?SAYA lelaki 25 tahun dan menghidap penyakit 'angin pasang' atau dikenali juga sebagai 'hernia'. Saya dimaklumkan bahawa penyakit ini boleh disembuhkan melalui pembedahan. Saya ingin bertanya, adakah akan wujud kesan sampingan selepas menjalani pembedahan tersebut, seperti berasa sakit ketika melakukan aktiviti sukan?
Saya berhasrat untuk menjalani pembedahan tetapi khuatir akan wujud kesan sampingan seperti yang telah dinyatakan pada saya. Diharap mendapat penjelasan daripada doktor.
ABDULLAH,
Melalui e-mel
JIKA anda peka dengan masalah angin pasang atau hernia dan tahu rawatan moden secara pembedahan dapat membetulkan keadaan itu, maka anda perlu tahu bahawa rawatan moden tadi ialah satu-satunya jalan yang dapat menyelesaikan masalah anda.
Jika anda takut dan fikir keadaan itu akan selesai secara sendiri tanpa perlu membuat apa-apa atau mencuba rawatan tradisional melalui urutan, anda mengkin akan merana apabila hernia itu menjadi besar dan usus yang termasuk dalam kerandut buah zakar terpulas atau perjalanan makanan dalam usus terkandas.
Jika itu berlaku anda mungkin akan dikejarkan ke hospital dan pembedahan kecemasan akan dilakukan.
Jadi mana lebih baik, pembedahan secara kecemasan atau pembedahan yang dirancang?
Dalam pembedahan yang dirancang itu, usus anda yang termasuk dalam kerandut akan dimasukkan kembali dalam perut dan ruang antara perut dan kerandut akan ditutup dan diperkukuhkan. Anda mungkin dilarang melakukan aktiviti berat untuk seketika.
Pembedahan ini ialah pembedahan pemulihan dan bukan memusnahkan. Bayangkan jika hernia dibiarkan, ia akan membesar dan menolak buah zakar ke belakang dan juga menolak zakar. Ini akan menekankan anggota tersebut. Lagi cepat diselesaikan lagi baik.
0 Comments Received
Leave A Reply