembedahan yang 'major' dan perlu masa untuk jahitan dan parut pulih. Dinasihatkan untuk berehat empat hingga enam minggu sebelum memulakan perhubungan seperti biasa.