SOALAN
SAYA berusia 43 tahun dan sudah berkeluarga. Satu ketika dulu saya sering berasa sakit di dada. Saya sudah menjalani Stress Test", ECG and angiogram tetapi doktor mengesahkan tiada masalah jantung.
Saya selalu bersenam sebelum ke tempat kerja. Saya lakukan senaman ringan tetapi masih kurang stamina. Akhir-akhir ini saya sering keletihan dan rasa tidak selesa.
Saya menjalani ESP (Executive Sreening Program) di IJN, dan tiada masalah cuma tahap stamina sangat rendah, kolestrol dan urik asid tinggi sedikit.
Berat badan saya 84 kilogram dan tinggi 167 sm. Saya tiada masalah keluarga dan pendapatan saya mencukupi dengan jawatan saya sebagai pengurus kanan.
Adakah tekanan (stress) punca masalah saya? Secara peribadi saya tidak menghadapi sebarang masalah serius. Ketika ini saya makan ubat kolesterol saja.
JAWAPAN
Keletihan adalah masalah global masyarakat moden. Masalah ini bukan remeh. Keletihan juga suatu simptom yang subjektif, kerana tahapnya berbeza-beza.
Tidur malam yang memuaskan, antara 6 hingga 8 jam membantu konsentrasi dan meninggikan sistem imunisasi.
Wanita secara amnya memerlukan tidur satu jam lebih daripada lelaki. Seorang yang sentiasa kurang tidur akan mengalami keletihan berterusan. Kurang tidur disebabkan tidak boleh tidur atau aktiviti, tabiat atau tekanan hidup.
Pertama perlu rawatan kerana ada banyak sebab tetapi kedua boleh diubah dengan menukar rutin harian.
Satu lagi masalah berkaitan tidur ialah 'sleep apnea syndrome' apabila otot yang memastikan rongga kerongkong terbuka untuk pernafasan menjadi terlalu relaks dan tertutup menyebabkan seseorang kerap terjaga dan otot itu kembali berfungsi supaya mereka dapat bernafas secara biasa. Kekerapan ini berlaku sepanjang malam menyebabkan tidur tidak memuaskan.
Masalah ini hanya dapat dikesan di makmal tidur - dia akan diperhatikan cara tidurnya untuk satu malam. Ia boleh diatasi dengan alat moden.
Masalah kedua ialah depresi. Ramai mengalami masalah ini mengadu selalu letih - biasanya sejurus lepas bangun pagi. Selain itu mereka ada simptom lain seperti kurang konsentrasi, sakit badan, kurang selera, susah tidur dan susah membuat tugas yang biasanya dikira mudah dilakukan.
Masalah perubatan lain ialah kekurangan darah, tiroid, lemah jantung, kencing manis, jangkitan, kanser, cara pemakanan dan masalah berat badan.
Pemakanan yang kurang optimum boleh mengurangkan tahap tenaga. Zat besi ialah satu daripada komponen penting untuk tenaga. Ia boleh didapati daripada daging merah, sayur-sayuran hijau dan bijirin.
Karbohidrat diperlukan untuk memberi tenaga dan disyorkan bijirin dan buah-buahan. Jangan terpedaya dengan kempen pil atau tonik yang berjanji memberi lebih tenaga dan kecergasan. Zat dan vitamin paling baik masih lagi pemakanan seimbang, terutama sayuran dan buah-buahan, seelok-eloknya yang diusahakan secara organik. Pastikan pengambilan air mencukupi.
Satu lagi punca keletihan ialah obesiti. Satu kajian di Amerika menunjukkan mereka yang mempunyai BMI (body mass index - sukatan keseimbangan berat badan) lebih dari 32kg/m2 berasa letih dua kali ganda daripada BMI normal. BMI yang lebih dari 25 dianggap 'overweight' dan 30 ke atas adalah obesiti.
Kalau semua pemeriksaan dan ujian didapati normal, mungkin masalahnya ialah sindrom keletihan kronik. Ia tidak dapat dirawat tetapi boleh dimodifikasikan supaya dapat kembali kepada tahap ia boleh berfungsi.
Jika pemantauan dari IJN sehingga ke tahap melakukan angiogram memuaskan, bolehlah dikatakan keadaan jantung dan kesihatan keseluruhannya baik. Sudahkah pemeriksaan untuk 'tumour markers' dilakukan? Ini adalah satu lagi ujian mengesan sesetengah barah, seperti usus, paru-paru dan prostat. Biasanya ia dilakukan sekali gus.
BMI anda adalah 31. Mungkin ini menjadi faktor masalah keletihan yang dialami. Ini juga boleh diubah dengan usaha dan komitmen mantap - dan pengubahsuaiannya perlu dilakukan perlahan-lahan supaya berat optimal dapat dicapai.
Jangan lupa mendapatkan nasihat untuk melakukan aktiviti lebih cergas untuk meninggikan kadar metabolisme.
0 Comments Received
Leave A Reply