?SAYA mempunyai seorang anak perempuan berusia 11 tahun dan telah datang haid. Adakah ia perkara biasa berlaku kepada kanak-kanak yang berusia sedemikian. Saya harap doktor boleh memberi penjelasan kerana ia agak merunsingkan.


LAILA,
Kota Samarahan, Sarawak


JANGAN bimbang puan, memang ketika umur inilah haid mula datang. Kedatangan haid yang pertama biasanya berlaku dalam lingkungan umur sembilan hingga 13 tahun, kebanyakannya mendapat haid dalam linkungan 10.5 tahun. Anak puan sekarang sedang memasuki tempoh puberti ('puberty'), iaitu pertukaran dari alam kanak-kanak ke alam dewasa yang menyediakan badan untuk fungsi bagi membolehkan keturunan kita berterusan.

Kita tak boleh bandingkan dengan masa kita mendapat haid 20 atau 30 tahun dulu. Pada masa itu, umur di mana haid bermula lebih kurang 13 - 16 tahun. Faktor utama yang menyebabkan pertukaran ini ialah atas status sosioekonomi setiap kaum. Kemajuan ekonomi, kemudahan mendapat makanan dan ramai kanak-kanak yang bertambah berat badan (tinggi kandungan lemak) telah menurunkan umur bermula haid. Tetapi permulaan haid kurang dari lapan tahun tidak normal, ia menandakan ada masalah dengan perkembangan hormon-hormon badan.

Pertukaran fizikal yang berlaku membabitkan sistem hormon yang sangat canggih dan mengagumkan yang dikeluarkan dari tiga tempat di badan. Hipotalamus ('Hypothalamus'), suatu kawasan saraf di otak mengeluarkan bahan-bahan yang dihantar ke kelenjar pituitari (juga di bahagian otak) yang merangsang pengeluaran hormon-hormon. Hormon-hormon ini seterusnya merangsang ovari untuk mula mengeluarkan hormon estrogen, yang bertanggungjawab atas pertukaran badan kepada ciri-ciri wanita.

Kedatangan haid adalah tanda-tanda akhir puberti. Pertukaran pertama yang berlaku adalah pembesaran buah dada, kemudian pertumbuhan rambut di ketiak dan kemaluan. Perkembangan buah dada dan rambut akan berterusan sehingga 17 atau 18 tahun.

Bahagian kemaluan dan sistem reproduksi juga akan berkembang. Bahagian faraj akan mula menjadi lebih tebal dan mengeluarkan lendir yang kelihatan seperti keputihan. Dalam masa dua tahun setelah bermula perkembangan buah dada, saiz rahim dan ovari juga mula membesar. Bentuk badan juga akan berubah, bahagian punggung akan menjadi lebih lebar menjadi kesenangan untuk bersalin, dan kandungan lemak akan mula berkumpul di bahagian buah dada, pinggul dan peha yang akan memberi bentuk kewanitaan.

Kitaran haid pada dua tahun permulaan biasanya tidak teratur kerana proses ovulasi di mana telur berkembang masih belum bermula lagi, tetapi lebih dari 90 peratus akan berovulasi selepas ini dan kedatangan haid akan mula teratur kepada tiap-tiap bulan.

Perkembangan yang lain ialah ketinggian - sebaik saja kelihatan pembentukan buah dada, tingginya akan memecut bermula di bahagian kaki, sehingga kelihatan kaki lebih panjang dari badan. Selepas itu rangka tulang belakang pula memanjang.

Ketinggian yang boleh dicapai ialah lebih kurang lima sentimeter dalam jangka dua tahun selepas bermulanya haid. Hormon androgen, hormon yang terbabit dalam sistem reproduksi lelaki juga terdapat dalam kandungan yang kecil dalam wanita dan inilah hormon yang menukarkan kandungan-kandungan dalam peluh menyebabkan bau badan bertukar. Ia juga menambahkan pembentukan sebum di permukaan kulit - oleh itu lebih senang untuk terjadinya jerawat.

Pada masa inilah harus ditekankan betapa pentingnya menjaga kesihatan badan yang sedang mengalami bermacam-macam perubahan. Tekanan emosi pun akan lebih bergelora, tambah lagi orang muda sekarang sudah terlalu pandai membanding kelebihan badan masing-masing dan mula meminati puak lelaki. Ibu bapa kena banyak bersabar untuk membimbing anak-anak mereka pada masa ini.

Pemakanan yang seimbang mesti digalakkan. Jangan biarkan anak-anak terlalu terpengaruh dengan jenis diet untuk kuruskan badan. Pada masa inilah zat-zat yang penting diperlukan untuk tumbesaran aktiviti fizikal juga penting, terutama kepada keteguhan tulang rangka selain dari membentuk tabiat yang dapat dibawa sehingga dewasa. Tetapi rehat yang mencukupi juga perlu supaya badan dapat baik pulih kembali.