Soalan:
Saya telah berkahwin tiga tahun dan sudah mencuba pelbagai jenis rawatan moden (pakar) serta tradisional (berurut) untuk mendapatkan zuriat. Doktor pakar mengesahkan saya dan suami tidak mempunyai sebarang masalah mendapatkan zuriat. Saya juga mencuba rawatan IUI sebanyak dua kali tetapi tidak berjaya. Suami saya seorang perokok dan mudah stres. Adakah ia penyebab kami tidak mendapat zuriat?
Sari
Kuala Lumpur
Jawapan
Tidak ada banyak perbezaan dalam diet seseorang yang ingin hamil berbanding dengan diet seimbang dan berkhasiat. Pilihan pemakanan yang kurang lemak, banyak fiber, buah-buahan dan sayuran amat digalakkan. Folik asid (salah satu komponen vitamin B) adalah vitamin penting untuk pertumbuhan saraf dan tulang belakang bayi dan kuantiti yang diperlukan ialah 400 mikrogram sehari. Makanan yang mempunyai folik asid dan vitamin B ialah sayuran hijau, buah-buah sitrus seperti oren dan bijirin-bijirin.
Wanita yang ingin hamil digalakkan menambahkan kandungan folik asid seawal tiga bulan sebelum hamil lagi dan ianya diteruskan semasa mengandung. Tambahkan juga pengambilan vitamin C kerana kekurangannya menunjukkan masalah sperma bergumpal dan tidak dapat berenang dengan normal.
Kekurangan zat zink ada kaitan dengan kekurangan kandungan sperma dan masalah untuk mengandung. Makanan yang didapati banyak kandungan zink ialah 'oyster'. Tetapi seelok-eloknya masih lagi mengambil makanan yang banyak variasi dan khasiat, bukannya memilih satu atau dua jenis makanan saja - bukan semua orang boleh menelan 'oyster' mentah-mentah! Tidak salah jika puan ingin mengambil pil vitamin komersial, jika mahu ambillah vitamin yang digunakan wanita mengandung, kerana kandungan vitaminnya yang pelbagai bersesuaian dengan keperluan wanita mengandung. Ianya lebih tinggi kandungan berbanding dengan keperluan orang dewasa biasa.
Apa pula yang harus dielak? Kafein didapati mengurangkan kemungkinan mengandung kerana stimulan dalam kafein boleh menyebabkan masalah ovulasi. Merokok, menghisap ganja dan alkohol menunjukkan kesan sangat negatif ke atas kandungan sperma dan juga pembentukannya.
Pujuklah suami untuk berhenti merokok - tegaskan kesannya meliputi seluruh badan dan menjejaskan orang yang tersayang. Orang yang merokok mempunyai kandungan sperma rendah, pergerakannya pun lemah, jangka hayatnya lebih pendek dan mungkin terjadi pertukaran genetik yang boleh membawa kepada kecacatan bayi. Ada laporan mencatat kandungan sperma berkurangan sebanyak 13 hingga 17 peratus dalam lelaki merokok berbanding dengan tidak merokok. Keadaan ini boleh diperbaiki dan kembali kepada normal selepas berhenti. Jika wanita merokok, kualiti telur adalah rendah, fungsi ovari juga terjejas, dan ada risiko lebih tinggi untuk keguguran.
Laporan yang diterbitkan majalah perubatan 'British Medical Association' pada 2004 mengenai merokok dan kesan ke atas fungsi reproduksi menyatakan 120,000 lelaki berumur antara 30 hingga 50 tahun mengalami masalah mendapat ereksi ketika hubungan intim, menyebabkan 5,000 keguguran setahun, menurunkan kemungkinan mengandung sebanyak 40 peratus dalam tiap kitaran haid dan menurunkan kemungkinan mendapat kandungan ketika melalui rawatan IVF ('in-vitro fertilisation'). Bagi pasangan yang merokok atau jika lelaki saja merokok, kemungkinan keguguran berlaku setinggi 64 peratus.
Ketika mengandung, berat bayi bagi wanita merokok kemungkinannya tiga kali lebih rendah daripada bayi normal dan lebih tinggi risiko mendapat penyakit serta kematian pada tahun pertama kehidupan. Kualiti susu badan juga berkurangan jika wanita merokok.
Kesan terhadap orang sekeliling yang selalu terdedah kepada asap rokok lebih kurang sama teruknya, tambah-tambah lagi kepada kanak-kanak. Inilah satu-satunya gejala moden yang membawa impak sangat besar kepada generasi akan datang. Jadi, keutamaan untuk pasangan yang inginkan keluarga ialah - berhenti merokok dan jangan mula merokok.
Senaman yang sederhana juga penting kerana ia menolong mengawal berat badan dan mengurangkan tekanan. Bagi lelaki, jangan libatkan diri dalam senaman yang terlalu intensif kerana ia akan meninggikan suhu badan, terutama di bahagian kemaluan. Pembentukan sperma terbantut jika suhu di sekeliling buah zakar lebih tinggi, itulah hikmahnya ia diletakkan di luar badan!
Akhir sekali, ingat tujuan perkahwinan puan, adakah ia untuk mendapat anak semata-mata? Dengan pelbagai rawatan yang sudah dilalui, dengan pelbagia cara dan belanja terbabit, mungkin paras tekanan antara puan dan suami sudah hampir meletup. Ambil sedikit masa menenangkan fikiran dan emosi, kemudian berusaha kembali mencuba cara rawatan lain yang ada pada masa ini.
0 Comments Received
Leave A Reply