ISTERI saya sudah tiga kali melahirkan anak secara pembedahan dan anak bongsu sudah berusia dua tahun. Masalahnya, keinginan dia untuk bersama sudah semakin berkurang. Dia selalu mengatakan kurang berminat dengan hubungan kelamin. Adakah pembedahan itu menjadi punca?


AHMAD ARISS,
Melalui e-mel


SEKSUALITI manusia berubah dari semasa ke semasa dan tertakluk kepada pengenalan, pengalaman, pendedahan dan juga mengikut kemampuan kesihatan yang juga merangkumi amalan gaya hidup sihat dan pencegahan dari penyakit yang boleh mempengaruhi fungsi syahwat dan naluri, seperti penyakit kencing manis, sakit jantung, sakit buah pinggang dan lain lain.

Setiap wanita memiliki seksualiti berbeza walaupun asasnya semua wanita mempu nyai perasaan, keperluan dan kehendak batin dan syahwat.

Gangguan orgasmic atau disfungsi orgasmic berlaku apabila wanita itu jarang atau tidak langsung mencapai klimaks walaupun dia dalam keadaan ghairah. Beberapa kajian yang pernah dijalankan melaporkan 20 peratus daripada masalah disfungsi seksual wanita ialah masalah orgasm (dysorgasmia atau anorgasmia) ataupun sebilangan besar wanita mengalami perasaan dingin atau rendah keinginan syahwat, masalah rangsangan (arousal difficulty) dan kesakitan berkaitan dengan persetubuhan (dyspareunia).

Jika wanita dari peringkat awal kurang minat melakukan persetubuhan, tetapi melakukannya untuk tujuan mendapat zuriat, apabila dia mencapai hasratnya itu dia tidak lagi terbuka bersetubuh kecuali atas desakan suami. Jika dulu dia mendiamkan diri dan menurut kehendak suami, kini dia akan menyuarakan keengganannya secara terbuka tanpa memberi sebarang sebab.

Adakalanya dia kurang berminat bersama suami kerana kurang selesa, seperti selepas menjalani pembedahan misalnya atau takut hamil kerana sudah menjalani tiga kali pembedahan. Jangan biarkan perkara ini berlarutan. Anda perlu membantu isteri berterus terang.