SOALAN: SAYA lelaki berumur 45 tahun. Saya disahkan ada batu dalam hempedu berukuran 1.5 sm diameter dengan kulit hempedu tebal 1.1 sm. Simptom yang saya alami lebih kurang sama dengan gastrik iaitu tidak boleh makan banyak kerana terasa perut sudah penuh tapi dalam masa sejam dua saya perlu makan semula.


Doktor mencadangkan saya menjalani pembedahan buang pundi hempedu. Saya ingin tahu adakah alternatif lain selain pembedahan? Adakah pembedahan itu memiliki risiko? Jika saya menjalani pembedahan, adakah simptom yang saya alami akan hilang?

ABDUL RAHMAN,
Melalui e-mel


PEMBENTUKAN batu hempedu terjadi bila cecair dalam hempedu (yang dipanggil 'bile') mengeras dan mula berketul. 'Bile' dibentuk dalam hati dan disimpan dalam hempedu sehingga ia diperlukan untuk penghadaman lemak. Ketika itu, pundi hempedu akan mengecut untuk mengeluarkan cecair ini melalui saluran yang bersambung ke usus kecil.

Kandungan 'bile' adalah air, kolesterol, lemak, garam, protein dan bilirubin. Garam 'bile' akan memecahkan lemak dalam usus sementara bilirubin memberi warna kekuningan dalam najis. Jika cecair ini mengandungi berlebihan kolesterol, garam atau bilirubin, ia boleh mengeras menjadi batu.

Batu yang terbentuk berbeza-beza, dari saiz biji pasir ke saiz bola golf. Jumlahnya boleh jadi satu atau beratus-ratus batu kecil. Batu ini boleh keluar dari pundi dan menyekat mana-mana aliran 'bile' ke usus. Bila ini terjadi, saluran itu akan bengkak sehingga ke pundi hempedu malah boleh membabitkan bengkak di hati, tetapi keadaan ini jarang berlaku.

Faktor yang boleh membawa kepada pembentukan batu ialah obesiti kerana kandungan kolesterol pun tinggi, berlebihan hormon estrogen – hormon ini dapat meninggikan kandungan kolesterol dan mengurangkan pengecutan pundi hempedu, kaum wanita (risiko dua kali ganda berbanding lelaki, biasanya selepas 40 tahun) dan diabetes (kerana kandungan trigliserid, sejenis asid lemak lebih tinggi).

Kebanyakan orang yang mempunyai batu dalam hempedu tidak mengadu sakit dan tidak perlu apa-apa rawatan. Tetapi, bila sudah sakit, ia boleh menyerupai banyak keadaan lain seperti gastrik, sakit jantung, appendiks, sakit usus, pankreatitis dan hepatitis.

Sakitnya terjadi dengan mengejut, biasanya selepas memakan makanan berlemak, bermula di bahagian atas perut atau di bahagian belakang atau di bahagian bahu sebelah kanan. Ia boleh menyebabkan rasa loya dan muntah. Simptom lain termasuk perut kembung, angin dan banyak sendawa.

Yang lebih serius ialah bila ada jangkitan di bahagian pundi atau salurannya yang menyebabkan demam, jaundis (warna kulit dan putih mata menjadi kuning disebabkan kandungan bilirubin yang tinggi yang telah tersekat pengalirannya) dan perubahan warna najis menjadi warna lebih pucat.

Ujian ultrasound menjadi ujian paling mudah untuk mengesan batu hempedu. Ketebalan dinding hempedu juga diukur – ketebalan yang normal sepatutnya kurang dari 4-7mm, jika lebih tebal dari ini, ia menandakan kes yang telah kronik atau pernah terjadi jangkitan.

Rawatan yang disyorkan ialah pembedahan untuk mengeluarkan pundi yang telah bengkak itu. Simptom yang dirasai sebelum ini akan hilang selepas dibedah. Bolehkah kita hidup tanpa pundi ini? Seperti appendiks, ia tidak memudaratkan badan kita. Selepas ia dikeluarkan, 'bile' akan terus mengalir dari hati ke saluran 'bile' dan seterusnya ke usus. Oleh kerana ia lebih kerap masuk ke usus, lebih kurang satu peratus akan mengalami cirit-birit.

Rawatan alternatif termasuk memecahkan batu seperti rawatan batu karang atau memakan ubat yang boleh melarutkan batu. Ini biasanya dilakukan apabila seseorang itu tidak dapat melalui pembedahan kerana ada komplikasi atau penyakit lain. Berbincanglah dengan pakar bedah untuk mendapat maklumat lebih jelas.