Soalan: Saya berusia 41 tahun dan masih bujang. Saya berhadapan dengan masalah setiap kali bersin, air kencing akan terkeluar. Adakah keadaan ini disebabkan pembabitan dalam sukan lasak waktu muda atau mungkin kerana saya menghidap asma?



Selain itu, saya sering berasa sakit di tumit kedua-dua belah kaki jika tidak membuat sebarang aktiviti, apabila duduk terlalu lama atau bangun dari tidur. Kadang-kadang saya hampir tidak boleh memijak lantai langsung kerana terlalu sakit. Ibu saya dulu pernah mengadu mengalami sakit yang sama ketika hayatnya. Beliau disyaki menghidap penyakit lemah jantung dan meninggal dunia pada bulan puasa 2003. Adakah saya mewarisi penyakit ibu saya ? Apakah yang harus saya lakukan untuk mengatasi masalah ini?

Raihan.
Melalui e-mail.





Apa yang saudari alami ialah keadaan yang dipanggil 'urinary incontinence'. Kawalan untuk pengeluaran air kencing adalah satu proses yang cukup kompleks. Ia adalah gabungan kawalan pada paras otak, otot-otot yang mengelilingi saluran keluar kencing di pundi kencing dan perangsangan saraf di pundi kencing. Bagi wanita, masalah ini lebih kerap berlaku kerana struktur anatomi berlainan sedikit selari dengan bentuk jantina yang berbeza.

Masalah saudari masih tidak begitu teruk kerana anda boleh lagi mengawal kencing dari terkeluar. Otot-otot di bahagian pelvis memainkan peranan penting dalam menahan kencing. Keadaan yang melemahkannya ialah bersalin - tiap-tiap kali bersalin, otot-otot di sini meregang dan saluran saraf juga akan terjejas. Kajian mendapati otot-otot ini tidak akan kembali seperti keadaan sebelum bersalin. Lain-lain faktor ialah keadaan yang meninggikan tekanan dalam abdomen, seperti batuk yang kronik dan sembelit (kerana perlu meneran dengan lebih kuat), menopaus (pertukaran hormon mengurangkan ketegangan otot pelvis), pembedahan pada saraf tunjang atau pelvis, pengambilan kafein dan setengah ubat-ubatan. Jika aktiviti lasak yang dilakukan itu membabitkan mengangkat berat atau aktiviti yang meninggikan tekanan dalam abdomen - ya, ia tentu boleh menyebabkan masalah ini, tetapi saya rasa penyakit asma yang anda alami menjadi penyebab.

Ada beberapa cara mengatasi masalah ini. Paling senang untuk dilakukan ialah menguatkan otot di pelvis, dan senaman ini dinamakan senaman 'Kegel'. Caranya ialah mengecutkan otot yang kita gunakan untuk menahan kencing, tapi jangan lakukannya ketika hendak kencing - nanti jadi masalah lain pula! Cuba kecutkan otot ini sampai kiraan 10, kemudian relaks, dan buat lagi sebanyak 20 kali, tiga atau empat kali sehari.

Senaman 'Pilates' dan yoga juga sangat baik kerana ia menolong menguatkan otot-otot di kawasan ini. Senaman ini perlu dilakukan selalu selama enam bulan untuk menunjukkan kesan.

Satu lagi cara ialah jangan suka tahan kencing terlalu lama - selalu ingat untuk buang air selepas beberapa jam - ini akan mengurangkan bebanan kerja kepada otot. Ada juga ubat yang boleh digunakan, tetapi ini perlu pemeriksaan lebih teliti untuk mengkaji punca masalahnya. Jika keadaan menjadi semakin teruk sehingga menyusahkan diri, pembedahan perlu dilakukan.

Biasanya, masalah ini akan berterusan dan mungkin menjadi lebih teruk, jadi lebih baik berjumpa pakar ginekologi atau urologi untuk betul-betul siasat masalah anda dan bincang cara rawatan terkini.

Mengenai masalah tumit yang sakit, perlu diketahui penyakit jantung biasanya tidak bermula dengan sakit kaki, tambahan pula sakit di tumit. Bagaimanapun bengkak di kaki yang menyebabkan sakit, biasanya tanda masalah jantung sudah serius.

Sakit di tumit anda ada kaitan dengan aktiviti yang dilakukan, menyebabkan cedera di lapisan dalam tapak kaki. Ia dipanggil 'plantar fasciitis'. Keadaan ini perlu mendapat rawatan dan juga penilaian bentuk kaki untuk mengurangkan tekanan atas lapisan ini. Penggunaan kasut bersesuaian dengan aktiviti dilakukan sangat penting, termasuk cara-cara 'warming' dan 'stretching' yang dilakukan sebelum aktiviti. Sakit seperti ini elok diperiksa oleh pakar ortopedik.