SOALAN: SAYA berusia 22 tahun. Sudah hampir lima tahun saya berhadapan dengan masalah keputihan. Pelbagai jenis ubat sama ada moden atau tradisional telah saya cuba namun tidak berjaya. Selain itu saya juga menghidap resdung. Mungkinkah saya menghidapi resdung faraj?


DANILLA ADNAN,
Melalui e-mel


MASALAH keputihan atau leukorrhea, pengeluaran cecair putih dari faraj memang menyulitkan jika ia banyak dan berlaku tanpa rangsangan atau jangkitan. Lazimnya, mukosa faraj lembab dan menghasilkan lelehan untuk mengelakkan kulit mucosa daripada melekat atau mengering.

Apabila wanita itu terangsang, kelembapan mukosa meningkat dengan adanya penghasilan cecair dari mucosa faraj dan bahagian pembukaan faraj selain antara bibir kecil yang dikenali sebagai vestibule, sebagai persediaan untuk kemasukan anggota sulit lelaki.

Jika rangsangan seksual kurang, maka penghasilan keputihan lega dan keadaan menjadi biasa. Jika keputihan berlaku tanpa rangsangan atau jangkitan, maka keadaan ini dikenali sebagai 'catarr' atau resdung seperti resdung hidung, resdung telinga atau resdung mata.

Apa pun, jika keputihan itu berlaku akibat keradangan, sama ada disebabkan jangkitan (jangkitan kulat, parasit atau kuman dan kuman virus) atau tekanan (terdedah kepada kimia atau memakai pakaian ketat atau akibat alahan kepada makanan tertentu!)

Ada juga keputihan akibat keradangan, disebabkan jangkitan, lelehan yang keluar itu mungkin berbau (bau semacam bangkai jika terkena jangkitan parasit, bau macam najis jika dijangkiti kuman dari lubang najis akibat kontaminasi) dan gatal (jika keradangan akibat kulat seperti yis atau candida).

Jadi keputihan akibat jangkitan perlu dirujuk kepada doktor untuk menjalani ujian dan jika disahkan doktor yang keputihan itu akibat jangkitan, ubat antibiotik sewajarnya akan diberi. Keputihan akan lega jika jangkitan itu dapat dihapuskan.

Keputihan juga boleh disebabkan kimia atau pakaian ketat. Apabila kemaluan wanita tidak terdedah kepada kimia itu (seperti pencuci hygen atau krim atau powder) keradangan akan lega, sama juga jika pakaian ketat tidak lagi dipakai, keputihan itu tiada lagi.

Keputihan yang dikenali sebagai resdung faraj itu tidak akan lega. Bagaimanapun, pengeluarannya berubah dari masa ke semasa. Biasanya ia merembes lebih pada waktu telur menjadi dan sedang mengembang dan kurang apabila telur telah keluar beberapa hari kemudian. Didapati pengeluaran keputihan itu ada kaitan dengan peningkatan tahap hormon estrogen yang biasanya meningkat ketika telur sedang berkembang.

Wanita itu boleh memakai pelekat higen seperti panty liner untuk memastikan bahagian luar faraj tidak basah. Dia boleh tukar seberapa kerap yang boleh dan apabila pengeluaran kurang, dia tidak lagi perlu memakainya. Mungkin dia boleh pakai pakaian luar yang selesa dan pakaian dalam yang lebih selesa yang memudahkan pengaliran udara supaya bahagian luar anggota sulit mudah kering.

Oleh kerana resdung faraj itu semula jadi, secara kebetulan mukosa faraj aktif dan menghasilkan lebih lelehan, mungkin cara yang berkesan ialah untuk bahagian luar anggota sulit itu direndam dengan air garam. Jika air itu sejuk lagi baik kerana akan dapat mencerutkan pundi yang menghasilkan lelehan itu.

Pakai pakaian selesa dan jika dalam rumah tak perlu pakai pakaian dalam. Bulu roma di bahagian pembukaan faraj boleh ditrim supaya lelehan itu tidak berkumpul dan mudah mengering. Anda boleh cuba makan herba yang ada bahan pengawet seperti manjakani, bunga pakma dan jika dapati ia berjaya mengeringkannya anda boleh mula mengurangkan pengambilannya.

Dalam perubatan moden, ubat antibiotik untuk jangkitan jika itu yang diperlukan. Ubat resdung jika terdapat resdung faraj atau 'catarr' faraj.

Untuk memberi kewangian boleh cuci bahagian luar anggota sulit dengan pencuci hygen yang mengandungi pewangi. Jika bahan itu tidak sesuai boleh guna yang lain. Pencuci anggota sulit untuk bahagian luar faraj dan bukan untuk dalaman.

Mencuci faraj tanpa nasihat doktor boleh membunuh kuman semula jadi faraj dan mendedahkan faraj kepada kuman yang lebih ganas dan ini secara langsung akan mengakibatkan keputihan yang banyak akibat keradangan yang disebabkan oleh jangkitan.

Jangan teragak-agak untuk berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan. Kemungkinan jangkitan berlaku ada dan jika ubat tertentu diberi masalah ini boleh reda dengan cepat. Jangan menderita dalam diam. Masalah keputihan ada rawatannya, yang mustahak ialah untuk wanita itu berjumpa doktor dan bukan mencuba segala kaedah yang mungkin boleh memudaratkan lagi, seperti cuci dengan air herba atau memasukkan herba dalam faraj kerana jika terdapat kuman, jangkitan akan menjadi ketara. Dapatkan rawatan moden.