Tubuh yang matang, putaran haid tetap menggambarkan pengeluaran hormon kewanitaan mencukupi


SOALAN: SEBELUM seseorang wanita berkahwin, adakah dia boleh mengetahui sama ada dia mandul atau tidak? Jika ya, apakah tanda kemandulan yang boleh dikesan. Adakah payu dara kecil boleh menyebabkan seseorang itu sukar mendapat zuriat?

FARHANA,
Klang, Selangor


WANITA yang sihat mempunyai anggota seksual dan reproduktif yang sihat dan berfungsi dengan sempurna. Dia mempunyai rahim yang sihat dan sempurna dengan sepasang salur telur berfungsi yang tidak terkandas. Dia mempunyai sepasang sampul telur atau ovari yang sihat dan mampu menghasilkan telur. Dia juga mempunyai salur faraj yang sihat dan dapat menerima anggota sulit lelaki untuk menerima sperma atau benih lelaki.

Wanita sebegini mempunyai tubuh badan yang matang, mantap dan jika dia mempunyai putaran haid yang tetap, semua ini menggambarkan pengeluaran hormon kewanitaan yang mencukupi.

Dengan ciri sedemikian dia boleh dikatakan mempunyai kemampuan untuk mendapat zuriat jika kesihatannya kekal dan pasangannya juga sihat dan mempunyai sistem reproduktif yang mantap dan subur.

Begitupun, ada wanita yang mempunyai putaran haid yang sempurna dan ada ciri-ciri kesuburan seperti tanda telur sedang mengembang (ditandai dengan pengeluaran lendir macam putih telur yang belum masak dan juga petanda pengeluaran telur, iaitu imbasan sengal di bahagian ari-ari) tetapi apabila berat badannya mula naik dengan mendadak, putaran haid meragam dan ada kalanya haid lewat berbulan-bulan.

Jadi keadaan sihat itu sudah bertukar dan dia tidak mempunyai ciri-ciri kesuburan. Kemungkinan jika perkara ini berlanjutan, dia mungkin gagal untuk mendapat zuriat.

Wanita yang tidak menjalani perubahan baligh seperti tiada ketumbesaran payu dara, tiada bulu roma dan anggota sulit kecil dan dia tidak pernah datang haid berhadapan dengan masalah dikenali sebagai hipogonadisme.

Kemungkinan wanita itu mandul kerana tiada ciri ciri wanita dewasa. Dia perlu menjalani pemeriksaan doktor untuk mendapat rawatan yang sewajar.